Anda di sini:
 

Sebelum

Tengkolok Melayu Kedah

 
 

 Ikatan Syahbandar

Lipatan pada tapak kain tengkolok dibuat sebanyak tiga lapisan seperti pada tengkolok Laksamana. Tepi kain yang bercorak-corak setebal dua inci itu akan menjadi tubuh tengkolok Syahbandar mengelilingi kepalanya. Apabila dua hujung kuasanya disimpulkan selapis, pucuk tengkolok yang agak tebal dilentik ke atas kepala dan menampakkan pelit tiga lapis tadi dari hadapan dengan jelas (Tidak seperti yang berlaku kepada tengkolok ikatan lain). Pucuk tengkolok terletak di belakang telinga kiri mengarah ke belakang. Hujung kuasa sebelah kanan yang terpacul dari simpulnya dari sebelah dalam di atas pucuk tengkolok, menonjol ke hadapan di tengah-tengah dahi. Satu lagi hujung kuasa tidak dapat dilihat kerana tertindih di bawah lipatan dalam kain pucuk tengkolok. Sebahagian besar dari atas kepala tidak bertutup. (Lihat Gambar 8 )

Gambar 8

Ikatan Dato' Setia

Tengkolok Dato' Setia tidak jauh bezanya dari ikatan Syahbandar. Kain pucuk dilentur menghala ke telinga kiri dan tidak dibawa ke belakang kepala seperti tengkolok Syahbandar. Hujung kuasa dicantum sekali ke belakang kepala dan menjunam ke bawah di dalam kain pucuk tengkolok dan dengan begitu hujung kuasa tidak dapat di lihat. Hujung kuasa disembunyikan kerana Dato' Setia bukanlah pegawai yang berkuasa penuh, beliau hanya menjalankan tugas-tugas yang diperintahkan oleh Sultan. Sebahagian besar bahagian di atas kepala tidak ditutup. (Lihat Gambar 9)

Gambar 9

Ikatan Anak Baik-baik

(Tengkolok ini boleh dipakai oleh rakyat biasa yang tidak berpangkat atau berjawatan tetapi berketurunan baik-baik). Tidak seperti ikatan-ikatan lain, tengkolok anak baik-baik diikat terus di atas kepala. Tapak atau asas kain tengkolok dilipat cuma satu pelit sebelum kedua-dua hujung kuasanya dilipat bertindih-tindih antara satu sama lain. Kemudian kedua-dua hujung kuasa ini dimatikan dalam simpulannya yang longgar. Bahagian tengah kain yang dilipat tadi diletakkan di beIakang kepaIa dan pucuknya ditarik ke hadapan menutupi keseluruhan bahagian kepala. Kedua-dua hujung tapak kain ditarik ke hadapan mengelilingi kepala di kedua-dua bahagian kanan dan kiri. Bahagian kiri dilipat masuk di celah lipatan atas telinga kanan dan hujung kanannya dibelit ke dahi di luar pelipis kiri dan diselit di belakang tengkolok. Tempat diselit itu bergantung kepada saiz kepala pemakainya. Dalam ikatan Anak Baik-baik ini, tidak ada simpul tengkolok dan tidak ada hujung kuasa. Ikatan ini biasanya disebut sebagai "Ketam Budu". (Lihat Gambar 10)

Gambar 10
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah