Cari maklumat mykedah: 
 
   Anda di sini:
Selepas

Mek Mulung



Pengenalan
Mek Mulung merupakan suatu adunan kesenian yang telah digabung dalam satu persembahan. Ia terdiri dari unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Meskipun seimbas lalu persembahan kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya.

Asal-Usul
Kononnya pada zaman dahulu ada sebuah keluarga miskin yang menjadikan bidang hiburan sebagai sumber hidup. Si ayah yang bernama Pak Mohor telah membuat sejenis alat muzik bernama "Geduk" dan memalunya dengan gaya Menora. Si ibu pula membuat gendang dan memalunya dengan menurut cara Mak Yong. Sementara anak mereka yang bernama Mek Julung membuat sejenis alat muzik diberi nama "Semborong" dan memalunya sekeliling kampung.

Pada suatu hari dalam keghairahan memalu semborongnya, Mek Julung sampai ke tengah-tengah hutan. Beliau bertemu dengan seorang anak raja bernama "Cahaya Bulan" yang telah dibuang negeri lantaran hasutan seorang ahli nujum yang meramalkan bahawa "Cahaya Bulan" akan menimbulkan malapetaka di negeri. "Cahaya Bulan" tertarik hati dengan permainan Mek Julung, lalu baginda dan pengikut-pengikutnya turut bermain bersama dengan menambahkan lagi alat muzik yang sedia ada. Akhirnya kumpulan ini dinamakan "Mek Mulung".

Dikatakan permainan Mek Mulung berasal daripada Legor, Siam kemudian diperkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan Kedah-Siam. Tempat mula-mula ia diperkenalkan ialah di kampung Perik, Mukim Kurung Hitam, Daerah Padang Terap. Seterusnya permainan ini berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Persembahan
Persembahan Mek Mulung dimulai dengan upacara "bertabuh" di mana semua alat-alat muzik dimainkan dengan serentak. Selepas sepuluh minit, barulah lagu pembukaan yang lebih dikenali dengan lagu "bertabik" dimainkan.

Lagu bertabik dimulakan oleh seorang ketua kumpulan dan disambut oleh ahli-ahli kumpulan. Lagu ini dikatakan sebagai memberi penghormatan kepada segala keramat, jin, guru-guru yang telah lalu dan para dewa. Sementara itu tiga orang puteri akan menyanyi sambil menari. Tarian yang ditarikan, wujud dalam pelbagai bentuk ; ianya dibezakan oleh gerak jari dan tangan bagi satu-satu bentuk. Biasanya lima hingga tujuh jenis tarian akan dipersembahkan. Tarian-tarian tersebut ialah:

1. Tarian Sembah
2. Tarian Gambang
3. Tarian Puteri Mabuk
4. Tarian Menora
5. Tarian Sirama
6. Tarian Puteri Masuk Bilik Air
7. Tarian Sedayung

Setelah selesai Tarian ini maka selesailah lagu bertabik, dengan ini tamatlah satu senoh (1) dalam satu persembahan Mek Mulung. Setelah tamat satu senoh, pencerita akan memulakan hikayatnya. Peranan peristiwa ini dilakukan oleh Pak Mulung. Pencerita dalam persembahan Mek Mulung samalah sepertimana Tok Dalang dalam persembahan Wayang Kulit. Cuma bezanya Tok Dalang menggerakkan patung-patung wayang kulit sebagai pelakon manakala dalam teater Mek Mulung, pencerita turut sama berlakon dengan ahli-ahli yang lain. Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana di dalam cerita akan dilakukan dengan cara nyanyian beramai-ramai. Nyanyian ini disertai dengan pantun-pantun yang menarik. Permainan biasanya berlangsung selama 3 malam atau lebih.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!