|
Abad yang ke-16 dianggap sebagai zaman penulisan manuskrip Melayu
iaitu selepas masyarakat Melayu di Nusantara menguasai tulisan Jawi
yang diterima bersama dengan agama Islam. Dalam abad inilah, ratusan
malah ribuan manuskrip ditulis di pelbagai daerah di alam Melayu,
terutama di istana-istana dan pusat pemerintahan. Sememangnya, tidak
dapat dinafikan bahawa istana baik sebagai penaung mahupun sebagai
pendorong telah memainkan peranan yang penting dalam penghasilan
manuskrip ini.
Beberapa hasil tulisan historiografi Melayu tradisional membuktikan
penglibatan istana, malahan raja-raja dan para pembesar sendiri
dalam bidang penulisan ini. Bukan sahaja karya-karya yang dihasilkan
itu ditulis atas arahan raja atau untuk kepentingan golongan bangsawan
sendiri, seperti yang dapat dilihat dalam penulisan karya-karya
historiografi itu, malah dalam banyak hal, orang-orang istana sendiri
ikut terlibat secara langsung sebagai pengarang.
Sudah tentulah nama-nama Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan Raja
Chulan harus disebutkan sebagai contoh yang amat nyata. Selain mereka,
terdapat beberapa orang lain seperti Sultan Badaruddin, Raden Anum,
Tengku Dalam Kalsom, Raja Zubaidah dan lain-lain. Mungkin ramai
lagi daripada kalangan istana yang menjadi pengarang, tetapi mengikut
konvensi masyarakat pada zaman itu, mereka tidak menonjolkan nama-nama
mereka pada karya-karya yang dihasilkan. Dengan itu, nama mereka
terus tersembunyi daripada pengetahuan kita buat selama-lamanya.
Karya-karya yang dihasilkan bukanlah terhad kepada sastera sejarah
atau karya historiografi yang secara langsung memperkatakan hal-ehwal
istana dan kehidupan diraja sahaja, tetapi juga tulisan-tulisan
yang bersifat umum seperti hikayat, syair dan lain-lain.
Istana juga menjadi perpustakaan manuskrip kerana pada zaman dahulu,
raja sahaja yang mampu mempunyai manuskrip yang dikehendakinya.
Golongan istana juga merupakan golongan elit pada zaman itu, di
samping merupakan orang-orang yang mempunyai masa untuk menumpukan
perhatian kepada bidang persuratan. Ternyata pada zaman ni segala
aktiviti yang berkaitan dengan tradisi bertulis adalah berpusat
di istana, sementara golongan rakyat lebih terlibat dengan aktiviti
tradisi lisan.
Istana sebagai perpustakaan dapat kita baca dalam Sejarah Melayu
apabila hikayat itu menceritakan bagaimana orang-orang Melaka menaikkan
semangat mereka pada malam sebelum menghadapi musuh. Siapakah yang
dapat menafikan kemungkinan adanya manuskrip-manuskrip lain di istana
itu di samping Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah
? 
|