|
Seluruh pegawai tadbir Negeri Kedah bertugas mengikut jabatan /
pejabat masing-masing dan bertanggungjawab kepada ketua mereka --
Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang belum pecah Perang Dunia Kedua
jawatan ini dikenali dengan Setiausaha kepada Kerajaan (Secretary
to Government). SKN memikul tanggungjawab mempastikan pentadbiran
negeri berjalan lancar dan ia bertanggungjawab kepada DYMM Sultan.
Rajah di bawah menunjukkan pentadbiran yang dijalankan oleh PTNK
sebelum Merdeka.
Rajah 1: STRUKTUR PENTADBIRAN NEGERI OLEH PTNK

Pejabat Setiausaha Kerajaan
(PSUK)
Pejabat ini diketuai sendiri oleh SKN. Seperti yang disebut di
atas, pejabat ini merupakan ibu pejabat pentadbiran negeri keseluruhannya.
Dalam maksud yang lain, pejabat SKN berfungsi mengatur, menyelaras
dan menyusun perjalanan keempat-empat pejabat utama dalam sistem
pentadbiran PTNK.
Tugas-tugas SKN dibantu oleh sekumpulan pegawai PTNK yang digelar
"Penolong Setiausaha Kerajaan " (Assistant State Secreatary).
Bilangan mereka pada sesuatu masa ditentukan oleh beban pentadbiran
yang dipikul oleh SKN. Sebelum 1950 Pejabat SKN hanya mempunyai
dua orang penolong. "Under Secretary" dan "Second
Under Secretary". Selepas itu seorang lagi penolong dilantik
dengan gelaran "Penolong Setiausaha Kerajaan Cawangan Perkhidmatan"
(Asisstant Under Secretary Service Branch).
Sementara itu selepas 1948, gelaran "Under Secretary"
telah diubah menjadi :Penolong Setiausaha Kerajaan I" (Assistant
State Secretary I) manakala "Second Under Secretary"
diubah menjadi "Penolong Setiausaha Kerajaan III" (Asisstant
State Secretary III). Perubahan taraf "Second Under
Secretary" kepada Penolong SKN III adalah disebabkan beban
jawatan Penolong SKN -- Cawangan Perkhidmatan yang baru ditubuh
itu lebih tinggi darinya. Pegawai PTNK yang menjawat jawatan Penolong
SKN Cawangan Perkhidmatan berada pada kedudukan yang rendah sedikit
saja daripada Penolong SKN I. Oleh itu antara ketiga-tiga penolong
SKN itu, Penolong SKN I berada diperingkat paling kanan dan Penolong
SKN III berada di peringkat paling bawah.
Pejabat Tanah
Pejabat ini berpusat di Alor Star -- dalam kawasan Komplek Pentadbiran.
Pentadbirannya diketuai oleh seorang pegawai bergelar "Pengarah
Tanah" (Director of Lands). Dalam menjalankan tugasnya,
Pejabat Tanah membentuk cawangan-cawangan di seluruh negeri Kedah
dan tiap-tiap cawangan ditadbir oleh seorang pegawai bergelar "Pegawai
Tanah" (Land Officer). Tiap-tiap cawangan di seluruh
negeri itu berkhidmat dan bertanggungjawab kepada Pejabat Tanah
Alor Star yang menjadi ibupejabat kepada pentadbiran tanah.
Di ibupejabat, Pengarah Tanah dibantu oleh sekumpulan pegawai
bergelar Penolong Pengarah Tanah (Asisstant Director of Lands).
Bilangan penolong ini bergantung kepada beban kerja di ibupejabat;
jika barat, bilangan pegawai penolong itu akan ditambah. Sehingga
merdeka terdapat dua orang Penolong Pengarah Tanah. Mereka ialah
Penolong Pertama Pengarah Tanah (First Asisstant Director of
Lands) dan Penolong Kedua Pengarah Tanah ( Second Asisstant
Director of Lands). Di samping itu PTNK pernah menempatkan seorang
lagi pegawainya di Ibupejabat Tanah ini untuk menjawat jawatan Pembantu
pejabat kepada pengarah tanah (Officer Asisstant to Director
of Lands) tetapi menjelang 1955 jawatan ini telah dikeluarkan
dari senarai PTNK. Tindakan ini diambil kerana fungsi Pembantu Pejabat
bukan tergolong dalam bidang "Pentadbiran"; ia lebih mirip
kepada fungsi-fungsi kumpulan perkeranian.
Di peringkat daerah sehingga 1957 sejumlah 10 buah Pejabat Tanah
telah ditubuh. Dasar penubuhannya ialah satu untuk tiap-tiap sebuah
daerah: Kota Star, Kuala Muda, Baling, Kubang Pasu, Kulim, Bandar
Baru, Langkawi, Yan, Sik dan Padang Terap.
Walaupun dinyatakan pentadbiran tanah di peringkat daerah diketuai
oleh Pegawai Tanah tetapi ini tidak semuanya berlaku. Setengah-setengah
daerah seperti Langkawi, Yan, Sik dan Padang Terap tidak dilantik
Pegawai tanah. Urusan tanahnya dikendali secara bersama oleh Pegawai-pegawai
PTNK yang bertugas di Pejabat Daerah dalam daerah-daerah tersebut.
Pegawai bersama ini dikenali dengan "Pegawai Daerah dan Pegawai
Tanah" manakala penolongnya dikenali dengan "Penolong
Pegawai Daerah dan penolong Pegawai Tanah".
Sebenarnya dasar perlantikan seseorang pegawai ke dalam sesuatu
jawatan adalah berdasar kepada beban yang ditimbul oleh jawatan
berkenaan. Ertinya, lihat beban dulu sebelum pegawai dilantik. Justeru
itu mana-mana daerah yang pentadbiran tanahnya ringan atau terlalu
ringan -- kerana tiada pembangunan tanah -- penempatan Pegawai Tanah
tidak perlu. Untuk daerah-daerah berkenaan Peraturan Am (General
Orders) memerintah supaya Pegawai Daerah menjalankan sama pentadbiran
tanah.
Dibandingkan dengan daerah-daerah yang mempunyai pentadbiran tanah
sendiri, empat daerah di atas amat mundur. Enam daerah yang lain
terutama Kota Star, Kubang Pasu, Kulim dan Kuala Muda jauh lebih
maju dan kaya. Estet getah telah dibuka oleh pemodal-pemodal Eropah
dan China di samping lain-lain hasil semulajadi seperti bijih timah.
Jadi tidak hairanlah di daerah-daerah tersebut dilantik Pegawai
Tanah untuk mengendalikan urusan tanah yang sedang berkembang.
Kesan daripada dasar di atas ialah daerah yang sudah maju akan
bertambah maju manakala daerah mundur akan bertambah mundur. Ini
ternyata benarnya. Sehingga selepas 20 tahun kemerdekaan daerah-daerah
yang mundur di atas itu terus mundur. Tumpuan pembangunan infrastruktur
diutamakan di daerah yang sudah maju, daerah yang tiada pelaburan
dibiarkan. Infrastruktur tidak diberatkan sehingga pelaburan susah
hendak dilakukan.
Akibat daripada dasar seperti di atas, setengah daerah mempunyai
pentadbir yang ramai sedangkan di daerah yang lain, jumlahnya begitu
kurang. Daerah Kota Star -- daerah yang paling maju di Negeri Kedah
masa itu - tiga orang pentadbir tanah (Pegawai tanah, Penolong Pegawai
Tanah I dan Penolong Pegawai Tanah II). Begitu juga dengan daerah
Kubang Pasu dan Kuala Muda pernah dilantik tiga orang pentadbir
tanah. Berbanding dengan Daerah-daerah Langkawi, Yan, Sik dan Padang
Terap bukan saja pentadbir tanahnya kurang malah lebih dari itu
ia langsung tidak ada pentadbir tanah tersendiri.
Sepatutnya untuk mengwujudkan kemajuan yang sama bagi semua daerah,
kaedah yang dipakai itu harus ditukar kepada bentuk lain iaitu "Lantik
dahulu", beban diberi selepasnya". Melalui kaedah ini
pegawai-pegawai yang telah dilantik itu akan bertugas memajukan
sektor-sektor di bawahnya. Contohnya, Pegawai Tanah akan memajukan
penggunaan tanah. Jika ia tidak dilantik, sedangkan Pegawai Daerah
sibuk dengan tugas-tugasnya, pembangunan tanah tentulah terabai.
Walaupun ditunjukkan di atas adanya kerjasama antara Pejabat tanah
dan Daerah tetapi fenomena ini hanya berlaku selepas 1909. Inilah
yang dikatakan sekali air pasang sekali pantai berubah. Di bawah
pentadbiran Sultan Abdul Hamid dan Penasihat Siam kedua-dua bahagian
itu diasingkan tetapi di bawah Penasihat Inggeris (mulai 1909) ia
beransur-ansur disatukan.
Sebelum 1909 penubuhan Pejabat Tanah tidak semestinya mengikut
daerah. Ia ditubuh mengikut keperluan setempat. Dalam sesuatu daerah
yang urusan tanahnya terlalu mendesak mungkin akan ditubuh lebih
dari sebuah Pejabat Tanah, sebaliknya daerah yang urusan tanahnya
tidak berat kemungkinan pejabat itu tidak ditubuh langsung. Daerah
Kota Star pernah mempunyai empat buah pusat pentadbiran tanah -
di Alor Changleh, Sungai Korok, Simpang Empat dan Alor Star sendiri.
Ini tidak menghairankan kerana daerah ini merupakan kawasan padi
yang luas yang memerlukan pentadbiran tanah yang luas juga. Pada
masa yang sama Daerah padang Terap tidak mempunyai walau sebuah
pun Pejabat Tanah. Ini terjadi kerana kawasan tersebut merupakan
kawasan hutan belantara yang tebal. Penduduk tidak ramai kerana
ketika itu kegiatan ekonomi utama ialah pertanian padi. Selain daripada
empat buah Pejabat Tanah di atas, sebelum 1909 terdapat enam buah
lagi pejabat tersebut iaitu di Seputeh, Kuala Muda, Krian, Langkawi
dan Sungai Limau.
Apabila Inggeris mencampuri urusan pentadbiran Negeri Kedah, ia
telah beransur-ansur mencantumkan pentadbiran daerah dan tanah.
Pejabat Tanah dipindahkan ke ibu-ibu daerah dan bagi daerah-daerah
yang dirasa tidak perlu di tubuh Pejabat Tanah, urusan tanahnya
dijaga -- bukan dikawal -- oleh Pejabat Daerah. Inilah langkah pertama
percantuman tersebut.
Langkah Inggeris boleh dilihat dari dua sudut:
- Pertama : untuk mengurang kos kerajaan, semenjak hasil
negeri bergantung kuat kepada pertanian (padi dan candu) dan hutan
-- galian kurang -- pendapatan negeri tidaklah terlalu tinggi.
Lebih-lebih lagi hutang kepada Siam belum selesai dijelaskan lagi.
Justeru itu penjimatan perbelanjaan adalah perlu.
- Kedua : Kerjasama antara urusan daerah dan tanah memang
mudah dilakukan. Oleh kerana kedua-duanya berada dalam satu kawasan,
kerjasama tidak sukar untuk dilaksanakan.
Menjelang 1957 kerjasama ini dieratkan lagi hingga keperingkat
percantuman. Syor telah dibuat oleh satu jawatankuasa penyemak pentadbiran
PTNK supaya perkhidmatan Pejabat Tanah yang berasingan dihapuskan
sebaliknya dicantumkan dengan Pejabat Daerah di bawah pentadbiran
seorang Pegawai Derah. Alasan untuk percantuman tersebut ialah sistem
yang sedia ada tidak meluas. Dalam satu masa pegawai-pegawai di
Pejabat Tanah hanya menghadkan perhatian kepada urusan tanah padahal
sebagai seorang pegawai PTNK di peringkat daerah mereka sepatutnya
melibatkan diri dalam semua urusan pentadbiran daerah seluruhnya.
Walaupun sehingga 1957 syor itu belum sempat dilaksanakan kerana
masih dalam pertimbangan kerajaan (Majlis Negeri) tetapi kesimpulan
yang dapat dibuat ialah wujudnya satu bentuk pemusatan pentadbiran
daerah. Ini terbukti selepas ini di mana pada tiap-tiap daerah,
di ibu-ibu daerah, dibangunkan pusat-pusat pentadbiran di mana di
dalamnya diwujudkan pelbagai cawangan pentadbiran untuk daerah tersebut.
Kesemua pentadbiran di situ diketuai oleh seorang Pegawai Daerah.
Pejabat Daerah
Peranan pejabat ini telah disentuh sepintas lalu pada bahagian
awal bab ini. Dalam sistem pentadbiran Negeri Kedah, pejabat inilah
yang pesat perkembangannya. Kerjasama dan kemudian percantuman pentadbiran
tanah dengan pejabat ini menambahkan lagi kepesatan perkembangan
tersebut.
Tidak seperti pentadbiran tanah, pentadbiran daerah tidak mempunyai
sebuah Ibupejabat di Alor Star. Kesemua pejabat-pejabat Daerah tersebut
masing-masing bertanggungjawab terus kepada SKN di Pejabat Setiausaha
Kerajaan.
|