Anda di sini:
 

Sebelum
sambungan
Kedah Dalam Pemerintahan Beraja Melayu

oleh: Dato' Hj. Wan Shamsudin bin Mohd Yusof

 
 

Hubungan Kedah dengan Aceh sekali lagi berlaku di zaman Sultan Sulaiman Shah II (1602-1626) tetapi kali ini armada Aceh pimpinan Iskandar Muda (Mahkota Alam) berjaya menawan Kedah dan sultannya sekali (1619). Catatan sejarah kebanyakkan menghubungkannya dengan persaingan monopoli dalam menghasilkan dan mengeksport lada sebagai punca Aceh menyerang Kedah dan untuk melemahkan lagi pertahanan negeri itu, seramai 7000 orang rakyat Kedah ditawan dan dibawa ke Aceh.

Buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah memuatkan kisah yang berbeza mengenai kedatangan armada Aceh ke Kedah - musuh ketat dari Aceh itu dapat dijinakkan oleh kerajaan Kedah hingga bertukar menjadi sahabat yang akrab. Ketibaan Iskandar Muda dan armadanya disambut meriah dengan penuh istiadat dan kebesaran di Pulau Panjang (dalam pemerintahan Siam sekarang) diarak sepanjang pelayaran hingga ke Kuala Sanglang dan istana Siputih. Tradisi penulisan seperti ini memanglah mempunyai motif tertentu di kalangan penulis-penulis teks historiografi sejak zaman silam.

Banyak kesan-kesan sejarah ditemui di kampung Siputih yang pernah menjadi pusat pemerintahan ketiga. Di samping matawang emas, perak dan tembaga, ditemui juga tembikar dari China dan pusara lama. Malah masih terdapat kesan-kesan kota tanah yang mengelilingi kampung itu yang dijadikan pusat pertahanan dan membuktikan terdirinya istana raja di situ. Sepasang batu nisan Aceh yang masih ada di pusara lama di kampung itu dikatakkan kepunyaan 'Puteri Lindungan Bulan'. Dalam cerita-cerita lisan tempatan, puteri ini dikaitkan dengan kisah sebab-sebab langgaran Aceh di situ yang kononnya puteri itu berdarah putih. Walaupun ianya merupakan satu lagenda, tetapi ia menguatkan lagi bukti berlakunya serangan Aceh ke Kedah. Pada zaman terakhir kerajaan Kedah yang berpusat di Siputih, juga berlaku hubungan dengan orang-orang Barat dari sudut perdagangan terutamanya timah dan gajah. Pada mulanya hubungan dilakukan dengan orang-orang Portugis melalui Melaka, dan kemudiannya diikuti oleh orang Belanda.

Kemusnahan Kota Siputih yang tidak lagi sesuai menjadi ibu negeri, maka Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1620-1651) memilih untuk Kota Naga pula sebagai pusat pentadbirannya yang baru (1626-1654). Baginda dapat dianggap pemerintah pertama yang mengarahkan agar undang-undang atau Hukum kanun Kedah ditulis. Perintah itu dikeluarkan pada hari Jumaat, tahun 1060, tahun Zai, pada 17 haribulan Jamadilakhir. Penghasilan buku Undang-undang Kedah pada tahun 1060 Hijrah atau 1650 Masihi adalah selaras dengan kepesatan perdagangan antara Kedah dengan negara jiran termasuk India dan Selatan Siam, kerana itu sebahagian besar dari kandungan undang-undang itu memperuntukkan perkara-perkara yang berhubung dengan tugas-tugas Syahbandar dan pembantu-pembantunya, bagaimana pelabuhan ditadbir termasuklah cukai ke atas barangan yang diperniagakan.

Dari kesan-kesan pendiat yang ditemui di sekitar Kampung Naga satu ketika dahulu menunjukkan Kota Naga juga adalah pusat menangkap dan mencelung atau menjinakkan gajah untuk dieksport keluar. Malah pernah dikatakan bahawa Sultan Rijaluddin pernah berangkat melawat India untuk menguruskan perdagangan gajah.

Dari Kota Naga, pusat pemerintahan Kedah berpindah lagi ke utara di dua tempat yang terletak dalam negeri Perlis iaitu di Kota Sena (1654-1664) dan di Kota Indera Kayangan (1664-1687). Dua peristiwa penting yang dapat dikaitkan dengan Kota Indera Kayangan. Al - Tarikh Salasilah Negeri Kedah mencatatkan pada zaman pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah (1661-1687), angkatan Bugis telah menyerang Kedah berpunca dari peristiwa merebut kuasa di kalangan keluarga baginda. Zaman ini juga sebuah lagi teks Undang-undang Kedah dihasilkan atas perintah baginda kepada Dato' Seri Paduka Tuan, pada 1078 Hijrah (1667 Masihi). Isinya banyak membicarakan tentang kesalahan dan denda yang berkaitan dengan hal-hal persawahan dan binatang ternakan.

Kesan-kesan sejarah yang mengenai Kota Indera Kayangan ini dapat disaksikan dengan adanya sebuah kompleks Makam Diraja di situ iaitu makam Sultan Dziauddin Mukarram Shah dan juga menantunya Raja Juang Tawa yang dikatakan berasal dari Bugis.

Pusat pemerintahan Kedah selanjutnya berpatah balik ke selatan dari Perlis iaitu di Kota Bukit Pinang (1687-1735). Di zaman pemerintahan Sultan Abdullah Mu'adzzam Shah (1698-1706), adindanya Tunku Ibrahim dilantik sebagai Raja Muda dan bersemayam di Limbong. Sejak itu, Limbong menjadi Kota dan Pelabuhan pendalaman yang sibuk. Tunku Ibrahim juga diarahkan membina kota dan Makam Diraja di Langgar.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mu'adzzam Shah II (1710-1778) merupakan pengasas bandar Kota Star dan menjadikannya pusat pentadbiran baru Kedah. Baginda seorang yang alim dalam hal agama hasil dari pengajiannya di Palembang dan India. Gurunya Syeikh Abdul Jalil yang dibawanya bersama kembali ke Kedah dilantik sebagai Mufti. Banyak pembaharuan dilakukan pada zamannya untuk meningkatkan ekonomi dan perdagangan . Sawah-sawah mula diberi hak milik kepada rakyat, matawang baru dan sistem ukuran tanah dan sukatan barang telah diperkenalkan. Zamannya, armada Kedah berjaya meluaskan pengaruhnya hingga ke Trang, Takuapa, Tongkah dan Ranong di sempadan Burma.

Zaman baginda juga ditanda sebagai bermulanya hubungan rasmi dengan Inggeris melalui firma perdagangan yang diketuai oleh Francis Light di Salang (Phuket) seperti yang dapat dilihat melalui surat-surat baginda kepada Kapten Light sekitar tahun 1772-1773. Perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris dimeterai pada tahun 1772 ekoran dari kemusnahan Kota Kuala Kedah dan Kota Star akibat langgaran Bugis tahun 1770 pimpinan Raja Haji. Perjanjian awal ini berkemuncak kepada peristiwa pengambilan Pulau Pinang (1786) di zaman pemerintahan puteranya Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797).

Dalam bahagian terakhir ini akan disentuh sedikit sebanyak permasalahan yang timbil bila mengkaji sejarah Kesultanan Kedah, terutama bila merujuk kepada teks Al - Tarikh Salasilah Negeri Kedah (ASNK) yang merupakan satu-satunya bahan terpenting yang diselanggarakan oleh penulis tempatan. Setakat ini ASNK memuatkan keterangan yang lengkap mengenai sejarah Kesultanan Kedah, dan kerana itu pembinaan semula salasilah atau jurai keturunan Kesultanan Kedah adalah didasarkan dari ASNK seperti yang terdapat pada buku Titisan Kerabat. Bagaimanapun dari sudut pennghasilan ini terdapat beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan apa yang terdapat pada buku-buku lain. Dua perbezaan yang jelas ialah mengenai jumlah Sultan dan yang keduanya mengenai kedudukan Tunku Dziauddin yang pernah menjadi Raja Muda Kayang di zaman Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797). Pengkajian pada peringkat awal banyak merujuk kepada Hikayat Merong Mahawangsa (HMMW). Pada penghujung HMMW tercatat nama 14 orang Sultan. Sultan terakhir di sebut sebagai ialah Sultan Ahmad Tajuddi Halim Shah II atau Marhum Melaka yang memerintah dalam tahun-tahun 1797-1845. Bersumber dari HMMW inilah terdapat catatan yang sama dibuat oleh Wan Yahya bin Wan Muhammad Taib dan penulis-penulis Barat lain seperti R.O Winstedt dan James Low.

Dibandingkan dengan ASNK ternyata jumlah Sultannya berbeza. Sehingga Sultan Ahmad Tajuddin II atau Almarhum Melaka, jumlahnya 21 orang. Penulis terakhir seperti Buyong Adil, Haji Ibrahim dan lain-lainnya mengambil dari ASNK. Yang berbeza di antara mereka ialah kedudukan Tunku Dziauddin. Penulisan di peringkat awal dan kebelakangantidak sekata, ada yang meletakkannya sebagai Sultan di antara tahun-tahun 1797-1804 dan ada yang menganggapnya sebagai Pemangku Sultan.

Dari sudut fakta peristiwa dan latar masa di dalam ASNK juga terdapat beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan sumber sejarah lainnya. Antaranya tarikh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mu'adzzam Shah mangkat, ASNK mencatatkannya pada tahun 1174 Hijrah (1760 Masihi). tarikh ini ternyata tidak tepat kerana sewaktu armada Bugis menyerang Kedah dalam tahun 1770 di bawah pimpinan Raja Haji, baginda masih hidup. Dan selepas dari peristiwa tersebut terdapat beberapa pucuk warkah yang dihantar oleh baginda kepada Kapten Light di Salang (Phuket) sekitar tahun 1772-1773. Tarikh sebenarnya baginda mangkat ialah pada tahun 1778. Begitu juga tarikh kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Almarhun Melaka, ASNK menulis pada tahun 1259 Hijrah (1843 Masihi) dan Wan Yahya pada tahun 1884.

Ketidaktepatan tarikh tersebut pernah disuarakan oleh sejarahwan Barat (J.M. Gullick, 1983) kerana pada tarikh tersebut Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II masih hidup. Berdasarkan surat Tunku Da'ie (Tunku Zainal Rashid) bertarikh 27 Zulhijjah 1269 bersamaan 5 Januari 1845, beliau memberitahu kepada Samuel Garling, Residen Canselor Pulau Pinang bahawa ayahanda Sultan Ahmad Tajuddin II telah mangkat pada 3 Januari 1845. Peristiwa yang sama juga berlaku terhadap Tunku Long Puteh, ipar kepada Almarhum Melaka yang menurut ASNK telah mangkat sewaktu serangan mengejut tentera Ligor/Siam di Kota Kuala Kedah pada 12 November 1821. Tetapi berdasarkan surat-surat yang dikirim kepadanya (Tunku Long Puteh) oleh Sultan Ahmad Tajuddin (iparnya), Tunku Jamjam (isterinya) dan Tunku Kudin dalam tahun 1244 Hijrah (829 Masihi) ternyata beliau masih hidup.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah