Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Dalam Konteks Penulisan Sejarah Kedah

oleh: Profesor Dr. Mohd. Isa Othman

 
 

Syair sejarah warisan Kedah yang penting ialah Syair Sultan Maulana yang mempunyai 1192 rangkap dan dikatakan hasil tulisan Sultan Ahmad Tajuddin II. Pendapat lain menganggap karya ini dihasilkan oleh pujangga istana bagi pihak Sultan. Sebuah lagi syair penting ialah Syair Duka Nestapa yang mengandungi 450 rangkap. Syair romantis-simbolis ini ditulis oleh Sultan Ahmad Tajuddin II sebelum tahun 1842 semasa dalam buangan di Melaka.

Penulisan sejarah tentang Kedah terus mendapat perhatian penulis-penulis selepas Tanah Melayu merdeka. Hasil-hasil karya sejarah yang komprehensif termasuklah :

  1. G.M. Khan, History of Kedah, Penang, 1958.
  2. Haji Buyung Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur : DBP, 1980.
  3. Haji Ibrahim Ismail, Sejarah Kedah Sepintas Lalu, Jitra : UUM, 1987.

Selain itu terdapat juga pengkaji-pengkaji yang menghasilkan karya berdasarkan tema-tema terpilih. Antara yang telah diterbitkan :

  1. R. Bonney, Kedah 1771-1821, The Search For Security and Indepence, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1974.
  2. Sharom Ahmat, "Kedah - Tradition and Change in a Malay State : A Study of the Economic and Political Development," MBRAS no. 12, 1984.
  3. Khoo Kay Kim (ed.), "Beberapa Aspek Sejarah Kedah," Persatuan Sejarah Malaysia, 1983.
  4. Cheah Boon Kheng, The Peasant Robbers of Kedah 1900-1909, Kuala Lumpur : Oxford University Press.
  5. Mohamad Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur : DBP, 1990.
  6. __________________, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945, Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.

Nampaknya penulisan sejarah tentang Kedah telah menarik minat ramai para pengkaji tempatan dan luar yang telah menghasilkan tesis dan artikel dalam berbagai jurnal. Di dalam gugusan karya sejarah Kedah, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tetap mempunyai kedudukannya yang tersendiri.

Riwayat Pengarang

Muhammad Hassan J.P. bin Muhammad Arshad (Tok Kerani Rahsia Raja al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah) bin Tuan Haji Abu Bakar Kadhi (1846) bin Tuan Syeikh Abdul Kadir (Mufti 1804-1878) bin Tuan Syeikh Abdul Wahab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani Yaman, Bandar Sanaa. (lihat Carta 1)

Jelas Muhammad Hassan datang dari keluarga ternama Melayu yang banyak menyumbangkan derma bakti dalam bidang keagamaan dan pentadbiran negeri sejak pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II. Saudaranya Cik Mohammad Ariffin juga merupakan tokoh penting dalam pentadbiran Kedah dengan memegang jawatan Setiausaha Sultan dan kemudian sebagai Setiausaha Kerajaan Kedah yang pertama.

Muhammad Hassan dilahirkan lebih kurang pada tahun 1280H (1868M) iaitu semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin III (1854-1879). Beliau dikatakan bersekolah Melayu bersama-sama Tunku Abdul Hamid, di Alor Star. Sekolah Melayu yang ada di Kota Star ketika itu terletak di Padang Lepai. Sekolah ini dibuka pada 12.5.1861 bagi mengajar pelajar diraja dan bangsawan. Muhammad Hassan kemudiannya dilantik menjadi ketua istana. Beliau juga menjadi Setiausaha Sulit Sultan Abdul Hamid dan kerana itu dikenali sebagai Encik Hassan Yamtuan. Sudah teradat pada zaman tersebut, para pembesar dan orang yang berjasa kepada Sultan akan mendapat ampun kurnia. Dalam hal ini, Muhammad Hassan mendapat hasil repai, mukim Telaha Emas. Sebagai Setiausaha Sulit Sultan dan hubungan rapat dengan baginda maka Muhammad Hassan banyak mengiringi Sultan dalam banyak lawatan keluar negeri - ke Siam, Burma, India dan England. Muhammad Hassan meninggal dunia pada 19 Ramadhan 1361H bersamaan 30.9.1942.

Latar Belakang Penulisan

Al-Tarikh Salasilah ditulis setelah Muhammad Hassan menerima perintah daripada Tunku Ibrahim ibn Sultan Abdul Hamid, Pemangku Raja pada 1 Rejab 1345H (5 Januari 1927). Tunku Ibrahim mahu sebuah tulisan baru tentang sejarah Kedah dibuat kerana tidak berpuas hati dengan karya Wan Yahaya yang dicetak di Pulau Pinang dan diharamkan pengedarannya di Kedah atas perintah Tunku Ibrahim. Pengharaman ini dibuat kerana buku tersebut dianggap mendedahkan beberapa kelemahan kerajaan dan kesultanan Kedah. Bagi masyarakat Kedah yang masih dikongkong oleh pengaruh feudalisme ketika itu, tentu tidak memerlukan kritikan terbuka. Menurut Siti Hawa Salleh, Tunku Ibrahim tidak berpuas hati kerana :

Berbanding dengan pengarang-pengarang karya historiografi lain yang sentiasa menyanjung tinggi rajanya, Wan Yahaya telah memasukkan cerita-cerita yang dikemukakannya ialah kisan perkahwinan putera-puteri raja yang menelan belanja yang bukan kecil hingga terpaksa meminta pinjaman daripada Raja Siam. Disenaraikan secara terperinci perbelanjaan yang diperlukan. Dimuatkan juga dalam buku itu salinan satu surat daripada seseorang di Kedah kepada Raja Siam yang antara lain mengatakan Sultan Abdul Hamid tidak siuman.

Namun setelah 17 tahun Salasilah atau Tawarikh Kerajaan Kedah dicetak barulah Al-Tarikh Salasilah dihasilkan. Bila diperintahkan, barulah pengarang menulis dan buku ini telah dicetak oleh Jelutung Press pada tahun 1928. Empat puluh tahun kemudian (1968), Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan pula hasil transkripsi rumi yang diusahakan oleh Mohd. Zaid b. Mohd. Syah. Al-Tarikh Salasilah merupakan lanjutan penulisan sejarah tradisi istana dan terus bersifat istana centric. Ini tidak menghairankan kerana penulis sendiri diperintah oleh pihak istana seperti yang dijelaskannya.

Ammaba'du, adapun kemudian daripada itu, dalam tahun Hijrah seributiga ratus empat puluh lima (1345) pada seharibulan Rejab (5 Januari 1927), zaman Seri Paduka Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah Yang Maha Mulia lagi maha tinggi daulatnya, yang bersemayam di atas takhta kerajaan Kedah Darul Aman dan pada masa terhimpun kekuasaan Sultan Yang Maha Mulia kepada puteranya Tunku Ibrahim C.M.G., C.V.O. Yang Maha Mulia Regent, maka tatkala itu bertitah suruh menzahirkan Tawarikh Salasilah ini supaya diketahui oleh isi negeri. Maka terjunjunglah titah itu.

Walaupun masyarakat Melayu masih hidup dalam suasana feudalisme, tetapi masyarakat Melayu sudah mengalami perubahan terutama kesan penjajahan British. Kehidupan intelektual Melayu sudah mengalami perubahan dan autoriti hikayat-hikayat Melayu seperti HMM sudah dipersoalkan sebagai tidak mencerminkan realiti dan penuh dongeng. Oleh hal yang demikian, beberapa percubaan dibuat menulis semula sejarah menurut perspektif sezaman. Dan adalah menjadi satu kecenderungan setiap generasi menulis semula sejarah. Inilah satu daripada kedinamikan ilmu sejarah itu. Dalam konteks Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, kita dapati beberapa persoalan mempengaruhi 'pandangan dunia' penulisnya.

Campurtangan British dianggap membawa perubahan dalam berbagai aspek kehidupan politik, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan sosial. Hal ini setidak-tidaknya turut mempengaruhi juga sikap penulis dalam membuat tafsiran sejarahnya. Satu contoh paling menonjol mungkin boleh dibuat daripada beberapa karya Munshi Abdullah. Muhammad Hassan pula tentunya terpaksa menyesuaikan dengan kehendak masyarakat dan pegangan hidupnya serta konsep penulisan sejarahnya.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah