
Arena perlagaan ayam dipanggil
"bon" |
 |
Satu daripada kegemaran orang-orang melayu ialah berlaga ayam atau
menyabung ayam. Permainan ini, jika boleh dipanggilkan permainan,
berasal beratus-ratus tahun malahan beribu tahun jika dikira ia
telah wujud di zaman Kerajaan Langkasuka lagi.
Arena ayam berlaga ini dipanggil "bon". Bon zaman dahulu
merupakan sebuah lubang dua kali dalam yang dikorek bulat dengan
garis lentang sepanjang 14 kaki di atas tanah. Bon sekarang tidak
dikorek tanah lagi tetapi di atas keluasan yang sama kawasan itu
dilengkongi dengan guni atau kain plastik sebagai dinding.
Ketua yang menjadi pengadil perlagaan ialah "Nai Bon".
"Nai" ialah Tuan atau Ketua dalam bahasa Thai. Nai Bon
ialah orang yang menentukan masa pusingan, jumlah pusingan dan syarat-syarat
lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Satu-satu pusingan itu dipanggil "Air". Satu air berlangsung
selama lima belas minit iaitu selama sebiji batil yang berlubang
kecil tenggelam di dalam sebuah pasu air. Sekarang ini batil itu
digantikan dengan tempurung sahaja.
Sebelum memulakan perlagaan, ayam-ayam yang hendak bertanding dipadankan
terlebih dahulu. Banyak pasang dipadankan serentak di dalam bon.
Pasang-pasang yang hendak berlaga dipegang dan diletakkan menghadapi
satu sama lain oleh tuannya atau juara masing-masing. Juara ialah
orang yang membawa ayam masuk ke dalam bon, boleh jadi tuan ayam
itu sendiri atau orang lain yang dipercayai oleh tuan ayam. Persetujuan
antara tuan ayam dan juara-juara dengan pasangan masing-masing perlu
diperolehi dengan jelas. Nai Bon memerhatikan persetujuan-persetujuan
itu dihormati kelak.
 |

"Bon" mempunyai garis lentang 14
kaki dan ketinggian 2 kaki dibuat
dari kain guni atau plastik.
|
Selepas upacara berpadan, ayam-ayam diambil semula dan bersiap
diri untuk berlaga. Masa ini tuan-tuan ayam akan berusaha menambah
susuh, membalut susuh, meletakkan taji dan sebagainya supaya ayam-ayam
berlaga sama padan dan sama sesuai seperti yang dipersetujui tadi.
Menambah susuh ialah melekatkan susuh yang diambil dari ayam yang
telah mati tetpi susuh itiu masih keras, kuat dan tajam. Susuh yang
diraut dari tanduk tidak menjamin keberkesanannya seperti susuh
ayam tua. Jika seekor ayam itu mempunyai susuh yang terlalu panjang
dari lawannya, susuhnya hendaklah dibalut sedikit.
Ayam-ayam itu dibasuh dengan air biasa. Air ini dibasahkan kepada
sehelai kain dan dengan kain itu seluruh badan ayam dari kepala
hingga ke kakinya dibasuhkan. Bulu-bulu sayap, bahagian bawah sayap
dan ekornya digosok hingga basah kuyup. Rengkung ayam dijolok dengan
bulu ayam supaya keluar lendir yang boleh mengganggu pernafasannya.
|