Anda di sini:
Sebelum

sambungan
Hukum Kanun Kedah—Satu Penelitian Mengenai Hukum Kanun Dato' Kota Star

Oleh: Dato' Haji Wan Shamsuddin Mohd. Yusof

 

Kelahiran undang-undang pelabuhan itu memang sesuai dengan situasi politik di Kedah waktu itu yang sudah stabil, tidak lagi diganggu-gugat oleh musuh-musuh dari luar. Ramai pedagang luar bertumpu ke pelabuhan Kedah termasuklah India (Kalinga dan Gujerat), Belanda yang waktu itu baru menduduki Melaka, Acheh dan kepulauan lain di Nusantara, juga Patani, Lakur (Ligur/Nakon Sithammarat), Singgora (Songkhla) dan Merdulung (Pattalung) iaitu negeri-negeri Melayu di selatan Thailand yang waktu itu sebahagian besarnya kewibawaan dan keutuhan politiknya masih belum tercabar. Hubungan erat dengan negeri-negeri tersebut jelas dapat dilihat bagaimana utusan atau duta mereka yang datang ke Kedah, disambut dan diberi penghormatan sewajar mengikut kecil besarnya kerajaan tersebut.

Bahagian kedua dari HKK iaitu "Tembera Dato' Seri Paduka Tuan"
terkarang pada 1078 Hijrah (1667 Masihi) seperti yang dinyatakan pada bahagian awalnya. Walaupun tidak terdapat nama sultan yang mengarahkan pembesarnya (Dato' Seri Paduka Tuan) untuk menulis undang-undang tersebut, tetapi ia dapat dikenalpasti. Berdasarkan tarikh tersebut (1078 Hijrah), namanya ialah Sultan Dhiauddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-15 (1661 - 1687) yang berpusat di Kota Indera Kayangan dalam Negeri Perlis.

Kandungan bahagian kedua HKK ini adalah membicarakan tentang kesalahan dan hukuman terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang dianggap jenayah dan yang dilarang oleh syarak. Paling banyak diutarakan ialah mengenai undang-undang pertanian dan penternakan. Antaranya seperti perintah membuat pagar di sawah dan hukuman terhadap kerbau dan tuan kerbau jika kerbaunya menceroboh masuk ke sawah orang lain yang sudah berpagar ataupun jika menanduk orang. Adanya peruntukan khusus dalam HKK yang berkaitan dengan persawahan itu, jelas membuktikan bahawa Kedah sejak abad ke-17 lagi telah pun terkenal sebagai sebuah negeri 'jelapang padi' di Nusantara ini.

Dalam 'Hukum Kanun Dato' Kota Star', bahagian ketiga dari HKK itu tidak tercatat langsung tarikh tercipta dan siapa Sultan Kedah pada waktu itu. Bagaimanapun berdasarkan sumber penulisan sejarah Kedah lainnya, dapat juga kita mengenalpasti. Nama Dato' Kota Star iaitu pembesar yang bertanggungjawab menyiapkan hukum kanun itu adalah satu gelaran penting yang ada kaitannya dengan nama 'Kota Star' iaitu pusat pentadbiran terakhir Negeri Kedah yang kemudiannya dikenali sebagai Alor Star.

Kota Star telah diasaskan pada 15 Syaaban 1148 (1735 Masihi) oleh
Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II, Sultan Kedah ke-19. Baginda memerintah antara tahun-tahun 1710 -1778, di samping peneroka bandar Alor Star, baginda juga mencipta beberapa perubahan dan pembaharuan termasuklah menetapkan matawang baru dan sukatan tanah. Dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ada menyebut tentang arahan baginda supaya menetapkan undang-undang negeri, antaranya ditegaskan:

"Adapun Sultan Muhammad Jiwa Yang Maha Mulia memerintah Negeri Kedah itu adalah mengikut peraturan negeri besar-besar. Baginda itu membuatkan undang-undang, adat dan syarak, serta dipertetapkan masing-masing pegangan di atas segala menteri-menteri tiada boleh menukar pekerjaan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan itu."

Berdasarkan kenyataan ini, pastilah orang yang bertanggungjawab melahirkan "Hukum Kanun Dato' Kota Star" itu ialah Sultan Muhammad Jiwa itu sendiri. Alasan ini dapat diperkuatkan lagi dengan adanya nama baginda yang disebutkan pada bahagian terakhir dalam HKK yang mengisahkan cara-cara membuat 'Bunga Mas' pada zaman baginda.

Hukum Kanun Dato' Kota Star (selepas ini diringkaskan sebagai 'HKDKS') pada keseluruhannya mengandungi lapan fasal iaitu yang berkaitan dengan:

  • Tugas Temenggung,
  • Perintah Raja-raja,
  • Syarat Raja-raja,
  • Bahasa Raja-raja,
  • Pakaian Raja-raja,
  • Lima Perkara yang dibenarkan rakyat biasa melakukannya,
  • Warna bendera untuk Raja-raja, Menteri dan Hulubalang,
  • Sifat kebesaran yang ada pada raja-raja dan para pembesar lain.

Seperti juga dengan tugas 'Syahbandar' yang begitu banyak diperkatakan dalam HKK, maka dalam HKDKS tugas 'Temenggung' paling banyak dinyatakan dari fasal-fasal yang lain. Selaku pembesar yang bertanggungawab untuk keselamatan negeri dan kesejahteraan rakyat, beliau bersama pembantunya seramai 60 orang sentiasa melakukan rondaan secara bergilir-gilir, di samping ada yang mengawal penjara. Mereka akan menangkap pesalah-pesalah seperti pencuri, penyamun, pemakan madat, penyabung ayam dan pembunuh orang.

Orang ramai tidak dibenarkan berjalan malam kecuali mempunyai sebab-sebab utama dengan syarat menggunakan damar (sebagai lampu atau obor). Mereka yang melanggar hukuman ini akan ditangkap, yang melawan akan dibunuh kerana "ia melawan titah raja". Sekiranya orang yang didakwa atau saksi-saksinya tidak menghadiri perbicaraan yang ditetapkan oleh Hakim, maka Temenggung akan menugaskan orangnya menuruti mereka. Pihak anak buah Temenggung yang mencari mereka akan mendapat upah atau bayaran dari mereka mengikut jarak dekat atau jauh mereka itu dapat dikesan. Misalnya jika ke Perlis atau Pedu upahnya dua emas,Tanjung Pauh upahnya dua kupang, sementara Anak Bukit atau Naga upahnya sekupang.

Fasal empat dan lima dalam HKDKS ditekankan segala 'larangan diraja' baik dari segi perkataan atau bahasa maupun dalam hal pakaian. Ini merupakan antara ciri-ciri keistimewaan yang diperuntukkan kepada raja-raja yang tidak boleh dilakukan oleh orang biasa. Dari segi bahasa, HKDKS menegaskannya begini:

"Fasal pada menyatakan hukum bahasa raja-raja itu lima perkara:
pertama 'titah', dan kedua 'kami', dan ketiga 'kita', dan keempat 'berpatik' dan kelima 'derma kurnia'. Maka kelima perkara ini tiada boleh berkata-kata dengannya mereka yang keluaran, barangsiapa melalui akan dia hukumnya dibunuh jika ia hamba raja, dan dikujut mulutnya jika ia keluaran
".

Apa yang menarik perhatian kita ialah perkara yang sama terdapat juga ada
teks Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Riau. Cuma yang berbeza dalam HKDKS tidak terdapat kata 'murka' dan ia sebaliknya digantikan dengan kata 'kita' manakala yang lainnya adalah serupa.

Dari segi pakaian pula, HKDKS menyatakan begini:

"Fasal pada menyatakan pakaian raja-raja itu empat perkara: pertama berkain kuning, dan kedua bertilam pandak empat persegi namanya peterana, dan ketiga ubur-ubur, dan keempat tombak bercabang. Maka seperti pakaian yang demikian, tiada boleh yang lain memakainya, barang-siapa memakainya kelak dirampas."

Kesemua larangan tersebut jelas menunjukkan betapa tingginya taraf seseorang raja dianggap berdaulat itu. Larangan tersebut bertujuan untuk membezakannya dengan rakyat jelata. Dalam HKDKS, di samping warna kuning menjadi warna khusus untuk pakaian diraja, terdapat dua perkara lagi yang menjadi kepunyaan raja seperti yang ditegaskan dalam fasal 6 iaitu:

  • membuat perusung atau alat mengusung orang yang
    dipanggil 'raja diraja'.

  • membuat binaan sebagai tambahan kepada yang sedia ada pada bahagian kiri dan kanan sesebuah bangunan, atau rumah, kapal atau perahu, yang dipanggil 'sayap lelayang'.
Kedua-dua perkara ini juga adalah dilarang kepada rakyat biasa
membuatnya.

Bagaimanapun ada pula kekecualiannya iaitu dalam mengerjakan sesuatu adat atau aktiviti harian, rakyat dibenarkan membina dua perkara di atas termasuk dibenarkan memakai pakaian berwarna kuning, tetapi mestilah dengan syarat-syarat tertentu dan yang ada kaitannya dengan kebaikan atau kepentingan kepada raja. Berikut ini diperturunkan beberapa kutipan menarik dari HKDKS yang berkaitan dengan perkara yang dibincangkan ini:

"Fasal yang menyatakan lima perkara yang boleh diperbuat oleh mereka
yang keluaran, kerana maaf dan diampuni raja.

  1. Pertama di atas 'mempelai' yang diarak, boleh ia memakai pakaian kekuningan dan pakaian beremas dan berpayung besar yang dipegang oleh orang serta bersorak-sorak, dinamai akan dia 'raja sehari', kerana puteranya pada sehari itulah raja kepada sekalian warisnya."
  2. Kedua di atas 'jenazah' boleh diperbuat mereka itu raja diraja dan sayap lelayang dan sulur bayung serta kain sampai, kerana puteranya sehari itulah hilang di mata mereka itu sekalian warisnya, sekalian pekerjaan itu tiada menjadi tulah atau papa.
  3. Ketiga di atas 'perahu' yang dibawa ke lautan boleh dibubuh sayap lelayang, maka petuanya tiada dapat pada ketika perahu itu dipinjam raja.
  4. Keempat pada 'masjid' boleh dibubuh sayap lelayang, maka petuanya di rumah Allah, apabila raja berangkat, nescaya singgah ia sembahyang.
  5. Kelima di atas 'pangkalan' yang besar-besar serta banyak orang pergi datang bolehlah diperbuat jamban berdinding papan dan bersayap lelayang.
Dan demikian juga pada 'jalan raya' hendaklah diperbuat telaga dan balai bersayap lelayang, maka petuanya tatkala raja berangkat mudik, bila dipandangnya jamban itu baik, dan singgahlah ia naik kepada jamban itu, dan apabila berangkat berburu, bila dipandangnya, balai dan telaga itu baik, nescaya singgahlah ia di situ, berhenti bersemayam."

Pada fasal terakhir HKDKS dinyatakan apakah sifat-sifat kebesaran yang ada pada seseorang para pembesar seperti Syahbandar, Laksamana, Temenggung, Panglima Negeri dan lain-lain termasuklah juga mata-mata dan 'hamba raja'. Pada keseluruhannya yang ingin ditegaskan oleh undang-undang tersebut ialah ketika para pembesar itu menjalankan kewajipan atau tugas yang ditetapkan, kuasa mereka seperti seorang raja, kerana mereka menjalankan tugas raja, seperti dalam beberapa kutipan berikut:

"Dan kebesaran Panglima Negeri, pada masa dititahkan raja berkerah, ialah raja, tiada boleh dilalui (dibantahi) sabdanya". "Dan kebesaran Temenggung itu pada masa membunuh orang dengan titah oleh raja, tiada boleh dilalui perkataannya kerana ialah raja pada masa itu".

Di bahagian terakhir HKDKS itu terdapat gelaran 'Seri Perdana Menteri' dan pada bahagian terakhir Hukum Kanun Kedah itu gelaran tersebut diulang lagi dengan sebutan 'Paduka Seri Perdana Menteri' atau 'Perdana Menteri' sahaja. Gelaran ini diberikan kepada seseorang pembesar paling kanan iaitu berjawatan 'Bendahara' dan ianya terus digunakan sehingga ke abad 19 iaitu pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1881- 1943), Sultan Kedah ke-25. Tokoh tersebut ialah Wan Muhammad Saman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kedah Darulaman pada tahun 1870 di zaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah, Sultan Kedah ke-23.

Sebenarnya masih terdapat beberapa gelaran lagi dalam Hukum Kanun Kedah itu yang digunakan dengan luasnya pada masa silam tetapi tidak dipakai lagi sejak akhir abad ke-19. Misalnya gelaran 'Orang Kaya Khankhan' atau 'Hakim Seri Maharaja Khankhan' dan juga 'Paduka Seri Maharaja Jalil'. Di samping bertugas sebagai Hakim Besar di dalam negeri, Orang Kaya Seri Maharaja Khankhan juga ditugaskan menggubal syarat-syarat perjanjian dengan pihak-pihak kerajaan lain malah ia sendiri bertindak sebagai wakil bagi pihak Sultan untuk menandatangani sesuatu perjanjian. Sementara Paduka Seri Maharaja Jalil bertindak sebagai Mufti di samping sebagai saksi dalam menyelesaikan sesuatu hal yang bersangkutan dengan pemberian tanah kepada rakyat. Namanya sering disebut pada bahagian akhir geran-geran tanah yang dikeluarkan di Negeri Kedah pada abad ke-19.

Pada akhir rencana ini kita perlu juga meninjau beberapa pendapat yang menyatakan adanya pengaruh-pengaruh luar dalam penulisan Hukum Kanun Kedah. Kebanyakan Hukum Kanun atau Undang-Undang Melayu Lama di negeri-negeri di Nusantara ini dikatakan banyak didasarkan kepada Hukum Kanun Melaka yang dianggap sebagai prototaip atau contoh penulisan undang-undang di negeri-negeri lain. Contoh yang jelas ialah 'bahasa diraja' iaitu beberapa perkataan yang dilarang kepada orang biasa menggunakannya seperti yang telah dinyatakan.

Persamaan lain dapat dilihat pada fasal yang membicarakan tentang 'tanah hidup' dan 'tanah mati'. Tetapi pada bahagian-bahagian lain, banyak perbezaan ditemui pada kedua teks itu. Misalnya dalam menghuraikan larangan yang dikenakan kepada rakyat biasa, dalam Hukum Kanun Dato' Kota Star ada kelonggarannya, iaitu rakyat biasa dibolehkan membuat sesuatu yang terkandung dalam 'larangan diraja' itu pada ketika-ketika yang tertentu.

Dalam mengendalikan pelabuhan dan perdagangan eksport-import dari kuala hingga ke ibu negeri, Hukum Kanun Kedah mencatatkan dengan teratur menurut protokol-protokol tertentu mengenai tugas pegawai-pegawai yang terlibat seperti Panglima Kuala, Panglima Negeri, Syahbandar dan Panglima Bandar, bila sesebuah kapal dari luar tiba. Kerana begitu rapi dan terperinci itulah maka kemungkinan ada kebenarannya bila Winstedt menyamakan dengan Undang-undang Pelabuhan yang terdapat pada zaman keagungan Dinasti Moghul di India yang menurutnya:

"After the fall of Malacca, Kedah became particularly rich in legal digests. The oldest recorded is dated A.D. 1650 and deal with port laws, which resemble closely those of the Great Moguls in the Tarikh-iTahiri".

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah