Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Manuskrip Melayu : Refleksi Perkembangan Masyarakat Tradisional Kedah
 
 

Alasan lain yang dapat dikemukakan bahawa istana menjadi tempat tersimpannya manuskrip pada zaman dahulu ialah kerana di istanalah para pujangga bekerja. Merekalah yang ditugaskan menulis surat perutusan dan sebagainya. Dan apabila mereka menyalin manuskrip, hasil yang tersiap ialah kepunyaan raja. Dengan itu, tinggallah manuskrip itu di istana.

Apabila kita menyaksikan kegiatan orang-orang Barat mengumpul manuskrip, pada abad ke-17 dan abad-abad berikutnya, istana-istana menjadi tempat yang pertama mereka tuju. Sama ada dengan cara meminjam, membuat salinan, meminta terus atau dihadiahkan, manuskrip-manuskrip itu telah berpindah tuan daripada raja-raja Melayu kepada tuan-tuan baharu ini. Jika menusrip yang dikehendaki itu tidak ada dalam simpanan raja, raja itu akan berusaha sedaya-upayanya mengerahkan hamba rakyatnya mencari manuskrip itu untuk memenuhi permintaan pengumpul dari Barat ini. Bayangan apa yang berlaku, tersirat dalam catatan pendek oleh Sultan Pontianak di luar satu salinan Hikayat Banjar yang dikirimnya kepada Raffles melalui Crawfurd.

Dalam keadaan penerbitan yang terhad kerana semuanya bertulis tangan, penyebaran manuskrip dari satu tempat ke satu tempat adalah terhad. Namun demikian, jumlah manuskrip yang kini terkumpul, sama ada di Barat mahupun di daerah Nusantara sendiri, memperlihatkan bahawa penyebaran itu tidaklah begitu terhad sebagaimana yang disangkakan.

Terdapatnya sesuatu hikayat dalam beberapa koleksi berasingan dan terkumpul di tempat-tempat yang berbeza, ini menggambarkan penyebaran sesuatu manuskrip itu; Hikayat Gul Bakawali yang tersalin di Singapura, mengandungi beberapa perbezaan yang ketara dengan versi yang disalin di Banjarmasin. Hikayat Inderapura ditemui di beberapa tempat berasingan di Nusantara, umpamanya di Sri Lanka, Mindanao, Campa, Jawa dan lain-lain. Begitu juga halnya dengan manuskrip-manuskrip lain. Kita hanya perlu melihat keterangan-keterangan yang diberikan dalam katalog-katalog untuk mengesan secara kasar penyebaran yang dilalui oleh sesuatu manuskrip itu.

Demikianlah hanya dengan apa yang terlihat pada koleksi lapan buah manuskrip yang tersimpan di Muzium Negeri Kedah dan koleksi 56 manuskrip yang pelbagai yang telah dipungut dari Kedah, yang kini tersimpan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Di samping menumpukan penelitian kepada kedua-dua koleksi ini, saya juga akan memberi perhatian kepada beberapa buah manuskrip lain yang berasal dari Kedah, tetapi tidak termasuk ke dalam koleksi-koleksi tersebut.

Koleksi Muzium Negeri Kedah

Manuskrip-manuskrip ini terdiri daripada :
1. Hikayat Ratu Kelana Setra Wiraja Seri atau Hikayat Raja Mengindera
Muzium Negeri Kedah membeli manuskrip ini daripada Tunku Muhammad Jiwa. Panjangnya 311 halaman folio tetapi ceritanya tidak lengkap. Daripaa bentuk tulisan yang berbeza, dikesan bahawa manuskrip ini ditulis oleh dua orang penyalin.

Kesan tentang penyebaran atau pengedaran manuskrip ini dapat dilihat daripada catatan yang dibuat oleh tuannya yang berbunyi :

Inilah Hikayat Minangkabau yang bertulis tangan dihadiahkan oleh Encik Azmi bin Haji Mohamad, Hakim Negeri Perak.
Terdapat tiga perkara yang menarik di sini. Pencatat tidak sedar cerita itu ialah cerita Jawa (Panji). Besar kemungkinan Encik Azmi memperoleh manuskrip ini di satu tempat di Perak. Encik Azmi sebagai hakim mungkin bergaul rapat dengan Tunku Muhammad Jiwa dan tahu bahawa kegemarannya ialah membaca hikayat.
Untuk membuktikan bahawa beliau sudah membacanya, pencatat mengemukakan maklumat ringkas tentang isinya dalam gaya bahasa yang tipikal :
"Segala kidin ramai bertikam bertetak bercincang sama guling-gelantang tiada luka".

2. Hikayat Kelana Jayeng Seteru
Setebal 267 halaman folio, ceritanya lengkap. Halaman 268 dan 269 memuatkan syair yang dikarang oleh penyalin. Namanya Muhammad Said bin Haji Muhammad Saman. Beliau selesai menyalin hikayat itu untuk isterinya yang dicatatkan sebagai tuan punya hikayat itu iaitu Cik Tih 'Afiah.

Kerana sayang pada isterinya, dia menyalin hikayat itu dalam masa sepuluh bulan secara sambilan. Kerana sayangnya juga beliau menasihatkan isterinya (dan orang lain yang membaca hikayat itu) jangan terlalu membuang masa membaca hikayat.

Tuntutlah tuan ilmu akhirat
Jangan diasyikkan baca hikayat
Amal ibadat itulah perbuat
Supaya jangan mati nan sesat.

Hikayat dimulakan dengan " Inilah hikayat yang dikarang oleh dalang yang empunyai serawitan ini daripada bahasa Jawa diubahkan kepada bahasa Melayu…"

3. Hikayat Misa Perbu Jaya
Setebal 339 halaman folio. Tersalin pada buku yang mulanya digunakan sebagai buku catatan barang-barang simpanan sebuah balai polis - senarai senapang, cotar, peluru dan lain-lain. Dua tiga helai yang digunakan untuk senarai itu tidak pula dimusnahkan semasa mula menyalin hikayat.

Tercatat di permulaan hikayat :

"Yang indah-indah perkataannya daripada bahasa Jawa diubahkan daripada (sepatutnya kepada) bahasa Melayu".

4. Hikayat Belantasin
Setebal 175 halaman folio lebar. Tidak dicatatkan bagaimana pihak Muzium Negeri Kedah memperoleh hikayat yang menceritakan kisah empat orang puteri yang menjadi yatim piatu setelah kemangkatan Raja Belanta Puri dan permaisurinya.

5. Hikayat Carang Misa Gambar Sari Ratu Anom Ing Melayu
Hikayat kepunyaan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah ini dibeli daripada Tunku Zabedah binti Tunku Abdullah dengan harga $200.00.

Setebal 487 halaman folio, tertulis sebelah-menyebelah. Banyak maklumat terkandung dalam catatan di halaman akhir :

Hikayat Carang Misa Gambar Sari Ratu Anom Ing Melayu.
Upahan kepada yang menyalin sebanyak $25.00. Yang Maha Mulia Tunku Abdullah putera Yang Maha Mulia Tunku Mahmud yang empunya hikayat ini - Jalan Baharu, Alor Star. Yang menyalin : Muhammad Shafie bin Endut yang menyalin dari 12.2.38 hingga 12.3.38. Dihadiah oleh Tunku Abdullah kepada anak saya Tunku Zainab Tunku Kutam.

Ditulis lagi pesanan di bawahnya kepada pembaca supaya menjaga hikayat itu jangan kotor ketika membacanya kerana terlalu payah menyalinnya.

(12.2.38 bersamaan 5.11.1919)

6. Hikayat Syah Kobat Lela Indera
Setebal 366 halaman folio. Ceritanya lengkap. Tiada keterangan diperolehi tentang pemerolehan hikayat ini.

7. Sebuah manuskrip yang tidak diketahui judulnya kerana hilang 29 halaman awal. Cerita yang bersambung dari halaman 30 terus sepanjang 322 halaman folio. 323 hingga 599 - 277 halaman - memuatkan Hikayat Carang Kelina pula. Di akhir hikayat ini, penyalin mencatatkan bahawa beliau tamat menyalin pada hari pertama bulan Rabiulawal tahun 1343 atas suruhan Cik Manjalara. Penyalin bernama Muhammad Ali bin Abdullah.

8. Syair Carang Kelina
Syair ini tertulis pada buku rampaian sekolah, agak pendek, hanya 28 halaman. Kepunyaan Tunku Abdul Hamid bin Tunku Abdullah. Tamat disalin pada 6.5.43 bersamaan 2 Disember 1924. Muzium Negeri Kedah menerima syair ini sebagai hadiah daripada Syed Zubir Barakbah bin Syed Ahmad.

Perlu juga disebutkan di sini bahawa di samping hikayat-hikayat ini, terdapat satu salinan bercap batu Hikayat Merong Mahawangsa yang diterbitkan oleh Kim Hik Sian Press, Pulau Pinang pada tahun 1898. Versi yang dikenali sebagai versi Wilkinson ini telah disalin asalnya oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin. Baharom Ahmad telah menghadiahkan hikayat ini kepada muzium tersebut.
Satu lagi hikayat bercap batu yang ada dalam simpanan muzium ini ialah Hikayat Siti Salmiah dan Sultan Yahya.

Koleksi Dewan Bahasa dan Pustaka

Setelah mantap di Kuala Lumpur selepas perpindahan dari Johor Bahru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk mengumpul, mencatat, merakam cerita-cerita daripada tradisi lisan dan memungut manuskrip-manuskrip Melayu di seluruh negara pada awal tahun-tahun 1960-an.

Sebanyak 56 bahan telah terkumpul dari merata pelosok negeri Kedah oleh rombongan penyelidikan dari DBP ini. Tetapi bukanlah semuanya terdiri daripada manuskrip dalam erti kata yang sebenarnya. Di antaranya terdapat beberapa bahan yang berupa surat-surat berhubung dengan harta raja dan buku catatan cerai rujuk Mukim Sungai Seluang. Barangkali pengumpul telah mengambil sikap yang terbuka terhadap istilah "manuskrip" dan tertarik dengan bentuk tulisan jawi yang cantik yang terdapat pada surat-surat dan catatan-catatan tersebut. Besar kemungkinan apabila dikaji dari sudut lain daripada sastera, catatan-catatan ini menyumbangkan maklumat-maklumat yang penting pula.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah