|
Asal Usul Laga Kerbau di
Kedah
Dalam menentukan asal usul laga kerbau di Kedah ini tidak ada satu
sumber yang dapat dipegang sebagai bukti yang jelas tentang bilakah
dimulakannya dan dari mana asalnya. Selama ini, baik dari sumber
bertulis mahupun sumber lisan tidak dapat dikesan tentang asal usulnya.
Apa yang dapat diketahui hanyalah berdasarkan andaian-andaian yang
difikirkan munasabah. Apa yang jelas kepada kita ialah laga kerbau
ini adalah satu unsur permainan rakyat yang dimainkan oleh orang
Melayu dan sememangnya sangat popular pada zaman dahulu. Istimewanya,
di kalangan masyarakat Melayu di Kedah sebelum tahun 1936.
Sebenarnya kerbau itu sendiri mempunyai asal usulnya yang tersendiri.
Ada dikatakan bahawa kerbau-kerbau yang terdapat di Kedah pada hari
ini berasal dari Negeri Perlis. Mungkin pula ini dianggap sebagai
satu lagenda kerana tidak siapa dapat menentukan tempat asalnya
yang sebenar; hanya yang nyata dari mana berasalnya kerbau-kerbau
ini diperolehi dari cerita yang diperturunkan dari satu generasi
ke satu generasi.
Apa yang mungkin dapat kita percayai ialah kerbau-kerbau ini adalah
sejenis binatang yang mungkin dahulunya merupakan sejenis binatang
hutan yang liar. Dan kerana kemajuan manusia dalam pertanian, khususnya
dalam penanaman padi, maka tenaga kerja perlu diubahsuaikan. Mungkin
tenaga kerja yang menggunakan manusia untuk kerja-kerja membajak
dan mengangkut tidak lagi bersesuaian maka perlulah satu tenaga
kerja yang lebih sesuai dan berkemampuan. Maka di sinilah kemungkinan
timbulnya idea untuk menjinakkan binatang dan dijadikan binatang
peliharaan supaya dapat digunakan tenaganya untuk tujuan pertanian
itu. Ada kemungkinan juga kerbau-kerbau yang terdapat di Kedah ini
adalah berasal daripada Negeri Siam dan telah dibawa masuk ke Kedah
untuk membajak sawah-sawah.
Masyarakat Melayu di Kedah rata-ratanya adalah kaum petani sejak
berabad-abad lamanya. Kehidupan mereka adalah bergantung kepada
hasil pertanian, istimewanya padi sebagai makanan dan sara hidup
dan kerbau sebagai sumber tenaga kerja yang utama. Dahulu kerbau
juga dianggap sebagai harta dan simbol kekayaan. Dari jumlah kerbau
yang dipeliharanya, secara tidak langsung orang akan mengetahui
kekayaan dan keluasan tanah sawah seseorang itu. Banyak kerbau bermakna
banyaklah tanah sawahnya.
Sebagai masyarakat Melayu yang menjalani hidupnya dengan usaha
tenaganya mereka memerlukan masa untuk berehat dan menikmati hasil
kerajinan mereka yang diusahakan sejak berbulan-bulan lamanya itu.
Jadi, dalam memenuhi masa rehat itu berbagai-bagai bentuk permainan
dicipta untuk mendapat hiburan dan kelegaan dan untuk melupakan
segala masalah dan penat lelah semasa mereka bekerja dahulu. (Mungkin
dapat kita anggapkan ini sebagai satu escapism. Maka dengan ini
lahirlah berbagai bentuk permainan yang kemudiannya menjadi satu
unsur kebudayan. Di antara permainan yang dapat dikesan temasuklah
permainan wau, gasing, makyong, menora, hadrah, mek mulung, wayang
kulit, laga ayam, laga kerbau dan sebagainya.
Apa yang lebih menarik ialah kebanyakan daripada permainan itu
dimainkan selepas habis musim menuai padi. Jadi ini membuktikan
bahawa permainan itu bertujuan untuk escapism dan bersuka-sukaan
selepas teruk bekerja. Di samping itu permainan seperti makyong,
wayang kulit, hadrah, mek mulung dimainkan di majllis kenduri perkahwinan
dan selalunya kenduri perkahwinan orang Melayu ini diadakan selepas
musim menuai.
Dalam konteks asal usul laga kerbau ini jelaslah bahawa ia lahir
dari inspirasi masyarakat itu sendiri yang memandang kerbau itu
sebagai satu jenis binatang yang bukan sahaja penting untuk tujuan
bekerja tetapi juga penting sebagai alat hiburan. Ia dijadikan sebagai
binatang yang dapat dilagakan untuk menentukan kejaguhan dan kagagahannya
di samping memberi hiburan kepada orang ramai. Kemenangan dalam
perlawanan ini bukan sahaja akan menaikkan dan mengharumkan nama
kerbau itu, tetapi juga akan menaikkan imej dan status tuan punya
kerbau itu di samping ganjaran-ganjaran lain yang diterima.
Pada permulaannya, permainan laga kerbau ini mengambil tempat
yang penting di dalam majlis kenduri perkahwinan orang Melayu dan
juga pada hari-hari pesta. Tujuannya ternyata untuk memberi tontonan
dan hiburan kepada tetamu-tetamu yang dijemput. Di dalam majlis
kenduri perkahwinan, selain daripada jamuan, para jemputan juga
dihidangkan dengan aturcara lain, supaya mereka tidak lekas meninggalkan
majlis itu, dan supaya majlis itu berlangsung dengan lebih meriah.
Di dalam masyarakat Melayu, majlis kenduri perkahwinan merupakan
upacara yang paling meriah diadakan oleh setiap ahli keluarga dan
ia melibatkan bukan hanya ahli keluarga itu sendiri tetapi seluruh
penduduk kampung itu juga turut sama terlibat berdasarkan konsep
gotong-royong yang sememangnya menjadi amalan hidup orang Melayu.
Di sini perlagaan kerbau merupakan satu bentuk hiburan yang paling
digemari ramai.
Daripada asalnya, sebagai permainan di majlis perkahwinan orang
Melayu maka permainan laga kerbau ini telah berkembang dan menjadi
semakin popular di kalangan masyarakat Melayu di Kedah ini. Akhirnya
permainan laga kerbau ini telah diiktiraf sebagai permainan negeri
dan pihak Kerajaan Kedah sendiri telah memberi sokongan kepada perkembangannya.
Kesan Undang-Undang 1936
Walaupun permainan ini begitu popular di Kedah,
menjelang tahun 1930an kontroversi pendapat telah timbul mengenai
perlagaan ini. Kontroversi ini akhirnya telah membawa satu zaman
kegelapan terhadap permainan ini di mana pada bulan Mac 1936, Kerajaan
Kedah telah meluluskan satu undang-undang mengharamkan permainan
laga kerbau dan juga laga ayam di seluruh Negeri Kedah. Pengharaman
ini dibuat atas dasar perikemanusiaan - permainan ini dianggap sebagai
satu kekejaman dilakukan ke atas binatang-binatang. Dengan berkuatkuasanya
undang-undang ini, maka tindakan tegas telah diambil oleh pihak
berkuasa ke atas sesiapa yang masih lagi menjalankan perlagaan ini;
mereka yang engkar telah ditangkap dan kerbau-kerbau berkenaan dirampas.
Namun begitu, pada masa sekarang laga kerbau ini masih boleh dibenarkan
dengan mendapat kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu dengan
memberikan alasan - alasan yang munasabah, umpamanya sebagai menunaikan
nazar. Misalnya pada tahun 1977, dua permainan laga kerbau telah
diadakan di Sungai Limau dan di Padang Lumat kerana tujuan menunaikan
nazar bagi generasi muda sekarang ini, amatlah sukar bagi mereka
untuk menyaksikan permainan laga kerbau ini kerana jarang-jarang
sekali diadakan.
Sememangnya permainan ini adalah hasil ciptaan orang Melayu sendiri
dan telah menjadi satu permainan turun-temurun. Walaupun adanya
undang-undang 1936 yang mengharamkan permainan ini, ternyata undang-undang
ini tidak dapat menghapuskan kebiasaan ini sepenuhnya.
Permainan ini mengalami kemerosotan bukan sahaja disebabkan undang-undang
mengharamkannya tetapi kesukaran untuk mendapatkan kerbau laga (fighting
bufflo) juga menjadi satu masalah. Ini adalah kerana dalam permainan
ini tidak semua kerbau boleh dilagakan. Kerbau yang digunakan untuk
lagaan ini dipilih dari jenis yang tertentu yang mempunyai kualiti
yang dikehendaki. Jadi masalahnya ialah untuk mendapatkan jenis
kerbau yang sebagaimana dikehendaki. Kadang kala kerbau laga ini
terpaksa dicari hingga ke Perlis. Kedua-dua faktor tersebut sama-sama
memberi kesan kepada perkembangan permainan ini.
Laga Kerbau Sebagai Satu
Permainan Tradisi
Kepopularan pertandingan laga kerbau di Kedah
ini sebelum 1936 sememangnya satu perkara yang tidak dapat dinafikan.
Ini jelas dilihat apabila kita menyoal kepada orang-orang tua; mereka
dengan perasaan gembira akan menceritakan dari hal laga kerbau yang
pernah mereka saksikan ataupun yang mereka sendiri terlibat sama.
Keseronokan yang dibayangkan oleh mereka ini dapat kita jadikan
ukuran tentang betapa pentingnya laga kerbau itu memainkan peranan
di dalam kehidupan mereka dahulu.
Sebagai permainan rakyat pihak kerajaan Negeri Kedah pernah menjadikan
laga kerbau ini sebagai satu permainan rasmi bagi Negeri Kedah.
Biasanya pertandingan secara rasmi ini diadakan dua kali setahun.
Pusat pertandingan rasmi ini biasanya diadakan di Anak Bukit dan
dihadiri oleh kerabat di raja, pegawai-pegawai dan seluruh rakyat
jelata.
Untuk tujuan pertandingan itu, satu gelanggang
dibina khas dan menyerupai sebuah stadium. Gelanggang ini dikenali
sebagai 'Hang'. Gelanggang berukuran 300 kaki persegi; tempat duduknya
bertingkat-tingkat (selalunya dua tingkat) dibina sebelah menyebelah
gelanggang pertandingan itu. Tempat duduk ini diperbuat daripada
kayu dan juga buluh serta daun nipah sebagai atapnya. Untuk rakyat
biasa yang ingin menonton, mereka dikehendaki duduk di atas tempat
duduk yang disediakan itu yang tingginya lebih kurang 4 kaki dari
tanah. Bayaran dikenakan kepada penonton yang ingin menduduki di
tempat duduk yang dibina khas dan berbumbung sahaja. Tempat yang
tidak berbumbung tidak dikenakan sebarang bayaran. Untuk kerabat
diraja dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan satu tempat dibina khas
untuk mereka menyaksikan pertandingan itu. 'Hang' ini mempunyai
empat pintu dan untuk menjamin keselamatan penonton yang tidak dikenakan
bayaran semasa pertandingan dijalankan, dibina pagar kayu disekeliling
gelanggang yang mereka duduki. Biasanya pembinaan gelanggang akan
mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.
|