|
Pengenalan
Pembangunan Kedah Darulaman sebagai sebuah Negeri Melayu di utara
Semenanjung berlaku dengan pesat apabila asas ekonominya bertukar
corak dari apa yang bertunjangkan perdagangan kepada berlandaskan
pertanian, khususnya pertanian padi. Pertukaran ini diikuti dengan
pemindahan pusat pemerintahan dari Daerah Muda-Merbuk ke Alor Star
di dalam zaman pemerintahan Sultan Mohammad Jiwa Zainal Abidin (1710-1778).
Tiga bentuk perkembangan ekonomi dan politik berlaku.
Perkembangan pertama ialah pembukaan tanah-tanah paya untuk dijadikan
tanah-tanah sawah yang subur di dataran Kedah yang merintangi Kangar
di utara dan Guar Chempedak di selatan, seluas lebih kurang 500
batu persegi atau 300,000 ekar. Pembukaan dataran Kedah ini menarik
masuk tenaga-tenaga buruh yang banyak dari alam Melayu sekeliling,
khususnya dari apa yang dipanggil Selatan Thailand sekarang ini,
Sumatra Jawa, Kalimantan, Kelantan, Terengganu dan Perak. Kemasukan
penduduk ini merupakan suatu faktor yang penting di dalam pertumbuhan
ekonomi Kedah seterusnya. Di masa inilah iaitu di masa kadar peningkatan
penduduk berlaku dengan pesatnya di samping berlakunya pembukaan
tanah secara meluas, kekayaan negeri dan rakyat memuncak.
Ekoran dari perkembangan di atas, sempadan negeri yang berkesan
(functional boundaries) mula meluas ke daerah-daerah pendalaman
yang dahulunya hanya merupakan bahagian-bahagian pinggir di dalam
sistem pentadbiran Kedah. Kawasan-kawasan pinggir ini mula diberi
perhatian sewajarnya oleh Sultan lebih dari sebelumnya di mana penduduk-penduduknya
tertakluk kepada tindak-tanduk orang-orang besar jajahan semata-mata.
Hasilnya ialah suatu pertumbuhan dan pembangunan sistem pentadbiran
Negeri Kedah yang sophisticated dan matang untuk mengendalikan
corak-corak ekonomi dan politik yang baharu misalannya sistem pemaritan
yang besar yang dibina oleh Wan Mat Saman (1885), Tunku Yaakob (1890)
dan Wan Yahya (1895) dengan jaringan-jaringan tali air dan jalan-jalannya
yang banyak di samping menambahkan hasil pengeluaran, ianya juga
merupakan suatu alat pentadbiran yang baharu dan berkesan sekali.
Jaringan-jaringan taliair dan jalan-jalan baharu yang dibina seiring
dengan taliair-taliair ini dapat digunakan untuk perhubungan pentadbiran
dan juga pengawalan cukai ke atas barang-barang pengeluaran rakyat.
Di masa pembukaan tanah inilah penggunaan undang-undang tanah Kedah
yang dicipta pada tahun 1667 bernama Undang-undang Dato' Seri Paduka
Tuan, berlaku seluas-luasnya.
Ketiga-tiga perkembangan di atas menjadikan Kedah Darulaman suatu
negeri yang utuh dari segi penyatuan penduduk dan pemerintah, dari
segi pengeluaran hasil, khususnya padi dan beras, dan dari segi
penyertaan rakyat tani di dalam proses-proses politik negara. Keutuhan
ini mula bergoncang apabila pembangunan ekonomi yang pesat mengakibatkan
kemunculan golongan-golongan lain seperti golongan saudagar dan
pegawai-pegawai kerajaan yang menjadi golongan-golongan perantaraan
di antara Sultan dan rakyat. Kertas kerja ini adalah bertujuan menganalisakan
proses penyatuan pemisahan-penyatuan di dalam sejarah Negeri Kedah.
Proses dialectic yang dialami oleh masyarakat tani ini mengumbang-ambingkan
nasib mereka di masa negara membangun ini, proses ini difahami agar
tidak menjadi pandangan salah terhadap usaha-usaha kerajaan mencurahkan
pelaburan pembangunan ke dalam masyarakat ini. 
|