Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Syair Duka Nestapa

Oleh Dato' Hj. Wan Shamsudin bin Mohd. Yusof


Syair Duka Nestapa juga dikenali dengan judul lainnya 'Syair Sultan Ahmad Tajuddin' adalah merupakan hasil karya tokoh Diraja Kedah silam pada awal abad kesembilan belas. Baginda ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke 22 (1804-1845) yang lebih dikenali dengan gelaran 'Almarhum Melaka sesudah mangkatnya'.

Ketika angkatan Siam menyerang dan menawan Kedah pada 12 Nov 1821, baginda sempat melarikan diri ke Pulau Pinang dan mendapat suaka politik dari pihak Inggeris di pulau itu. Tetapi kesan Perjanjian Burney yang dimeteraikan antara Inggeris dan Siam pada 20 Jun 1826 menyebabkan baginda terpaksa berhijrah dan tinggal di melaka sekitar tahun 1831-1841. Baginda dibenarkan kembali ke Kedah dalam tahun 1841 setelah berlakunya Peperangan Kedah - Siam dalam tahun 1838-1839 walaupun Kedah tewas.

Ketika bersemayam di Melaka, tanpa menghiraukan Inggeris dan syarat-syarat Perjanjian Burney yang mengikat baginda, baginda telah membantu rakyat Kedah untuk menawan kembali Kedah dari jajahan Siam. Semasa di Melaka jugalah baginda berkesempatan mengarang sebuah syair yang berjudul ' Syair Duka Nestapa'. Naskhah syair itu kemudiannya berjaya diseludup ke Setul yang sebelum itu adalah kepunyaan Kedah.

Dalam tahun 1970, rombongan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah pimpinan Yang Dipertuanya Dato' Paduka Haji Wan Ibrahim bin Wan Soloh telah mengadakan lawatan ke Setul. Beliau telah memperolehi senashkah asal syair tersebut dari simpanan seorang tua keluarga Diraja Setul bernama Wan Hajar di Daerah Langu. Malangnya naskhah asal syair itu telah hilang dalam simpanannya. Walaubagaimanapun agak bernasib baik kerana sebelum kehilangan naskhah asal itu, beliau sempat meminta seorang pegawai menyalin kembali seperti asalnya. Kini naskhah yang disalin semula itu menjadi satu-satunya manuskrip penting koleksi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah yang kemudianya menjadi koleksi Muzium Negeri Kedah.
Syair Duka Nestapa mengandungi 450 rangkap (bait) dan bagaimanapun ianya tidak lengkap kerana beberapa rangkap bahagian akhirnya tidak dapat dikesan. Jika diteliti pada keseluruhan kandungannya, syair itu di samping penggunaan gaya bahasanya, ternyta ia lebih mirip kepada penulisan kesusasteraan lama Jawa yang berbentuk cerita-cerita panji, misalnya Syair Panji Semirang. Buktinya banyak terdapat nama-nama tokoh atau watak serta perkataan-perkataan Jawa seperti dalam sastera Panji antaranya seperti arianingsun, pangeran, raden dan anom.

Isi syair ini lebih bercorak romantis-simbolis yang melukiskan penderitaan dan untung nasib serta duka nestapa yang dialami olleh baginda sewaktu dalam pembuangannya di Melaka. Bagaimanapun baginda tidak berdiam diri dan tetap berazam untuk berusaha merebut kembali takhta atau negerinya yang dirampas oleh musuhnya (Siam) seperti petikan beberapa rangkap berikut yang diperuntukan di sini :

"Demikianlah beta sehari-hari,
Kekanda nian dibuang negeri,
Jika tak dapat muda bistari,
Meninggalkan bumi istana sendiri.

Atau ke mercu Gunung Jerai,
Remuklah terkena bahadi dan cangrai,
Anggur nyawa badan bercerai,
Emas itu saja ikatan urai.

Demikianlah sudah ibarat madah,
Habislah kias bandingnya sudah,
Yang diberahi itu bukannya mudah
Manikam gemala di negeri Kedah
".









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!