Anda di sini:
 

Sebelum
sambungan
Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Dalam Konteks Penulisan Sejarah Kedah

oleh: Profesor Dr. Mohd. Isa Othman

 
 

Perhubungan dengan Barat bermula pada zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin Muhammad Syah (1619-1652) iaitu Sultan ke-21 dan bersemayam di Kota Naga. Dua kuasa barat yang cuba membuat hubungan itu ialah Portugis dan Belanda. Selepas itu, Al-Tarikh membincangkan pemerintahan Kedah yang berpusat di Perlis :

  1. Pemerintahan Sultan Muhyiddin Mansor Syah (1652-1661) di Kota Naga dan kemudian berpindah ke Kota Sena di Perlis (sempadan Mukim Kangar dengan Jejawi). Baginda adalah sultan yang ke-22.
  2. Sultan Dhiauddin Mukarram Syah I (1661-1688) - Raja ke-23 di Kota Indera Kayangan di Wai (Mukim Kuala Perlis). Baginda juga telah membina Kota Bukit Pinang dan diserah kepada Dato' Seri Maharaja Putera Dewa untuk menjaganya.

Perhubungan dengan Bugis juga mendapat sorotan istimewa dalam buku ini. Mengikut Muhammad Hassan, perhubungan tersebut bermula bila seorang kerabat Bugis bernama Raja Juang Tawa berkahwin dengan Tunku Sapura. Hasilnya, mereka mendapat seorang putera bernama Tunku Mangku Putera. Sultan dikatakan berhasrat melantik cucundanya itu sebagai Sultan Kedah. Pembesar-pembesar yang tidak menyenangi langkah ini bertindak lebih cepat dengan melantik putera Sultan yang bernama Tunku Ata Alla sebagai Sultan. Dengan langkah ini, sultan tidak mampu menentang kehendak pembesar-pembesar kerana sokongan mereka amat perlu. Bagaimanapun, Tunku Mangku Putera tidak berpuas hati dan telah meminta bantuan Bugis menyerang Kedah tetapi gagal. Selepas kemangkatan Sultan, Tunku Ata Alla memerintah Kedah (1688-1698). Baginda telah memilih Bukit Pinang sebagai pusat pentadbiran. Baginda kemudiannya digantikan oleh Sultan Abdullah al-Muazzam Syah (1698-1706) yang terus bertakhta di Bukit Pinang. Pada zaman bagindalah dikatakan Makam DiRaja Langgar dibina.

Sultan Kedah yang ke-26 ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah (1706-1710). Pada bahagian ini juga diceritakan kisah pengembaraan Tunku Muhammad Jiwa bersama gurunya Tuan Syeikh Abdul Jalil (keturunan Muhammad Hassan) dan Hapisap dari India. Setelah lama di perantauan, Tunku Muhammad Jiwa mengajak gurunya dan Hapisap pulang ke Kedah. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Sultan Kedah ke-27 (1710-1778). Pada masa pemerintahannya, banyak perubahan dibuat :

  • Membuat peraturan sukatan tanah dan mata wang.
  • Peraturan bagi anak raja dan orang besar-bear.
  • Menetapkan tugas kepada putera-putera baginda.
  • Membina Kota Star dan mengorek sungai di Kota Star.

Sultan Abdullah (1778-1798) pula telah membina Kota Kuala Bahang di bawah pengendalian Maulana Ibrahim San dan tukang-tukang dari India. Pada masa baginda juga, Kedah bersetuju menyerahkan Pulau Pinang kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang diwakili oleh Kapten Francis Light. Apabila baginda mangkat, pemerintahan kerajaan Kedah dipangku oleh saudaranya Tunku Dhiauddin (1798-1804). Perhubungan dengan Inggeris diteruskan dan kali ini Seberang Prai pula diserahkan kepada SHTI dengan bayaran $4 ribu. Selepas anak saudaranya Tunku Pengeran dewasa, takhta Kedah diserahkan kembali. Tunku Pengeran memakai gelaran Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843).

Zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin memperlihatkan hubungan tegang dengan Siam. Kedah telah melanggar Perak atas sebab perselisihan sempadan. Selepas itu Ligor telah menghantar Phya Buri Saknaton dan Phya Sina Nuncit menyerang Kedah. Di pihak Kedah sendiri menurut Muhammad Hassan, terdapat kumpulan pengkhianat yang diketuai oleh Raja Muda Tunku Yaakop yang telah membuat pakatan dengan Chao Phya Nakkorn Sri Thamarat. Penduduk Kedah tidak menerima pemerintahan Siam dan telah melancarkan gerakan penentangan.

Di antara tokoh gerakan anti Siam yang dicatat dalam buku ini - Tunku Kudin, Tunku Muhammad Saad, Tuan Syeikh Abdul Samad, Tuan Syeikh Abdul Kadir dan Dato' Kama Jaya Wan Muhammad Ali. Muhammad Hassan juga telah memberi penekanan kepada sumbangan Tunku Anum dalam usaha membebaskan Kedah dengan menggunakan strategi halus. Tunku Anum kemudiannya berjaya membebaskan Kedah manakala tokoh antagonis Tunku Yaakop dibunuh oleh pihak Siam. Selepas itu, Kedah dipecahkan kepada empat bahagian - Kedah, Kubang Pasu, Setul dan Perlis. Sultan Ahmad Tajuddin yang sudah lama dalam buangan telah berkenan untuk kembali ke Kedah. Pemerintahan Kedah kemudiannya diambil-alih oleh Sultan Zainal Rasyid (1843-1854). Perhubungan Kedah-Siam selepas ini menjadi baik dan tidak ada ketegangan hebat lagi. Kedah memasuki zaman pembaharuan di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854-1879). Di antara pembaharuan yang dilaksanakan :

  1. Sekolah Jawi di Pekan Lepai untuk mengajar anak bangsawan.
  2. Gurunya seorang Munsyi dari Singapura (Ali Mumin Munsyi)
  3. Pembinaan limbung di Kuala Sugai Raja.
  4. Melantik jurulatih untuk 100 orang sepahi Kedah
  5. Melantik doktor dari Madras yang dikenali sebagai bomoh Ayai.
  6. Memajukan bandar Alor Star.

Pada masa pemerintahan baginda juga, Kubang Pasu dicantumkan semula dengan Kedah selepas berlaku krisis di kalangan kerabat diraja Kubang Pasu. Pada zaman baginda juga Kedah terlibat dalam krisis di Selangor khususnya kerana adanya penglibatan Raja Muda Tunku Kudin di negeri tersebut.

Pengganti Sultan Ahmad Tajuddin iaitu Sultan Zainal Rasyid (1880-1881) tidak memerintah lama dan tempatnya digantikan oleh Sultan Abdul Hamid. Episod pemerintahan Sultan Abdul Hamid mendapat perincian yang lebih memandangkan pengarang hidup pada zaman tersebut. Muhammad Hassan tentu menjadi saksi mata kepada banyak peristiwa dan kegiatan istana kerana bertugas sebagai pegawai istana. Peristiwa-peristiwa penting tersebut dapatlah diringkaskan seperti berikut :

  1. Perlantikan Sultan Abdul Hamid diperkenankan oleh Maharaja Siam. Dalam pentadbiran Kedah, baginda dibantu oleh dua orang bapa saudaranya iaitu Tunku Yaakop dan Wan Mat Saman.
  2. Pergaduhan kongsi gelap Cina di Kulim dan penyelesaiannya.
  3. Lawatan Sultan ke Siam, Rangon, India dan Patani.
  4. Perkahwinan diraja pada tahun 1904.
  5. Meminjam wang dari Siam berjumlah $2,666,000 dan Kedah disyarat menerima seorang Penasihat Kewangan. Penasihat pertama yang dihantar ialah W.F. Williamson dan kemudian diganti oleh J.C. Hart.
  6. Kedah juga dikehendaki membentuk State Council sebagai badan perundangan.
  7. Kematian Tunku Abdul Aziz pada tahun 1907 dan perlantikan Tunku Mahmud sebagai Presiden State Council.
  8. Tunku Ibrahim ibn Sultan Abdul Hamid menjadi Inspektor General Polis Kedah.
  9. Kedah diserah kepada Inggeris pada 6 Jun 1909 dan W.G. Maxwell dilantik sebagai penasihat.
  10. Lawatan Gabenor Singapura pada 7 Ogos 1909 ke Kedah.
  11. Sultan Abdul Hamid melawat Eropah mulai 14 Mei 1911.
  12. Perlantikan Tunku Ibrahim sebagai Regent pada tahun 1913.
  13. Perjanjian antara Kedah-Inggeris pada 25 September 1923. Kedah diwakili oleh Tunku Ibrahim dan Gabenor Sir Lawrence Guillemard bagi pihak Inggeris.
  14. Lawatan Regent ke Eropah pada tahun 1924.

Al-Tarikh Sebagai Sumber Sejarah

Dari segi tema, buku ini masih meneruskan tradisi salasilah Melayu yang berpusat kepada pemegang kuat-kuasa (istana-centric). Ini dapat dilihat dari naratif, salasilah dan anekdot-anekdot yang ditulis. Di dalamnya dapat diperolehi salasilah keluarga diraja dari awal hingga pengarang menamatkan cerita. Sebelum Islam, Kedah diperintah oleh 9 orang raja dan diikuti 25 orang sultan Islam. Perbezaan jelas antara HMM dengan Al-Tarikh dalam menyusun salasilah raja-raja Kedah terutamanya nama dan bilangan raja sebelum Islam.

Aspek lain yang diteruskan dari tradisi salasilah Melayu dapat dilihat dari sudut diakronis teks yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian :

  1. Bahagian naratif - fiktif - oral. Bahagian ini terletak di awal kisah dan diperolehi daripada sumber lisan.
  2. Bahagian sezaman dengan pengarang.

Kita dapat mengesan Muhammad Hassan menggunakan sumber lisan menerusi catatannya "demikian kisahnya ; demikian kata yang empunyai cerita." Beliau juga nampaknya menggunakan sumber bertulis misalnya dicatatkan "tersimpan di tempat kerajaan Sultan Yang Maha Mulia" satu gambaran beliau menggunakan arkib diraja. Cuma disayangkan beliau tidak mencatatkan sumber rujukan itu. Namun, tradisi penulisan sedemikian bukanlah menjadi amalan pada masa itu dan pengarang tidak boleh dipersalahkan. Dari segi persembahan, jelas Muhammad Hassan tidak lagi menggunakan ayat yang panjang-panjang dan sudah mengurangkan kata memuji yang berjela-jela.

Pada zaman silam, pengarang Melayu menganut konsep sejarahnya yang tersendiri. Mereka juga mempunyai cara menulis yang teratur dan berencana. Terdapat pandangan yang melihat kepentingan mitos dan lagenda mempunyai peranan dan objektif yang tersendiri. Malah mitos dan realiti digabungkan untuk menaikkan martabat raja dan negeri. Di dalam HMM, memang kaya dengan unsur ini seperti Kisah Nabi Sulaiman dengan Garuda, Raja Bersiong, Raja Buluh Betung, Puteri Seluang dan Merong Mahawangsa dengan Garuda. Mitos ini mempunyai maksud terselindung dan perlu diberi interpretasi. Bagaimanapun, bagi Muhammad Hassan pula beliau cuba seboleh-bolehnya mengelak unsur mitos - lagenda. Percubaan Muhammad Hassan memang dianggap baik. Tegas Hendrick M.J. Maier, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah,

….was abviously a manifestation of a new desire for knowledge, a new sort curiosty.

Baik HMM atau Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah adalah penciptaan hasil sejarah yang ditentukan oleh semangat dan suasana zaman serta pengertian dan disiplin sejarah sezaman. Etos dan falsafah semasa jelas memancarkan pemikiran budaya dan sejarah masyarakatnya. Jadi mahu atau tidak, pengkaji sejarah perlu memanfaatkan sumbangan Al-Tarikh Salasilah Negeri kedah tatkala mengkaji sejarah Kedah Darul Aman di samping meneliti sumber-sumber lain.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah