|
Pendahuluan
Kira-kira 46 tahun yang lalu, satu undang-undang telah diluluskan
oleh Kerajaan Negeri Kedah yang menyatakan bahawa segala bentuk
permainan laga kerbau dan laga ayam adalah diharamkan. Sejak dari
itu maka terkuburlah satu seni budaya masyarakat Melayu yang telah
diwarisi turun temurun dan yang tinggal hanyalah sejarahnya sahaja
walaupun selepas undang-undang itu dikuatkuasakan masih ada usaha
untuk melanjutkan permainan tradisi ini iaitu permainan ini dijalankan
secara rahsia dari pengetahuan pihak berkuasa. Tetapi ternyata permainan
ini hanyalah sekadar untuk bersuka-suka dan lebih penting lagi untuk
tujuan perjudiaan semata-mata; ia tidak lagi merupakan satu permainan
yang penuh dengan upacara dan adat istiadat yang tertentu.
Bagi generasi sekarang ini, permainan laga kerbau ini sememangnya
suatu perkara luar biasa. Generasi ini tidak lagi berpeluang untuk
menyaksikan dengan mata kepala sendiri permainan warisan nenek moyang
mereka. Mereka hanya tahu tentang adanya permainan laga kerbau ini
melalui cerita-cerita orang tua-tua sahaja. Dari cerita-cerita ini
dapatlah dibayangkan oleh mereka bagaimana meriah dan hebatnya permainan
itu dan bagaimana ia menjiwai masyarakat Melayu ketika itu.
Dari jumlah penonton-penonton yang menyaksikan satu-satu perlawanan
laga kerbau itu, seramai kira-kira 4,000 orang (sememangnya jumlah
yang sebesar itu pada tahun sebelum 1936 adalah sangat dikagumi),
sudah cukup untuk membayangkan kepada kita bahawa permainan itu
amat penting dalam masyarakat Melayu ketika itu.
Di samping itu dapat dikatakan bahawa pembinaan satu arena khas
di Anak Bukit, kira-kira empat batu dari Alor Star untuk tujuan
permainan itu, sememangnya menjadi ukuran bahawa permainan ini bukanlah
dimainkan sewenang-wenangnya malah ia mempunyai satu organisasi
yang begitu tersusun sama ada di sebelah pihak penganjurnya mahupun
disebelah pihak penonton.
Sememangnya dapat dikatakan bahawa perlagaan kerbau ini adalah
satu permainan yang unik kerana persediaan sebelum permainan diadakan
memakan masa berbulan-bulan lamanya. Keadaan ini sudah cukup memberi
gambaran bahawa laga kerbau ini merupakan satu pesta yang besar
di Negeri Kedah pada ketika itu. 
|