Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Perundangan Kerajaan Kedah Lama

oleh: Dr. Ahmad Jelani Halimi

Pengenalan

Kedah atau Kataha atau Kadaram atau Kallah telah lama dikenali oleh pelaut dan pedagang yang menjalankan perdagangan di antara India dengan China. Negeri atau pelabuhan ini yang mula muncul dalam sejarah sekitar abad ke-2M telah memainkan peranan penting sebagai pelabuhan persinggahan bagi kapal-kapal yang berlayar ke China atau ke India, baik yang menggunakan Selat Melaka atau yang menggunakan jalan darat merentasi utara Semenanjung ke Langkasuka di pantai timur. Sejak abad ke tiga ia telah menjadi sebuah pelabuhan penting di Semenanjung dan telah pun mempunyai perhubungan dengan pelabuhan Puhar (Kaverippattinam) di selatan India (R.Braddell;1980:343). Di samping itu pihak Cina juga telah mengenalinya ketika itu dan memanggilnya Chieh-ch'a. Chieh-ch'a dikatakan pernah mengirim utusan ke istana Cina pada tahun 638M (P.Wheatley;1980:46).

Oleh kerana pedagang-pedagang Arab dan Parsi telah bertapak di tenggara China sejak abad ke-7M, ada kemungkinan besar mereka telah pun mengenali negeri atau pelabuhan Kedah ini pada masa itu. Pada abad kesembilan catatan Arab ada menyebut tentang pelabuhan ini yang dikenalinya sebagai Kallah. Kallah disebut oleh Abu Zaid (916M) sebagai pusat perdagangan pelbagai jenis barangan termasuklah kayu geharu, cendana, kapur barus, gading, timah kayu baqam (kayu pencelup merah) dan rempah ratus (G.R. Tibbetts;1979;33).

Pada abad ke-11M, Kedah merupakan sebuah pelabuhan entrepot yang besar. Sejak masa itu perdagangan dengan pihak China juga menjadi lebih penting. Pengkalan Bujang dan Sungai Emas ketika itu menjadi pelabuhan entrepot yang penting bagi hasil-hasil dagangan Timur-Barat. Sebagai bukti wujudnya perdagangan ini, telah ditemui pelbagai peninggalan barangan dagangan di kawasan ini. Di samping peninggalan objek-objek dari Timur Tengah seperti lampu kaca Arab, botol-botol Arab dan tembikar Parsi, telah dijumpai juga serpihan-serpihan tembikar China zaman Sung dan Yuan. Selain daripada itu, terdapat juga bahan-bahan tembikar yang dipercayai berasal dari India (H.G.Q.Wales;1976:135).

Seperti yang dinyatakan di atas, Kedah bukanlah sebuah negara atau pelabuhan yang asing bagi pedagang dan pelaut Islam sejak dari masa terwujudnya perhubungan di antara dunia Arab (Islam) dengan China hinggalah ke abad ke-18M. Perkataan Kallah telah tercatat dalam banyak hasil tulisan penulis Arab sejak abad ke-9M lagi walaupun bukan semua mereka pernah sampai ke negeri (pelabuhan) itu. Kallah terdapat dalam kisah Akhbar Al-Sin Wa'l-Hind (850M). ia juga terdapat dalam catatan-catatan Ibn Khurdadhbih (850M), Ya'qubi (897M), Ibn Al-Faqih (903M), Ibn Rusta (900M) dan Abu Zaid (916M), Ma'udi (956M), Abu Dulaf (940M) dan Ibn Serapion (950M). Kallah juga tercatat dalam kisah-kisah Pelayaran Sinbad, Ajaib Al-Hind dan Mukhtasar Al-Aja'ib. Al-Biruni juga ada mencatatkan nama Kallah di dalam kitabnya, Kitab Al-Tafhim. Selepas abad ke -10M terdapat lebih banyak catatan tentang negeri Kallah ini dalam tulisan orang-orang Arab. Ini termasuklah catatan Kharaqi (1138M), Odrisi (m.1165M) dan Yaqut dalam kitabnya Mu'jam Al Buldan dan Marasid Al-Ittila, Ibn Sa'id (1274M) dan Abu'l-Fida (m.1331M).

Nampaknya bila masuk sahaja ke abad ke -14M, Kallah tidak lagi popular di kalangan pelaut dan pedagang Arab. Ramai yang melintas kawasan ini tidak menyebutnya. Kemungkinan besar pada masa itu Kallah telah membayangi oleh sebuah pelabuhan (kerajaan) besar yang baru muncul pada akhir abad ke-13M di bahagian timur Sumatera Utara, iaitu Samudra Pasai. Di samping itu Kallah juga kemudiannya telah ditawan oleh Pasai sekitar tahun 1380-an (Zakaria Ahmad;1978:290). Apabila masuk abad ke-15M, Kallah (Kedah) terus tenggelam akibat kebangkitan pelabuhan Melaka sebagai pelaut dan pengembara Arab seperti Shibab Ad-Din Ahmad ibn Majid dan Sulaiman Ibn Ahmad Al-Mahri yang melintasi kawasan ini tidak memberi penjelasan tentangnya. Kalau menyebutnya pun hanya sebagai panduan belayar.

Namun demikian perkara ini bukanlah bermakna bahawa pelabuhan Kedah telah hilang langsung. Ia terus wujud dan didatangi oleh pedagang dan pelaut dari kawasan lain seperti India dan China. Ia hanya kurang popular di kalangan pelaut dan pedagang Arab. Pelabuhan Kedah terus malap hinggalah ke abad ke-16M iaitu sehingga jatuhnya kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada 1511M. Selepas itu barulah pedagang-pedagang Islam mula beralih kembali ke pelabuhan di bahagian utara Selat Melaka seperti Pasai, Acheh dan Kedah. Akan tetapi orang-orang Islam yang mendatangi Kedah pada abad-abad yang terkemudian itu bukan lagi orang Arab, tetapi orang-orang Islam dari benua kecil India. Walaupun demikian ada pendapat yang mengatakan mereka itu sebahagian besarnya adalah dari keturunan Arab kacukan (Arasatnam;1989:1-21). Di samping itu pelabuhan yang mereka kunjungi bukan lagi Pengkalan Bujang di selatan negeri itu tetapi di Kuala Kedah.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!