Anda di sini:
 

Sebelum
sambungan
Dialek Kedah Sebagai Pencerminan Sejarah Budaya Kedah

oleh: Dato' Prof. Emeritus Asmah Haji Omar

 
 

Kawasan Penyebaran

Yang dimaksudkan dengan kawasan penyebaran dialek ialah kawasan yang merupakan tempat bermastautinnya orang-orang yang menutur sesuatu dialek itu. Sempadan bagi sesuatu dialek itu tidak perlu sama dengan sempadan politik atau pentadbiran. Dengan itu, kita dapati bahawa kawasan dialek Kedah itu tidak sama dengan kawasan negeri Kedah yang ada sekarang ini. Kawasan dialek Kedah jauh lebih luas dari kawasan negerinya kerana meliputi kawasan bukan sahaja negeri Kedah tetapi negeri-negeri lain. Kita dapat mengatakan bahawa dialek Kedah itu tersebar dari perlis di Utara hingga ke Kuala Kangsar di Selatan, dari pulau Langkawi di barat hingga ke Kroh timur. Bahkan dapat dikatakan bahawa dialek Kedah itu tersebar hingga ke Thai Selatan. Seorang penyelidik bahasa, Christhoper Court dari penemuannya membuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu yang dituturkan di Satun (Setol) tidak begitu berbeza dari yang ditutur di Perlis dan Kedah, sungguhpun bahasa ini lama kelamaan digantikan dengan bahasa Thai.

Dari kawasan dialek Kedah itu, kita boleh membuat taabiran (inferensi). Pertama, bahawa orang-orang yang menutur dialek Kedah itu sejak zaman berzaman memang tersebar luas sebagai penduduk kawasan itu, dan penyebaran ini berlaku secara pemindahan penduduk, pertembungan yang disebabkan oleh perdagangan,peperangan dan sebagainya. Kedua bahawa dialek ini tersebar secara difusi atau serapan yakni secara menyerapakan bahasa yang berkenaan itu dari penutur tanpa menimbulkan pemindahan penutur dari tempat ke tempat.

Taabiran pertama itu antara lain membawa kita kepada dugaan (jika kita belum mengetahui sejarahnya) bahawa negeri atau kerajaan Kedah satu waktu dulu mempunyai daerah taklukan yang luas meliputi kawasan yang sekarang hanya dikenal kekedahannya kerana adanya bentuk bahasa yang boleh dinamakan dialek Kedah. Dugaaan yang lain yang boleh kita buat dari bukti yang ada itu ialah barang kali telah berlaku perpindahan secara besar-besaran dari negeri Kedah yang ada sekarang ini ke kawasan-kawasan di luarnya, seperti Perlis, Pulau Pinang dan sebagainya disebabkan sesuatu peristiwa atau kejadian seperti bencana alam, kebuluran dan sebagainya.

Bagaimana juga, dari fakta-fakta sejarah yang ada kita tahu bahawa di antara dua dugaan itu, yang pertamalah yang lebih munasabah. Dari sejarah kita tahu bahawa Perlis, Pulau Pinang dan Seberang Perai memang merupakan bahagian dari Kerajaan Kedah hingga abad ke sembilan belas. Pulau Pinang disewakan kepada English East India Company dalam tahun 1786, diikuti oleh Seberang Perai dalam tahun 1800. Perlis pula dalam tahun 1821 dipisahkan dari kerajaan Kedah dan dijadikan kerajaan tersendiri, disebabkan oleh tindak-tanduk kerajaan Siam. Dalam masa yang sama juga Setol atau Satul atau Satun bersama-sama dengan pulau-pulau di bahagian barat Thailand Selatan juga jatuh ke tangan Siam.

Tersebarnya dialek Kedah hingga Kuala Kangsar dapat dicari puncanya pada beberapa kejadian. Tidak dapat dinafikan bahawa manusia akan terus berhubung satu sama lain dan dengan demikian menyebarkan dialeknya. Perbatasan politik atau pentadbiran itu adalah buatan atau rekaan yang ada dalam peta, sedangkan dalam kenyataan hanya diwakili oleh sebatang tiang sebagai tanda, sungai atau jalan, tetapi ini semua tidak menghalang orang dari kedua-dua belah sempadan itu berhubung satu sama lain dalam menjalankan kegiatan hidup mereka. Perhubungan dalam keadaan damai ini memberi kesan dari segi pertuturan.

Pertembungan antara manusia dari sebelah menyebelah ruang sempadan itu tidak terbatas kepada masa damai. Pertembungan dalam peperangan juga boleh meninggalkan kesan yang mendalam dari segi pengaruh bahasa atau dialek. Dari sejarah Negeri Kedah dan Perak kita diberitahu bahawa pada permulaan abad kesembilan belas, Kedah dipaksa sebanyak dua kali oleh Siam untuk menyerang Perak iaitu dalam tahun 1813 dan 1818. Tentera Kedah menakluki bahagian utara negeri Perak yang bersempadanan dengan negeri Kedah dan mara ke arah selatan hingga ke Kota Lama Kiri dekat dengan Kuala Kangsar sekarang ini. Apabila kedua negeri itu berdamai semula berlakulah hubungan mesra antara orang-orang Kedah dan Perak dan antaranya perkahwinan antara askar-askar Kedah dengan wanita-wanita Perak. Di antara mereka yang terlibat dengan perkahwinan ini adalah pembesar dan kerabat DiRaja Kedah (Tengku Akil atau Tengku Ya'akub) yang berkahwin dengan wanita Perak dari golongan bangsawan. Hubungan yang serupa ini membawa kepada penyerapan dialek. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika kawasan Kuala Kangsar terdapat loghat yang mempunyai ciri-ciri dialek Kedah.

Taabiran yang menyatakan bahawa sesuatu dialek itu boleh tersebar berdasarkan difusi atau serapan juga boleh diterima bagi dialek Kedah. Kejadian yang seperti ini berlaku sepanjang masa.

Dari huraian di atas itu tidaklah salah jika dialek-dialek yang diucapkan di Perlis, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Perak Utara itu dinamakan dialek Kedah. Asas penamaan yang lebih kuat ialah terletak pada persamaan ciri-ciri pada tutur-tutur di kawasan-kawasan itu.

Dengan menegaskan persamaan ciri-ciri itu tidaklah dimaksudkan bahawa orang-orang di kawasan-kawasan itu mempunyai pertuturan yang seragam. Keseragaman yang seperti itu tidak mungkin ada pada bahasa atau dialek tabii seperti yang sudah kitakan awal-awal tadi. Ini bermakna bahawa dalam persamaan itu ada perbezaannya tetapi perbezaan itu tidaklah begitu besar sehingga boleh memecahkan kesatuan dialek itu. Perbezaan-perbezaan itu, menimbulkan subdialek yakni bahagian-bahagian dalam dialek yang berbeza satu sama lain dalam beberapa hal sama sahaja tetapi pada masa yang sama mempertahankan persamaannya. Dengan itu, jika kita dengan betul-betul memperembang telinga, kita dapat mengenal perbezaan antara pertuturan orang-orang Perlis dengan pertuturan orang-orang Pulau Langkawi dan seterusnya. Tiap-tiap subdialek itu mempunyai kawasannya sendiri yang dinamakan subkawasan dialek.

Persamaan-persamaan di antara subdialek-subdialek itu mencerminkan warisan dari induk yang sama, yakni induk yang kita namakan dialek Kedah. Perbezaan-perbezaannya membayangkan perkembangan yang dilalui berbeza dari satu subdialek kepada subdialek yang lain. Perkembangan-perkembangan itu boleh dikesani kepada beberapa perbezaan dalam corak hidup, alam sekitar, perkembangan segi-segi tertentu dalam budaya, dan seterusnya. Pulau Langkawi yang terpisah dari tanah daratan oleh lautan yang agak luas mengalami beberapa perkembangan tersendiri dari segi sosiobudaya dan sosioekonomi, di samping mempunyai persekitaran alam yang tersendiri. Dengan itu tidaklah dapat diharapkan bahawa pertuturannya akan terus seragam dengan pertuturan di subkawasan lain di tanah daratan, baik dalam perbendaharaan kata mahupun dalam satu dua hal lain dalam sistem bahasanya. Walaupun ada perbezaan-perbezaan yang serupa itu kita masih boleh mengenal bahawa dialek yang dituturkan di Pulau Langkawi itu dialek Kedah. Demikian juga, subkawasan Perlis dan subkawasan lain yang bersempadanan dengan Thailand sudah tentu akan memperlihatkan ciri yang tidak wujud dalam pertuturan di Lembah Kedah.

Subkawasan di sempadan sebelah utara dan timur laut itu mempunyai lagu bahasa atau intonasi yang berbeza dengan yang terdapat di Lembah Kedah. Intonasi yang lanjut dan lemah gemalai itu boleh dikaitkan kepada intonasi bahasa Thai. Ini bukanlah gejala tiru-meniru, tetapi merupakan gejala serapan bahasa, kerana penyebaran bahasa adalah sesuatu yang sambung menyambung seperti air yang mengalir, dan bukan sesuatu yang dapat diputuskan seperti ranyting yang boleh dipatah-patahkan.

Subdialek Kedah di Pulau Pinang khususnya yang dituturkan di Tanjung memperlihatkan beberapa ciri tersendiri misalnya dalam mengucapkan "r". perbezaan ini timbul disebabkan perkembangan yang tertentu yang dilalui oleh subdialek itu, khususnya dalam mendapat gangguan dari bahasa Tamil, yakni dari penutur-penutur yang nenek moyangnya mempunyai bahasa Tamil atau salah satu bahasa India sebagai bahasa ibundanya.

Penutup

Dalam kertas kerja yang seperti ini tidaklah dapat saya huraikan dengan terperinci hubungan dialek Kedah dengan sejarah budayanya. Ini memerlukan sebuah buku yang tersendiri. Lagi pula masih banyak yang perlu dilakukan dalam penyelidikan mengenai dialek ini.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah