Anda di sini:
 
SebelumSelepas
sambungan
Laga Kerbau

 
 

Persediaan Sebelum Pertandingan

Biasanya di dalam pertandingan rasmi ini orang perseorangan atau pasukan yang ingin mengambil bahagian dikehendaki memberitahu kepada pengerusi pertandingan, butir-butir yang diperlukan, seperti saiz kerbau itu, empat bulan sebelum pertandingan diadakan. Selepas permohonan mereka diterima pihak jawatankuasa pertandingan akan menghebahkan berita pertandingan itu ke seluruh daerah di dalam negeri melalui penghulu-penghulu mukim. Untuk mendapatkan kerbau yang ingin berlawan, penghulu juga perlu diberitahu tentang saiz kerbau yang di kehendaki untuk berlawan dengan pencabar-pencabar yang sedang menungggu. Dan penghulu pula akan menghebahkan berita ini kepada penduduk di mukimnya. Jika di dapati ada pihak sama ada orang perseorangan atau kumpulan yang ingin menerima cabaran itu dan kerbau-kerbau mereka itu didapati sesuai dengan kerbau lawannya maka jawatankuasa pertandingan akan memilih tempat dan tarikh yang sesuai untuk pertandingan itu dan dengan itu gelanggang pertandingan mulai dibina. Pada masa itulah juga nama-nama pasukan itu diberi oleh jawatankuasa pertandingan seperti Pasukan Padang atau Pasukan Kampung.

Di dalam pertandingan laga kerbau ini, penentuan saiz amat penting. Ini bermakna kerbau yang besar saiznya akan berlawan dengan kerbau yang sama saiz dengannya. Perlawanan yang tidak mengikut saiz dianggap tidak adil di dalam menentukan saiz kerbau ini, berbagai-bagai aspek dilihat umpamanya tinggi kerbau itu, panjangnya dan juga lingkaran badannya diukur. Ketinggiannya diukur dari bahagian tengah belakang kerbau hingga ke tanah; panjangnya diukur dari hujung hidungnya hingga ke pangkal ekornya dan untuk mengukur besarnya badan diukur lilitan bahagian badan yang paling besar.

Kira-kira tiga bulan lagi pertandingan akan dimulakan, kerbau yang akan bertanding dibawa ke satu tempat yang berhampiran dengan gelanggang pertandingan itu. Pada masa ini jagaan rapi amat penting. Di samping jagaan dan perhatian yang teliti, latihan-latihan juga diberikan sehinggalah ke hari pertandingan. Di samping itu, tuan empunya kerbau itu dan saudara-maranya juga akan dibenarkan untuk tidur malam bersama-sama dengan kerbaunya. Disepanjang 3 bulan sebelum pertandingan itu dijalankan, orang ramai dibenarkan melihat kerbau-kerbau yang hendak dipertandingkan itu. Sememangnya pertaruhan dan perjudian tidak dapat dielakkan. Pada masa inilah mereka yang berminat untuk membuat pertaruhan akan melihat dan memilih kerbau yang pada pandangannya akan beroleh kemenangan.

Satu perkara yang penting sebelum menjelangnya pertandingan ialah latihan. Ini adalah kerana ada di antara kerbau-kerbau yang akan mengambil bahagian itu tidak mempunyai pengalaman dalam permainan itu dan setengahnya adalah kerbau liar yang baru ditangkap atau didatangkan dari daerah-daerah lain. Jadi masa tiga bulan sebelum pertandingan itu adalah merupakan satu masa yang penting dalam memberikan latihan dan sebagainya. Kerbau-kerbau ini perlu dibiasakan dengan keadaan alam sekeliling yang baru itu dan di antara kerbau-kerbau itu selalu ditemukan supaya menaikkan semangat perlagaan. Masa yang paling sibuk dan penting ialah tiga hari sebelum perlawanan dimulakan. Pada masa ini hanya pegawai-pegawai pertandingan dan orang-orang tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki ke gelanggang di mana kerbau-kerbau itu ditempatkan dan ini adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan kerbau-kerbau itu terutamanya makanannya selalu diperiksa supaya tidak menjadi mangsa kepada penjudi-penjudi yang telah pun siap sedia dengan pertaruhan masing-masing. Untuk membiasakan kerbau-kerbau itu dengan keadaan pertandingan dan di mana ia akan menghadapi penonton yang ramai maka sebelum pertandingan itu ia dibiasakan dengan bunyi pukul gong pada masa-masa tertentu iaitu sekali di masa tidur, sekali di masa bangun dan sekali di masa makan.

Pada malam hari pertandingan akan dilangsungkan merupakan masa untuk membuat persiapan terakhir. Pada malam itu gembala akan membuat apa yang patut untuk menghadapi pertandingan esok harinya. Pada malam ini tanduk kerbau itu diasah dengan kaca supaya tajam dan 'disepuh'. Badan kerbau pula dilicinkan dengan upacara 'pakan'. Jadi setiap upacara pada malam itu adalah tertumpu pada usaha supaya kerbau pihak musuh dapat ditewaskan dalam perlawanan esoknya. Untuk memeriahkan lagi temasya laga kerbau itu maka pada malam itu juga diadakan keramaian, selalunya diadakan permainan makyong. Dengan ini menimbulkan lagi suasana kemeriahan pesta laga kerbau ini.

Peranan Bomoh

Di dalam permainan laga kerbau ini bomoh juga memainkan peranan penting. Bomoh ini dikatakan memainkan peranan penting dalam menentukan kalah menangnya sesuatu pertandingan itu. Di dalam permainan laga kerbau di kalangan orang Melayu di Kedah ini nama-nama bomoh laga kerbau seperti Tok Man Taruk Labu dan Tok Mat Tahi Lalat memang tidak asing lagi di kalangan peminat-peminat laga kerbau.

Bomoh-bomoh ini mempunyai cara yang tersendiri dalam memainkan peranannya untuk mendapatkan kemenangan. Umpamanya malam sebelum pertandingan itu dijalankan ia akan memberikan minuman kepada kerbau itu dengan air yang disediakan khas olehnya. Kemudian upacara seterusnya dilakukan dengan menggunakan beberapa biji telur. Telur-telur ini dimasukkan ke dalam sebuah talam dan dikocak-kocakkan supaya telur itu berlaga-laga sesama sendiri. Ini adalah satu simbol seolah-olah kerbau itu yang berlaga. Dalam soal ini dikatakan mereka menggunakan kuasa 'hantu raya'. Kuasa-kuasa ghaib inilah yang sebenarnya dikatakan menolong kerbau-kerbau itu untuk mencapai kemenangan. Walaupun begitu, bomoh kerbau ini juga tidak pula dapat menjamin seratus-peratus kemenangan tetapi itu hanyalah satu usaha dan segala-galanya terletak di tangan tuhan.

Selain daripada upacara pemujaan kuasa ghaib ini, bomoh juga memainkan peranan sebagai orang yang pakar di dalam menentukan jenis-jenis kerbau laga yang baik yang akan menang dalam pertandingan. Dalam hal ini bomoh akan memberi nasihat dalam memilih kerbau laga itu. Di antara kerbau laga atau disebut 'kerbau sabung', yang dikatakan baik ialah, pertamanya dilihat pada umurnya di mana umur yang sesuai untuk disabungkan ialah 7 tahun dan pada umur ini dianggap 'kukuh' dan boleh berlaga sampai ke tua. Kerbau yang berumur 5 tahun diistilahkan sebagai 'kerecek' iaitu masih mentah dan tidak kukuh.

Tanda-tanda kerbau sabung juga pada pandangan bomoh dilihat pada 'pusar' nya. Pusar tunggal yang terletak di atas bahunya dianggap sebagai kerbau sabung yang baik. Di samping itu lagi, kriteria lain yang semestinya ada pada seekor kerbau sabung yang baik seperti memiliki telinga yang kecil dan kedudukannya rapat dengan tanduk, warna (roma) kerbau itu hendaklah hitam dan dilihat pada kaki pula tempat persambungan warna hitam dengan putih hendaklah sama, persambungan yang tidak sama diistilahkan sebagai 'koyak' dan ini bermakna kerbau itu mudah dikalahkan. Mata kerbau itu juga hendaklah sempit, simbolnya ialah kalau matanya sempit ia hanya akan melihat musuh yang dihadapannya dan kosentrasinya akan lebih pada musuhnya tetapi kalau matanya luas maka pandangannya juga akan menjadi luas dan kosentrasi pada lawannya akan berkurangan. Tanduknya mestilah runcing iaitu tajam di hujung dan lebar di pangkal dan mestilah dalam keadaan yang baik iaitu tidak retak.

Sememangnya dalam mencari kerbau sabung yang baik yang mempunyai sifat-sifat luar biasa ini bukanlah satu perkara yang mudah. Pernah satu ketika tidak terdapat di seluruh Negeri Kedah kerbau yang mempunyai sifat-sifat luar biasa itu dan terpaksa diusahakan mencarinya hingga ke Perlis.

Memilih masa dan ketika yang baik untuk mengadakan perlagaan juga penting kerana bomoh akan memberi nasihat dan menentukan masa-masa yang sesuai bagi tiap-tiap jenis kerbau yang akan turun ke gelanggang. Misalnya kerbau balar (jenis kerbau yang berwarna putih) lemah pada waktu petang tetapi kuat pada masa yang lebih awal. Begitu juga ada kerbau yang gagah pada waktu pagi tapi jika perlawanan itu di sebelah petang ia akan kalah dan sebaliknya.

Melihat cara kerbau itu tidur sudah dapat ditentukan oleh bomoh kalah menangnya. Contohnya kalau kerbau itu tidur dengan punggungnya menghala dari arah mana asal lawannya maka ini menunjukkan ia seolah-olah akan lari dan bermakna ia akan kalah. Kalau kepalanya menghala arah musuh, ini merupakan satu petanda yang baik.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah