Anda di sini:
 

SebelumSelepas

Penanaman Padi Di Kedah
- Sejarah Peranan Dalam Ekonomi Negeri Kedah

 
 

Asas Ekonomi-Politik Masyarakat Tani Di abad Sembilan Belas


Bermula dari pertengahan abad kelapan belas, di masa pembukaan tanah paya dibuat secara besar-besaran ekonomi pertanian Kedah merupakan asas utama struktur pemerintahannya. Selain daripada kemasukan penduduk dari alam Melayu sekitar, kebanyakan penduduk Kedah dari pendalaman iaitu dari daerah-daerah Sik, Baling, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu juga berhijrah ke dataran Kedah di dalam daerah-daerah Kubang Pasu, Perlis, Yan, Kota Star dan Pendang. Penumpuan ini menjadikan Wilayah dataran yang pada masa ini di bawah pentadbiran pembangunan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai wilayah pusat. Di tengah-tengah wilayah pusat ini terletak Alor Star, bandar pusat yang menjadi penumpuan segala kuasa politik dan ekonomi Negeri Kedah.

Di zaman kemakmuran hasil dari penerokaan tanah itu (Abad 19) struktur masyarakat di Kedah adalah suatu struktur yang agak simple, iaitu terbahagi kepada dua golongan; golongan bangsawan dan rakyat tani. Golongan bangsawan mendapat hasil dari tanah-tanah mereka sendiri melalui sistem kerah. Sebagai upahan dari tenaga kerah, golongan tani diberi hak untuk bercucuk tanam di tanah-tanah yang semuanya adalah hak kepunyaan Sultan. Hanya sebilangan kecil dari golongan bangsawan sahaja yang mempunyai hak mengutip cukai ke atas perkara-perkara dan kawasan-kawasan tertentu. Kumpulan ini adalah terdiri dari kerabat-kerabat dekat sahaja.


Apabila Sultan Mohammad Jiwa berpindah ke Alor Star dan memulakan proses pembukaan wilayah ekonomi Kedah, beliau menyedari bahawa insentif untuk rakyat tani meneroka dan mengusahakan tanah-tanah paya wajib diberi. Pada pertengahan abad ke 18 baginda memerintah supaya suatu sistem pembahagian tanah kepada rakyat diwujudkan. Daripada masa itu tanah-tanah yang belum diampun kurniakan kepada golongan bangsawan diberi milik kepada rakyat.

Perkembangan ini merupakan suatu gejala pencetus pembangunan ekonomi yang penting di dalam sistem feudal itu. Pertama, ianya memberi security kepada rakyat tani di atas pemegangan sumber tanah usahanya. Kedua ianya merapatkan lagi perasaan rakyat terhadap raja dan pemerintahan baginda yang mempunyai penuh kesedaran tentang kehendak-kehendak mereka. Mereka boleh terus berhubung dengan baginda sebagai pusat kuasa pemerintahan.

Di dalam struktur sosial yang agak mudah ini perhubungan golongan pemerintah dan rakyat tani adalah berbentuk perhubungan terus-menerus. Interaksi Sultan dan rakyat adalah secara bersemuka dan berlaku dengan kerapnya. Sesi-sesi pertemuan Sultan dan rakyat baik di istana mahupun di kampung-kampung merupakan suatu pola kehidupan masyarakat yang normal. Penyaluran maklumat dua hala berlaku dengan efficient dan licin dan ini menjamin keutuhan negara.

Tetapi apabila bilangan penduduk mula bertambah dan tanah-tanah untuk diteroka mula berkurangan, suatu perubahan besar di dalam sistem pemerintahan berlaku. Tekanan penambahan penduduk dan kekurangan tanah mengakibatkan perebutan dan persaingan yang hebat untuk memiliki sumber-sumber ekonomi, terutama tanah. Ini memerlukan pembesaran struktur birokrasi pentadbiran guna menyelesaikan masalah dan memenuhi kehendak-kehendak rakyat.

Pembesaran birokrasi pentadbiran ini disokong lagi dengan peningkatan permintaan terhadap beras Kedah dari tanah-tanah British seperti Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Bonney merakamkan bahawa pada tahun 1785 Kedah mengekspot beras sejumlah 80,000 pikul dan pada 1821, ekspotnya kepada tanah jajahan East India Company di Pulau Pinang sahaja ada kurang sedikit daripada jumlah di atas. Golongan pemerintah menghadapi perkembangan ini dengan menumpukan tenaga terhadap memperluaskan dan mengawal penerokaan tanah-tanah sawah dan menguasai tempat-tempat yang strategik di dalam jaringan perhubungan sungai dan taliair untuk menambah pemungutan hasil.

Cara pembesaran ini adalah melalui perluasan dan peningkatan taraf sistem penghulu. Melalui proses ini individu-individu dari masyarakat tani diserap ke dalam sistem pemerintahan sebagai Ketua Kampung, Panglima dan Penghulu. Walaupun jawatan-jawatan ini wujud sebelum berlaku proses pembesaran, tetapi taraf dan bidang kuasanya serta pertalian terus menerus dengan golongan pemerintah tidaklah sekukuh semasa berlaku pembesaran sistem birokrasi itu. Misalnya selepas berlaku pembesaran, kuasa penghulu-penghulu mengutip cukai dan mendapatkan tenaga kerah untuk diri mereka bertambah. Jawatan Panglima sebagai pengganti Penghulu menjadi aspirasi banyak anak muda tani. Begitu juga jawatan Ketua Kampung.

Penyerapan sebilangan individu dari masyarakat tani ke dalam sistem pemerintahan ini lama-kelamaan menimbulkan suatu golongan masyarakat yang menduduki taraf sosial berperingkat di antara golongan bangsawan dan golongan rakyat tani. Golongan baru ini diperkukuhkan dan diperbesarkan melalui penjalinan persaudaraan melalui perkahwinan dan perikatan sosial di kalangan mereka. Jikalau dahulunya keluarga penghulu adalah berakar umbi dan berkembang di dalam sesuatu kampung, tetapi pada masa baharu ini akar-akar kekeluargaannya menjalar ke seluruh daerah dan jajahan. Dan dengan tercantumnya kawasan-kawasan penerokaan melalui jaringan taliair pertembungan sosial masyarakat kampung-kampung berlaku. Justeru itu masyarakat tani berubah dari yang landasan perkampungan (village-based) kepada yang berlandasan kejajahan (territorial based).

Pewujudan golongan pegawai-pegawai pemerintah dari masyarakat tani berlaku terus-menerus apabila berlaku pengambilan tenaga kerja pada peringkat pusat seperti menjadi penyukat-penyukat tanah di pejabat tanah, kerani-kerani rendah dan lain-lain. Dan hasil dari susun-lapis masyarakat yang baharu ini ialah perbezaan sebahagian cara-cara hidup rakyat tani biasa. Boleh dikatakan budaya-budaya kecil tertentu timbul dari proses susun lapis yang baharu ini. Misalnya cara pakaian, tuturkata, sikap, sistem nilai dan kumpulan-kumpulan sosial mula berbeza sedikit sebanyak dari kebiasaan rakyat tani biasa. Ini dibolehkan oleh tahap pendapatan yang lebih tinggi dari pendapatan rakyat tani biasa, hasil dari kekuasaan pemegangan tanah-usaha yang lebih besar, dan pendapatan dari upahan kerja di dalam birokrasi kerajaan.

Sebelum berlakunya proses pembesaran sistem birokrasi kuasa seseorang penghulu adalah berdasarkan kepada mandat yang diberi oleh anak-anak buahnya sepertimana di dalam adat perkampungan. Tetapi selepas pembesaran, kuasa ini datang dari Sultan melalui surat tauliah yang bukan sahaja mengalihkan arah pengaliran kuasa, malahan menambahkan lagi bidang kuasanya. Perkembangan ini merupakan suatu gejala penting pertama yang mengubah asas ekonomi-politik rakyat tani di Kedah.

Pengubahan ini adalah permisahan dari bentuk monolithic kepada bentuk differentiated. Di dalam bentuk monolithic sistem pemerintahan dan rakyat mempunyai objektif ekonomik yang agak sama. Walaupun sistem ekonomiknya feudal tetapi di dalam bentuk monolithic ini kepentingan sesuatu golongan itu tidak terlalu ketara. Raja dan rakyat di samping mempunyai jalinan perhubungan yang intensive dan extensive tidak terlalu jauh perbezaaan taraf kehidupannya. Tetapi apabila bentuk ini berubah kepada bentuk differentiated di mana golongan-golongan perantaraan raja dan rakyat mula berkembang bukan sahaja perhubungan raja dan rakyat mula berenggang tetapi taraf hidup pun mula berbeza terlalu ketara.

Jikalau dahulu rakyat ini hanya terpaksa meluangkan 1/3 masa kerjanya untuk bekerja di sawah raja, tetapi di dalam zaman baharu ini mereka terpaksa juga bekerja di sawah-sawah orang besar jajahan dan penghulu. Hanya sedikit sahaja masa kerja di dalam sesuatu musim yang tinggal untuk mereka mengusahakan tanah yang diberi untuk menampung hidup mereka sendiri. Didalam pada ini boleh dikatakan tanah-tanah yang paling subur adalah diberi hak usaha kepada golongan atasan. Hanya tanah-tanah yang kurang subur diberi hak usaha kepada rakyat tani. Oleh sebab sesuatu musim itu mempunyai masa-masa optimum untuk penanaman masa-masa inilah yang rakyat tani dikerah untuk mengusahakan tanah golongan atasan tadi. Masa untuk tanah mereka sendiri adalah di masa hujan sudah mulai berlalu.

Hakikat di atas tidak menggalakkan pengeluaran hasil yang mempunyai
kelebihan (surplus) yang banyak untuk sesuatu keluarga tani. Dilihat dari segi tahap pengeluaran pada masa itu di mana satu-satu relong dapat mengeluarkan purata sebanyak 2 kunca untuk tanah baik dan kurang dari satu kunca di tanah masam, sesuatu bidang sawah seluas 5 relong dapat memberi kadar kelebihan seperti berikut.

 

JADUAL I
Tahap Kelebihan Pengeluaran Beras Setahun Untuk Sekeluarga Tani
 
Tahap Pengeluaran
(Purata)
Tahap Penggunaan
(Purata)
Kelebihan
(Purata)
Tanah Baik
4760lb
1944lb
3816lb
Tanah Masam
2400lb
1944lb
456lb

Di dalam struktur penukaran barangan di atas Sultan adalah menjadi pedagang utama.

Harga barang-barang adalah dikenakan secara sewenang-wenang. Misalannya sepertimana ditunjuk oleh Zaharah Mahmud untuk tiap-tiap kati garam yang dibeli oleh Sultan dari pedagang antarabangsa harganya ialah $30.00. Ini dijual pada kadar $50.00 satu koyan dengan mendapat kadar keuntungan sebanyak 67%. Sebelum ianya sampai ke tangan rakyat tani harga ini bertambah lagi. Perkembangan di atas di samping menyempitkan kehidupan rakyat tani biasa adalah juga meningkatkan lagi taraf hidup golongan atasan. Lebih-lebih lagi apabila penggunaan mata wang mula meluas, mana-mana rakyat tani yang berhajat memerdekakan diri dari sistem kerah mestilah membayar sewa tanahnya kepada pemerintah dengan wang tunai. Oleh kerana wang tunai tidak dapat diperolehi lantaran kelebihan pengeluaran yang kecil maka nasib mereka menjadi lebih buruk. Peluang untuk berniaga tidak dibuka sama sekali kerana mengikut instedt, pada zaman itu hak berniaga hanyalah berada ditangan golongan kerabat dan golongan bangsawan sahaja, "...... Raja sajalah yang berdagang."

Banyak rakyat tani yang memerlukan wang tunai terpaksa menuju ke hutan
mencari bahan-bahan hutan dan ke lautan mencari ikan untuk dijual. Maka mulalah perusahaan lain seperti pengeluaran manisan lebah, sarang lebah, rotan, buluh dan tenunan kain untuk mendapatkan tunai. Adalah disebut juga di dalam sejarah rakyat tani pada masa itu membela banyak kerbau, lembu dan ternakan lain yang mana hasilnya dijual di pasaran. Belulang lembu dan kerbau, lilin-lebah, rotan dan kayu-kayan dieksport ke tanah jajahan British di Pulau Pinang.

Proses penukaran sumber-sumber ekonomi dan politik mula menjadi berat sebelah dimana segala kuasa kekayaan negara mengalir kepada golongan-golongan pemerintah pada hal hanya sedikit sahaja sumber-sumber ini mengalir kepada masyarakat tani. Ini tentu sahaja menghakiskan kepercayaan rakyat kepada pemerintah. Peristiwa-peristiwa bantahan terhadap keadaan ini banyak berlaku seperti penghijrahan sebilangan rakyat tani ke Seberang Prai pada akhir-akhir abad kelapan belas, penulisan surat bantahan kepada Sultan mengenai penghulu, penimbulan kumpulan-kumpulan penyamun dan lanun dan lain-lain lagi.

Adalah diriwayatkan baginda Sultan pada tahun-tahun 1880'an cuba mengurangkan tekanan-tekanan ke atas rakyat tani dengan memerintah supaya sistem kerah dilonggarkan apabila sebilangan besar rakyat tani dari Yan hendak berpindah ke daerah Dinding di Perak.' Tetapi langkah ini tidak begitu berkesan kerana penghijrahan ke selatan berlaku terus lebih-lebih lagi apabila Wan Mat Saman mula mengorek terusannya pada tahun 1885. Tenaga buruh yang banyak sangat diperlui dan justeru itu keseluruhan rakyat dikerah mengorek terusan ini.

Perkembangan di atas adalah suatu pelarian dari situasi zaman Sultan Mohammad Jiwa di mana masalah yang bangkit di kalangan rakyat tani dapat disedari dengan cepat di kalangan istana. Pada masa ini kekuasaan orang-orang besar jajahan dan penghulu menghalang pengaliran perhubungan rakyat-istana. Selain dari tindakan-tindakan protes oleh rakyat tani seperti disebut di atas, keutuhan negara dicabar pula oleh pertelingkahan dikalangan orang-orang besar jajahan dengan golongan pemerintahan pusat.

Untuk memperkuatkan kedudukan mereka orang-orang besar jajahan dan penghulu-penghulu memperketatkan kutipan hasil kerah mereka. Rakyat tani juga dibebankan pula dengan suatu lagi cukai yang dipanggil ripai. Manakala kebanyakan hasil dari cukai tanah mengalir kepada perbendaharaan negara di Alor Star, hasil ripai semata-mata adalah untuk menyara hidup orang-orang besar jajahan. Mereka ini dengan sewenang-wenangnya mengutip hasil-hasil ini tanpa sesuatu kadar yang berpatutan.

Walau bagaimanapun pada tahun 1882 suatu perintah dari istana untuk
menseragamkan kadar kutipan hasil dikeluarkan. Mengikut perintah ini tiap-tiap pemilik tanah mesti membayar sebanyak 25 sen Straits Settlement bagi tiap-tiap relong setahun. Mana-mana rakyat tani yang tidak dapat membayar dengan wang tunai mesti membayarnya melalui kerja kerah.

Perluasan penggunaan wang tunai ini dengan secara tidak langsung mengintegrasikan sistem ekonomi Kedah dengan sistem ekonomi mercantile-capitalis British di Pulau Pinang. Penggunaan wang tunai ini perlu sekali untuk mengimport barang-barang keperluan seperti tembakau, garam, candu dan kain-kain keluaran British. Walaupun integrasi ini merupakan suatu gejala pembangunan ekonomi yang penting, tetapi masyarakat tani tidak dapat menyertainya lantaran kuasa pemilikan wang tunai di tangan mereka amat kurang sekali. Maka berlaku lagi proses peminggiran rakyat tani dari sistem pemerintahan dan sistem ekonomi Negeri Kedah.

Pendek kata di dalam abad sembilan belas peminggiran rakyat tani dari sistem politik dan ekonomi memuncak dengan tertubuhnya struktur-struktur politik di dalam bentuk birokrasi-birokrasi yang semata-mata bertujuan mengawal keadaan. Fungsi pembangunan yang diwujud pada tahun awalan penerokaan dataran Kedah diketepikan.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah