Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Sistem dan Kuasa Pentadbiran Dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah
  Pada tahun 1955 1 jawatan PTNK diletak pada kedudukan "Staff appointment", 8 jawatan dalam kelas X, 8 jawatan dalam kelas II, 9 jawatan dalam kelas III, 7 jawatan dalam kelas IV dan 16 jawatan dalam kelas V. Jadual II menunjukkan pembahagian tersebut.

Penyusun kelas jawatan-jawatan ini tidak mutlak. Jumlah jawatan dalam sesuatu kelas berubah-ubah mengikut masa. Pada tahun 1947 susunannya adalah seperti berikut :-

Staff Appointment 1 jawatan
Kelas I 2 jawatan
Kelas II 4 jawatan
Kelas III 10 jawatan
Kelas IV 12 jawatan
Kelas V 20 jawatan
Kedet 5 jawatan
JADUAL II : KELAS-KELAS JAWATAN PTNK
1. Staff Appointment
2. Setiausaha Kerajaan Negeri
Kelas 1A
1. Pegawai Kewangan Negeri
2. Pengarah Tanah
3. Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri I
Kelas 1B
1. Bendahari Negeri
2. Pegawai Daerah Kulim
3. Pegawai Daerah Kota Star
4. Pegawai Daerah Kuala Muda
5. Pengerusi Lembaga Bandaran Alor Star
Kelas II
1. Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri II
2. Penolong Setiausaha Cawangan Perkhidmatan
3. Pegawai Daerah Kubang Pasu
4. Pegawai Daerah Baling
5. Pembantu Pertama Pengarah Tanah
6. Pembantu Kedua Pengarah Tanah
7. Pegawai Tanah Kota Star
8. State Liaison Officer
Kelas III
1. Syahbandar
2. Pegawai Tanah Kuala Muda
3. Pegawai Tanah Baling
4. Pegawai Tanah Kubang Pasu
5. Pegawai Daerah Bandar Baru
6. Clerk of Councils
7. Setiausaha Menteri Besar
8. Pegawai Penempatan
9. Setiausaha Sulit DYMM Sultan
Kelas IV
1. Pegawai Tanah Kulim
2. Pegawai Tanah Bandar Baru
3. Pegawai Daerah dan Pegawai Tanah Langkawi
4. Pegawai Daerah dan Pegawai Tanah Yan
5. Pegawai Daerah dan Pegawai Tanah Padang Terap
6. Pegawai Daerah dan Pegawai Tanah Sik
7. Setiausaha Majlis Bandaran Alor Star
Kelas V
1. Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda
2. Penolong Pegawai Daerah Kota Star
3. Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu
4. Penolong Pegawai Daerah Baling
5. Penolong Pegawai Daerah Kulim
6. Penolong Pegawai Tanah Kulim
7. Penolong Pegawai Tanah Kota Star I
8. Penolong Pegawai Tanah Kota Star II
9. Penolong Pegawai Tanah Kubang Pasu
10. Penolong Pegawai Tanah Bandar Baru
11. Penolong Pegawai Tanah Baling
12. Penolong Pegawai Daerah dan Penolong PegawaiTanah Langkawi
13. Penolong Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Tanah Padang Terap
14. Penolong Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Tanah Yan
15. Penolong Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Tanah Sik

Sebelum perang (Perang Dunia Kedua) jawatan Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri I tidak berada dalam kelas 1A, ia hanya ditempatkan dalam kelas 1B.

Begitu juga dengan jawatan-jawatan Bendahari Negeri, Pegawai Daerah Kulim, Pegawai Daerah Kuala Muda dan Pengerusi Lembaga Bandaran Alor Star yang sewaktu menjelang Merdeka berada dalam Kelas 1B, dulu (sebelum Merdeka) berada dalam kelas II.

Berdasarkan penyusunan dalam Jadual II jelas, kesemua jawatan penolong di Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah berada pada kelas terendah sekali, Kelas V., Ini menunjukkan semua pegawai penolong dalam Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah berada pada taraf kedudukan yang sama. Namun begitu jawatan-jawatan Pegawai Daerah dan Pegawai Tanah tidak sama tarafnya. Ada yang berada dalam klas 1B dan ada pula yang berada dalam klas IV. Pegawai Daerah Kulim, Kota Star dan Kuala Muda ditempatkan dalam klas 1B sebaliknya jawatan-jawatan yang sama di Langkawi, Yan, Padang Terap, dan Sik begitu rendah tarafnya; mereka diletak dalam Kelas IV.

Pengangkatan jawatan Pegawai Daerah Kulim, Kota Star dan Kuala Muda ke taraf yang begitu tinggi ialah kerana tanggungjawab pentadbir-pentadbirnya yang jauh lebih berat dari lain-lain daerah.Selain dari tugas-tugas biasa, kecuali Pegawai Daerah Kota Star, mereka juga dipikulkan tanggungjawab menjadi Pengerusi Majlis Bandaran di daerah masing-masing. Bandara Sungai Petani dan Kulim adalah cukup besar selepas Bandar Alor Star. Sementara itu Pegawai Daerah Alor Star walaupun terlepas dari tanggunjawab ke atas Majlis Bandaran (Majlis Bandaran Alor Star mempunyai Pengerusi yang berasingan) tetapi ia ditimbang dari sudut lain; Antaranya, ini ialah daerah di mana terletaknya ibunegeri Kedah. Dari alasan-alasan di atas sepatutnyalah ketiga-tiga daerah tersebut diletak pada taraf yang lebih tinggi dari lain-lain daerah. Ketiga-tiga daerah ini dikenali dengan "Daerah Kanan".

Sementara itu Kelas I telah dibahagi kepada dua : Kelas 1A dan Kelas 1B di mana Kelas 1A lebih tinggi tarafnya dari 1B. Pembahagian ini sebenarnya adalah untuk menggolongkan satu kumpulan pegawai PTNK dalam satu kumpulan yang dipanggil "Pegawai kanan Neger". Oleh kerana jumlah pegawai dalam kelas I agak ramai, lapan orang, adalah tidak wajar jumlah yang begitu ramai dianggap pegawai kanan. Justeru itu dari 8 jawatan, 3 jawatan telah dipilih (berdasar tanggungjawab dan kekananan untuk menjadi jawatan kanan kerajaan negeri iaitu Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Tanah, dan penolong Setiausaha Kerajaan I dan mereka diletak dalam kelas 1A. Ketiga-tiga pegawai yang menjawat jawatan-jawatan ini adalah "orang kuat" PTNK dan harapan untuk mencapai kedudukan SKN cerah terbuka kepada mereka.

Kekuasaan Dalam PTNK

Berdasar kepada susunan pegawai-pegawai PTNK dalaman SKN berada di puncaknya timbul persoalan sejauh mana perkhidmatan ini berkuasa menguruskan pentadbiran negeri. Jika dalam zaman kemerdekaan, perkhidmatan tadbir tidak dapat lari dari pengaruh golongan pemerintah, apakah pada zaman sebelum Merdeka, perkhidmatan ini tidak menerima sebarang tekanan? Apakah SKN bebas berkuasa dalam urusannya?

Sehingga pecah Perang Dunia, di Negeri Kedah terdapat tiga pihak yang mempunyai kuasa dalam sistem pemerintahan. Ketiga-tiganya ialah Sultan, Majlis Negeri dan Penasihat Inggeris (sebelum 1909, Penasihat Siam). Pentadbiran negeri sebagai alat untuk tercapainya kehendak pemerintah tidak dapat lari dari pengaruh ketiga-tiga pihak di atas.

Teorinya, Sultan tidak lagi berkuasa dalam urusan perkhidmatan awam (termasuk pentadbiran). Kuasa itu diserahkan -- mulai 1905 -- Majlis Negeri. Namun begitu ini tidaklah bermakna Sultan terpisah terus dari Majlis Negeri. Rakyat masih menerima Sultan sebagai raja meraka dan pandangan atau tegoran Sultan tidak dapat dikesampingkan dengan begitu saja. Justeru Majlis Negeri itu sendiri diketuai oleh keluarga Sultan dan ahli-ahlinya terdiri dari samada keluarga Sultan atau pembesar-pembesar yang sememangnya rapat dengan Sultan, maka hubungan duahala antara Sultan -- Majlis Negeri tetap berlaku. Pandangan Sultan mengenai pentadbiran tetap berlaku dan sepanjang penubuhan Majlis itu konflik antara Sultan dengan Majlis tidak pernah berlaku. Sementelahan pula, anggota-anggota Majlis sendiri, selain dari Penasihat Inggeris, adalah dilantik oleh Sultan. Ertinya Majlis Negeri adalah bayang-bayang Sultan sendiri. Tindakan atau keputusan Majlis sentiasa sejajar dengan kehendak Sultan.

Sebenarnya perlantikan Penasihat asing ke Negeri Kedah tidak melumpuhkan kuasa Kesultanan Sultan Negeri kedah. Dalam sistem baru itu kuasa Sultan hanya dihadkan dan bergerak atau dilaksanakan menurut penasihatan -- tidak sewenang-wenang. Ertinya tindakan Sultan sejajar dengan sistem pemerintahan masa itu.

Lazimnya campurtangan sultan dalam pentadbiran adalah melalui pengaruh kesultanannya yang masih lagi diakui oleh rakyat termasuk pentadbir-pentadbir. Apabila Sultan campurtangan,ia akan mempengaruhi keputusan pihak pentadbir. Misalnya dalam perlantikan seseorang calon ke dalam PTNK. Proses ini dilakukan oleh Majlis Negeri tetapi sekiranya Sultan "menunjuk" sesiapa di antara calon-calon itu tidak dapat dinafi kehendak Sultan itu akan ditunai/diturut.

Hakikat ini menunjukkan kekuasaan PTNK dalam menjalankan urusannya tidak sebenar-benarnya bebas. Sememangnya campurtangan Sultan boleh ditolak tetapi kalangan pentadbir yang masih menerima konsep Kesultanan dalam masyarakatnya tidak dapat menolak campurtangan tersebut.

Pihak kedua yang mempengaruhi perjalanan PTNK ialah Majlis Negeri. Campurtangan majlis ini memang sah kerana fungsinya : mengurus hal ehwal awam. Majlislah yang membuat dasar : melulus undang-undang; melantik, menaik pangkat dan membuang pentadbir-pentadbir. Malah, sebelum 1948 peranan majlis lebih besar dari peranan SKN (ketika itu disebut "Under Secretary"). Kuasa SKN tidak jelas. Ia hanya mengetuai sekumpulan pegawai negeri tetapi dalam kebanyakan hal ia bertindak bagi pihak Majlis Negeri.

Betapa tidak jelasnya kekuasaan SKN masa itu boleh dilihat dari perhubungan yang ujud antara pentadbir dengan pihak atasan. Ia tidak wujud melalui SKN tetapi terus kepada Presiden Majlis Negeri. Perintah-perintah Am Negeri Kedah membuktikan hal tersebut :

Perkara 278 : The principal work of a District Officer is to look after the Court and Treasury … and report to the President of the State Council anyting which he considers is not right and any unusually occurance in his district.

Perkara 292 : He (District Officer) is to keep a diary in which to enter up everything of importance that occurs from day to day and what he has does doing each day and is to send the diary to the President of the State Council at the end of each month.

Perkara 298 : If it appears that an officer has misappropriated Government money he (District Officer) should cause him to be arrested at once and report the case to the President of the State Council.

Ternyata sekali kuasa utama dalam PTNK terletak di tangan President Majlis Negeri. Persoalannya apakah kuasa itu mutlak atau benar-benar datang dari Presiden Majlis Negeri? Apakah tidak mungkin keputusan-keputusan Presiden itu datangnya dari Penasihat Inggeris yang turut duduk dalam Majlis Negeri sebagai Penasihat?

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah