 |

Penulisan HKK bermula pada 1060 Hijrah (1650 Masihi).
|
Undang-undang atau Hukum Kanun Kedah (selepas ini disebut sebagai
'HKK' sahaja) seperti juga dengan undang-undang Melayu lama yang
terdapat di negeri-negeri Melayu lain di Nusantara ini adalah merupakan
suatu gaya penulisan atau gaya bahasa sesuatu zaman. Ianya juga
tergolong sebagai sebuah genre kesusasteraan Melayu lama atau tradisional,
satu-satunya penghasilan kreatif elit Melayu di kalangan istana
dengan ciri-ciri tersendiri sebagaimana yang terdapat pada corak-corak
sastera Melayu lama lainnya.
Seperti juga dengan teks lama yang bersifat historiografi, Hikayat
Merong Mahawangsa misalnya yang isinya seratus peratus tidak bersifat
sejarah, maka begitulah halnya dengan teks undang-undang lama. la
lebih banyak memaparkan tentang sosio-ekonomi dan sosio-budaya bagi
sesuatu masyarakat pada zaman silam, dan ini adalah sesuai dengan
pendapat yang menyatakan "bahawa sastera lama adalah sebahagian
daripada kebudayaan lama yang dipancarkan oleh masyarakat lama".
Di Kedah, penulisan HKK bermula pada 1060 Hijrah (1650 Masihi).
R.O.Winstedt telah membahagikan HKK kepada empat bahagian yang masing-masing
diberikan judul seperti berikut:
- Undang-undang Tahun l060 Hijrah (1650 Masihi).
- Tembera Dato' Paduka Tuan.
- Hukum Kanun Dato' Kota Star.
- Fasal Bunga Mas, Alat Kerajaan Pada Masa Bertabal, Orang
Besar-Besar dan Adat Meminang.
Dalam kata pengantar bahagian terawal dari HKK itu, penulisnya
mencatatkan begini :
"Pada tarikh seribu enam puluh
tahun, tahun zai, pada tujuh belas haribulan Jamadilakhir, hari
Jumaat, bahawa pada ketika itu maka adalah titah Syah Alam Yang
Maha Mulia terjunjung ke atas jemala Paduka Raja suruh salin ambil
taruh undang-undang perbuatan Dato' Besar dahulu
"
dan pada tempat lain pula penulisnya menyatakan :
"Maka undang-undang ini diperbuat
dan zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Shah semayam di Naga,muafakat
dengan sekelian menteri pegawai dan pendita membicarakan dia supaya
tetap adat ini janganlah berubah-ubah.............. "
Berdasarkan dua petikan di atas jelas menunjukkan undang-undang
itu mula ditulis pada 17 Jamadilakhir 1060 Hijrah yang menurut kiraan
saya bersamaan 26 Jun 1650. Sebagai sebuah hasilan karya istana,
ternyata penulisan HKK itu dilakukan dengan kehendak atau perintah
raja.
Kandungan HKK bahagian pertama itu ditulis sesudah berlakunya
serangan Acheh (1619) yang waktu itu pentadbiran Kedah berpusat
di Kota Siputih. Sultan Sulaiman Shah II, Sultan Kedah yang ke-12
(1602 - 1620) telah ditawan ke Acheh dan akhirnya mangkat di sana
(1626). Puteranya Sultan Rijaluddin Muhammad Shah, Sultan Kedah
ke-13 (1626 - 1652) telah memindahkan pusat pentadbirannya ke Kota
Naga.
Dan Kota Naga itulah baginda memerintahkan pembesarnya (Paduka
Raja) supaya menyempurnakan penulisan Undang-Undang Kedah seperti
yang ternyata dalam dua petikan tersebut. Kandungan bahagian pertama
dari HKK itu pada keseluruhannya mencatatkan tentang undang-undang
yang berkaitan dengan pelabuhan yang di dalamnya termasuk tatacara
mengendalikan pelabuhan, perdagangan dan pesara (pekan/bandar).
|