Anda di sini:
 

Sebelum

Penanaman Padi Di Kedah
- Sejarah Peranan Dalam Ekonomi Negeri Kedah

 
 

Peminggiran Masyarakat Tani Di Abad Dua Puluh

Jikalau di dalam abad sembilan belas kita melihat masyarakat tani di Kedah tertolak ke pinggir sistem politik (polity) di awal abad dua puluh pula proses peminggiran ekonomi mula memuncak. Bermula dari tahun 1909 apabila Kedah mula tertakluk di bawah pengaruh British ekonomi Kedah dilandai oleh kemasukan modal-modal dari Pulau Pinang. Pelabur-pelabur dan pengusaha-pengusaha Cina yang mendapat pinjaman modal dari agency houses British di Pulau Pinang mula membuka kilang-kilang padi di Kedah.

Sebelum 1909 pelabur dan pengusaha Cina tidak berani masuk ke Kedah dengan banyaknya disebabkan ketiadaan dasar yang liberal di bawah kekuasaan Sultan. Padi dari Kedah dibawa ke Seberang Prai untuk dikilang di sana.

Kedatangan pengaruh British membawa satu perubahan besar di dalam perhubungan pengeluaran padi di dalam bentuk pengharaman sistem berlaku di mana tanah-tanah milik dibahagi-bahagikan selepas dibayar harga kepada petani dengan secara yang senang. Sehingga tahun 1920 keseluruhan tanah datar di dalam Daerah Kota Star diberi hak milik kepada pengguna-penggunanya, Pemilikan tanah sawah oleh individu-individu merupakan langkah pertama menuju ke arah penggunaan modal yang banyak yang akhirnya menarik kaum tani ke dalam bidang ekonomi pertanian kommersial. Ini di dalam masa awalan perkembangan capitalism membawa kepada peningkatan daya pengeluaran (increasing productivity) dan setererusnya peningkatan pemasaran keluaran yang berlebihan.

Pada tahun 1914-1920 berlaku peperangan dunia yang pertama yang mengakibatkan bekalan beras dari Burma dan Thailand untuk tanah jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu tersekat. Negeri-negeri Selatan Semenanjung menghadapi masalah kebuluran. Ini mendorongkan pihak British membuka banyak lagi tanah sawah di Kedah dan memasuki modal-modal melalui orang-orang Cina untuk menyalurkan beras Kedah ke tempat-tempat yang memerlukannya. Di dalam tahun 1911 angka penduduk di daerah-daerah sawah adalah seperti berikut:

Jadual 2
Bilangan Penduduk Pelbagai Kaum di Dataran Kedah Pada Tahun 1911
Daerah
Melayu
Cina
India
Perlis
25,618
3,200
400
Kubang Pasu
25,106
840
423
Kota Star
91,561
8,744
999
Yan
14,061
744
53
Jumlah
156,346
13,528
1,875

Kebanyakan orang-orang Cina pada masa ini adalah pedagang dan pelabur yang bertumpu di dalam daerah Kota Star. Pada tahun 1921 kaum Cina meningkat dari 13,528 kepada 59,403 orang berbanding dengan bilangan orang-orang Melayu sebanyak 237,490 orang. Ini merupakan peningkatan penduduk dari tahun 1911 hingga 1921 adalah pada kadar 34% setahun di kalangan orang-orang Cina dibandingkan dengan kadar hanya sebanyak 5% setahun di kalangan orang-orang Melayu.

Selain dari pelaburan di dalam pengilangan beras modal-modal orang-orang
Cina memasuki bidang perdagangan borong dan runcit. Masyarakat tani Kedah pada masa itu dikenalkan dengan barang-barang import dari luar terutamanya Britain seperti kain yang dapat dibeli dengan harga yang agak murah dan banyak pilihan. Perusahaan tenunan kain di kalangan masyarakat tani mula hapus.

Masyarakat tani yang pada ketika itu telah mengetahui mengguna wang tunai secara meluas mula meningkatkan permintaan terhadap barang-barang import seperti kain, tepung gandum, gula-tebu, tembakau, bahan-bahan buatan dari susu lembu, minuman ringan dan lain-lain lagi. Bahawa pada hakikatnya kesemua bahan-bahan import ini masuk melalui Pulau Pinang membolehkan pedagang Cina memonopoli dan mengintegrasikan perdagangan borong-runcit. Sistem dan kaum Cina mengawal dan membendung sistem monopoli ini di dalam kumpulannya.

Di bidang pengilangan beras pula di mana pengilang-pengilang Cina perlu membesarkan perusahaannya untuk mendapat kadar keuntungan yang besar suatu percantuman sistem pinjaman barang runcit dengan penjualan padi oleh petani diwujudkan. Pengilang beras akan membekalkan pedagang runcit akan menjual barang-barangnya secara hutang terutamanya di musim menanam dan padi membesar. Apabila musim menuai datang petani membayar hutangnya dengan padi yang nilai harganya ditentukan oleh peruncit. Walaupun tiada kadar faedah atau bunga yang disebut di dalam proses hutang-bayar itu, harga yang diletak sudah pun merangkumi kadar faedah pada kadar purata 80% setahun. Tahap yang paling tinggi adalah lebih kurang 300% setahun. Ini sudah termasuk kadar faedah yang perlu dibayar oleh peruncit kepada pengilang.

Melalui cara di atas keuntungan lumayan datang mencurah-curah ke dalam kalangan kaum pengilang dan pedagang Cina. Akhirnya suatu sistem monopoli-monopsoni yang kukuh dikawal oleh kaum Cina. Penentuan harga padi dibuat mengikut kehendak sistem ini. Pada tahun 1912 harga padi hanya $1.80 sepikul. Beras Kedah menyumbangkan sebanyak 35% kepada jumlah penggunaan dan 60% adalah diimport dari Burma, Thailand dan lain-lain Negara.

Jaringan pengilang-pedagang Cina memegang monopoli-monopsoni ini menjadi lebih kukuh dan kaya hasil dari padi keluaran kaum tani Kedah. Maxwell telah membuat pemerhatian berikut pada tahun 1913.

".......... kebanyakan pesawah-pesawah adalah pada masa ini di dalam kekuasaan peruncit-peruncit yang menghulurkan hutang dari masa ke semasa sementara menunggu padi masak dan hutang-hutang ini dibayar dengan sepenuhnya pada musim penuaian. ."

Pada tahun 1911 sudah wujud 119 peruncit yang mempunyai lesen
membeli padi di Kedah. Tidak seorang pun di antara mereka adalah orang Melayu kerana sistem monopoli-monopsoni tidak terdaya ditembusi. Maka mulalah penghutangan yang berleluasa berlaku di kalangan masyarakat tani yang tidak puas dengan kehendak terhadap barang-barang yang diimport tadi. Sistem padi kunca mula menghisap kekayaan yang diusahakan oleh kaum tani. Maka berlakulah pemisahan kaum di dalam bidang ekonomi di Kedah.

Golongan-golongan atasan Melayu di Kedah pada masa itu sebenarnya mempunyai peluang yang banyak untuk bertanding awal-awal lagi dengan pedagang dan pengilang Cina sebelum wujudnya sistem monopoli-monopsoni Cina menjadi kukuh. Golongan atasan Melayu ini mempunyai modal yang cukup dari segi pemilikan tanah dan pengawalan dan penguasaan tenaga buruh. Tetapi oleh sebab kemasukan mendadak barangan gunaan seperti candu, tembakau dan kain-kain pakaian yang mewah kesanaran dan ketabahan yang dikehendaki di dalam perniagaan diketepikan oleh cara-cara yang mudah untuk mendapat barang-barang ini. Golongan atasan yang mendapat banyak tanah sawah ampun kurnia memajaknya kepada pedagang Cina untuk mendapatkan pendapatan yang cepat. Misalnya pada tahun 1911 ada disebut di dalam sejarah bahawa hak mengutip cukai import ke atas kayu balak telah dikurniakan kepada seorang atasan bernama Syed Osman dari daerah Yan. Tetapi Syed Osman memajakkan ini kepada seorang pedagang Cina dengan bayaran sebanyak $400 setahun. Dengan secara ini kekuatan sistem monopoli-monopsoni pedagang dan pengilang Cina bertambah kukuh.

Walaupun pada tahun 1911 segala jajahan seperti di atas dihapuskan oleh
pihak British, asas ekonomi pedagang pengilang Cina telahpun kukuh. Keadaan terhutang yang berlanjutan sehingga ke liang lahad dan disambung pula oleh zuriat kaum tani menjadi-jadi lagi apabila pihak British membina-tambah sistem pengairan dan pemaritan di dataran Kedah. Seiring dengan taliair dan parit yang dibina jalan-jalan raya yang menghubungi bandar dan desa diwujudkan pula. Ini sudah tentu membawa ekonomi tani yang sudah lemah itu bertambah rapat di bawah kongkongan sistem monopoli-monopsoni.

Integrasi Pasaran : Suatu Keadaan Ekonomi "Dependency"

Dengan terbiarnya sistem perhubungan jalan yang meluas suatu integrasi pasaran ekonomi di antara sistem ekonomi pertanian di Kedah dengan sektor perindustrian-perdagangan di Britain diwujudkan. Air di dalam taliair dan parit menyumbang kepada peningkatan hasil padi yang nilai kelebihannya disalurkan ke Pulau Pinang dan akhirnya ke London. Pada tahun 1913 satu jalan tar yang menghubungi Pulau Pinang, Alor Star dan Singgora di Thailand siap dibina. Di barat jalanraya ini dipenuhi oleh estet-estet getah British dan di sebelah barat terbentang sawah-sawah padi. Jalan keretapi yang siap dibina pada tahun 1915 adalah selari dengan jalanraya ini. Jalan-jalan kecil yang dibina di atas tebing taliair dan parit semuanya menuju ke arah pertempatan penduduk dan bandar-bandar yang terletak di tepi sistem perhubungan yang besar ini. Taburan kilang-kilang beras yang besar-besar adalah juga mengikut arah penyaluran bahan pengeluaran tani ini. Kilang beras yang kecil-kecil bertabur di sekitar desa dan kebanyakannya bertumpu di pinggir pekan. Petani membawa hasil padinya ke pekan di mana barang keperluannya pula dibeli dengan menggunakan jalan-jalan desa yang becak di musim hujan dan berdebu di musim kemarau atau dengan menggunakan perahu melalui sungai, taliair dan parit.

Kos mengangkut padi ke pekan adalah tidak dimasukkan ke dalam perkiraan harga padi kerana harga ini dikuasai oleh kumpulan pedagang dan pengilang. Tetapi disebaliknya kos pengangkutan barangan yang diperlukan oleh petani dimasukkan ke dalam harganya. Dari segala sudut petani yang menanggung kerugian.

Di kawasan yang tidak mempunyai pekan-pekan yang dapat menampung
kehendak harian para tani, selalunya terdapat jaringan pekan sehari atau lebih terkenal sebagai pekan nat di Kedah. Di pekan-pekan nat ini (yang selalunya diadakan di persimpangan-persimpangan jalan yang strategis) petani dan pedagang berjual-beli. Selalunya proses pertembungan ekonomi ini berlaku sehala sahaja di mana petani sahaja yang membeli dan pedagang yang menjual. Bahan-bahan keluaran tani kebanyakannya dijual kepada pedagang yang memberi pinjaman.

Kebanyakan pedagang pekan nat adalah terdiri dari pedagang-pedagang
kecil Melayu dan sebahagian besar di antara mereka ialah orang-orang yang berketurunan Indonesia. Kebanyakan pedagang ini adalah orang-orang yang tidak memiliki tanah. Mereka mendapatkan barang dagangan seperti pinggan mangkuk, kain,rempahan dan lain-lain dari pedagang Cina di bandar-bandar seperti Alor Star, Jitra dan Kangar secara pinjaman yang tinggi kadar faedahnya. Sumber lain tidak ada kerana monopoli barang-barang ini adalah di dalam tangan pedagang Cina. Oleh itu keseluruhan kos barangan dan pengangkutan dilonggok ke dalam harga yang petani kena bayar. Keuntungan yang didapati oleh pedagang pekan nat ini adalah amat kecil dibandingkan dengan keuntungan yang diperolehi oleh pedagang Cina yang membekalkan barang-barang itu.

Banyak pedagang-pedagang runcit Melayu yang muncul dari kalangan,
masyarakat tani, tetapi kebanyakan dari mereka dihimpit keluar oleh kuasa monopoli. Hanya kejayaan yang mereka capai ialah di dalam bidang perdagangan barang-barang buatan tradisional seperti songkok, batik dan lain-lain kraftangan kampung. Wujudnya Pekan Rabu di Alor Star adalah pedagang-pedagang barang-barang tradisional dan bahan-bahan kampung yang tidak diminati oleh pedagang Cina.

Oleh itu walaupun ada golongan pedagang yang muncul dari kalangan
masyarakat tani Melayu, mereka ini hanya berpendapatan yang sederhana. Taraf hidup mereka tidak sangat berbeza dari taraf hidup petani biasa. Justeru itu penabungan pendapatan berlebihan adalah lemah sekali kerana kelebihan adalah terlalu kecil. Pelaburan tidak mungkin dilakukan lebih-lebih lagi dengan adanya kuasa monopoli.

Dari segi proses evolusi sistem capitalism selepas keruntuhan sistem feudalism, kemunculan golongan pedagang kecil Melayu dari masyarakat tani adalah gejala yang baik di dalam pembangunan ekonomi masyarakat. Phasa dagangan ini malangnya terencat pada peringkat awalan lagi kerana proses peralihan modal dan tenaga buruh dari bidang dagang ke bidang industri disekat oleh kuasa monopoli. Atau di dalam keadaan tertentu peralihan ini berlaku ke arah asal iaitu ke arah feudalism atau neo-feudalism.

Wujudnya sistem dagangan kecilan yang terencat ini dapat dilihat hingga ke hari ini di Pekan Rabu. Generasi demi generasi pedagang hanya mendagang barangan yang sama dan dengan sekil yang sama. Paul Baran menyarankan bahawa keadaan terencatnya proses pembangunan ekonomi pribumi adalah seperti anak kecil yang hidupnya menderita kelaparan dan apabila umurnya berlanjutan ia tidak dapat menikmati hidup remaja kerana badannya sudah lemah dan lesu.

Proses peminggiran kaum tani dari sistem ekonomi capitalism ini mengakibatkan kedudukan Kedah sebagai satelit ekonomi Pulau Pinang. Dalam tahun 1905 Barnes menulis,

"manakala Kedah adalah sebuah negara yang merdeka di bawah
naungan Siam, (malangnya) sistem ekonominya adalah bergantung
semata-mata kepada Pulau Pinang. Tiap-tiap ringgit modal yang dilaburkan adalah datangnya dari Pulau Pinang dan semua pedagang Cinanya mempunyai pertalian dengan syarikat-syarikat besar di Pulau Pinang."

Di dalam keadaan ekonomi yang disebut di atas, kemewahan ekonomi Pulau Pinang adalah berasaskan kepada keuntungan yang melimpah dari pelaburan di Kedah. Keuntungan-keuntungan ini dilaburkan pula di negeri-negeri bersekutu khasnya di negeri-negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka yang mengeluarkan getah dan bijih timah. Beras-beras Kedah yang didapati dengan kos yang amat rendah digunakan untuk menyara tenaga-tenaga buruh dilombong dan ladang getah. Maka tinggallah Kedah dan kaum taninya sebagai sepohon getah yang pada awalnya dilaburkan dengan baja sehingga cukup besar untuk ditoreh terus-menerus untuk kemewahan orang lain. Beginilah keadaannya sehingga awal zaman merdeka.

Rumusan

Nasib kaum tani Kedah, yang sekarang menjadi sebuah negeri di dalam Negara Malaysia, adalah disebabkan terencatnya proses pembangunan ekonomi masyarakat tani itu. Ini disebabkan pula oleh kemasukan modal luar yang cukup kuat pertalian pasarannya. Kekayaan hasilnya disalurkan kepada pembangunan Pulau Pinang dan lain-lain negeri bijih dan getah. Adalah wajar Kedah pada masa ini diberi ganjaran di atas sumbangan sejarahnya kepada keutuhan ekonomi Negara Malaysia. Kita lihat bahawa tanpa beras Kedah yang murah semenjak abad 17 hingga akhir-akhir ini perusahaan perladangan getah dan perlombongan bijih timah tidak akan berkembang dengan pesatnya.

Usaha Kerajaan Pusat untuk membangunkan semula Kedah pada masa ini
adalah sedikit sebanyak dibuat di atas kesedaran ini. Ini bererti bukanlah wang-wang Kerajaan Pusat yang disumbangkan ke Kedah itu sebagai curahan sedekah sepertimana didakwa oleh segolongan cerdik pandai di Kuala Lumpur. Malah ianya adalah hak mutlak yang mesti diberi kepada yang empunya.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah