Anda di sini:
 

sambungan
Penangkapan Ikan Air Tawar Cara Tradisional

 
 

Serkap

SERKAP PERLIS

Ianya merupakan sejenis alat penangkapan ikan Melayu tradisional yang terdapat dalam berbagai-bagai jenis. Antaranya ialah Serkap Perlis, Serkap Banjar dan Serkap Kedah.

Serkap lazimnya diperbuat daripada buluh, rotan dan akar. Buluh yang biasa digunakan ialah buluh duri dan buluh tela. Manakala akar yang digunakan ialah akar pukang dan rotan biasa. Serkap biasanya digunakan pada musim membajak sawah. Mereka akan menurut di belakang tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau semasa membajak. Kini, di turut di belakang traktor atau kubota.

Serkap digunakan dengan cara direjam ke dalam air dengan cara berulang kali. Apabila terasa kocakan ikan membelah dinding serkap di dalam air, ini menunjukkan ikan telah mengena. Serkap akan ditekan dengan lebih kuat ke dalam supaya ikan yang berada di dalam serkap tidak akan keluar. Kemudian ikan akan digagau dengan tangan melalui mulut serkap dengan berhati-hati agar tidak di sengat ikan yang berduri seperti ikan keli.

SERKAP BANJAR

Serkap juga dijadikan model oleh orang tua-tua dahulu untuk menyalur atau melahirkan pemikiran. Serkap pada lahirnya merupakan 'penangkap rezeki', menjadi luas maknanya dalam masyarakat tradisional. Terdapat rangkaian pantun berkait yang dipusakakan oleh nenek moyang tentang serkap.

Antaranya :

Sungguh rendang pohon kuini
Langsai buahnya dilahap orang
Menuduh orang tiada bukti
Bagai menggunakan serkap jarang

Langsai buahnya dilahap orang
Biji ditabur merata tempat
Bagai menggunakan serkap jarang
Peluh mengucur laba tak dapat

Ada juga dipantunkan oleh orang tua kita zaman dahulu :

Serkap ikan di tengah bendang
Dapat keli bisa sengatnya
Cakap tuan biarlah terang
Tidaklah kami terpinga-pinga

Serkap kini telah dimajukan dan dijadikan sebagai bahan hiasan kraftangan dalam saiz yang kecil.

Jala

JALA

Sejenis alat menangkap ikan yang masih lagi digunakan sehingga sekarang di kampung-kampung untuk saradiri, hobi dan jarang bercorak komersial.

Selalunya saiz jala mengikut kesesuaian kegunaan individu. Saiz jala mengikut panjangnya iaitu panjang 7, panjang 9 dan ada yang panjang 12 mengikut kiraan kaki. Jala ikan bermata besar manakala jala udang bermata halus.

Jala diperbuat daripada benang yang kasar dan disirat dengan alat yang dinamakan 'cuban' dan 'peregang' yang diperbuat daripada buluh. Sesebuah jala mengambil masa sebulan atau dua bulan untuk menyiapkannya iaitu mengikut saiz dan yang panjang memerlukan masa yang lebih lagi.

Jala dapat dibahagikan kepada lima bahagian iaitu bahagian tali, pucuk, badan, bahagian batu (samada batu timah atau batu besi) dan kandit jala. Bahagian kandit inilah tempat ikan akan terperangkap semasa menjala.

Cara menggunakan jala ialah hujung tali yang bersambung di pucuk jala disarung di pergelangan tangan kemudian badan jala akan dibahagi tiga. Satu bahagian disangkut di siku tangan kanan, satu bahagian dipegang oleh tangan kanan dan satu bahagian lagi dipegang oleh tangan kiri.

Jala ditebarkan mengikut teknik yang betul. Sekiranya tidak, jala tidak akan kembang. Ikan yang terperangkap di dalam jala dapat dirasai apabila ia membelah jala. Kemudian jala akan dibiarkan terendam beberapa minit barulah diumbut perlahan-lahan naik ke atas. Setelah dinaikkan ke darat, jala akan dikirai untk memudahkan mengeluarkan ikan.

Menjala boleh dilakukan di atas darat mahupun di atas perahu dan sesuai di tempat-tempat yang lapang, samada di persisiran pantai, sungai, kolam atau telaga, tali air dan sebagainya.

Cuba anda teka apakah bendanya, lagi dijahit semakin berlubang, lagi dijahit semakin berlubang ?

Tangkul

Terdapat dua jenis tangkul yang sering digunakan iaitu tangkul tarik dan tangkul angkat. Tangkul biasanya digunakan di kalangan penduduk yang tinggal di pinggir-pinggir sungai dan parit tali air terutama di musim hujan di waktu air melimpah.

  1. TANGKUL TARIK (PARIT TALIAIR)
    Tangkul Tarik
  2. Diperbuat daripada buluh beting. Dua batang buluh panjang digunakan untuk dipacak di kiri dan kanan parit tali air. Dua buah takal diikat di hujung buluh yang dipacak untuk dimasukkan ke dalam batang buluh dan hujung tangkul diikat direlang tersebut supaya senang untuk mengelilingi tangkul dan tali panjang untuk menaikkan tangkul. Tangkul biasanya ditahan dan diangkat pada satu jangka masa yang tidak ditetapkan. Lama dan cepat masa bergantung kepada jenuhnya ikan yang terperangkap masuk.

  3. TANGKUL ANGKAT (SUNGAI)
    Tangkul Angkat
  4. Diperbuat daripada buluh beting. Empat ranting diperlukan dan dimasukkan ke dalam dua biji gelenggang (buluh yang dikerat pendek) untuk dijadikan empat penjuru. Di keempat-empat penjuru inilah tangkul diikat. Tangkul yang besar menggunakan tuas untuk mengangkat naik ke atas. Untuk menahan tangkul, ianya direndam ke dalam air sungai. Apabila sampai waktu yang ditetapkan barulah ianya diangkat. Adakalanya ditahan dari waktu malam dan diangkat pada waktu pagi. Sekiranya ikan banyak, tangkul akan diangkat dengan begitu kerap. Tangkul yang bersaiz kecil digunakan di alor.

Bubu Tempang

 

BUBU TEMPANG

Ditahan di sungai-sungai, alur dan gelung air yang agak dalam. Sebelum bubu tempang ditahan, belat dipasang terlebih dahulu merentangi tempat tersebut. Bubu tempang diletakkan di antara kiri dan kanan belat sehingga menenggelamkan masuk.

Terdapat dua bahagian iaitu bahagian hadapan untuk ikan masuk dan bahagian belakang untuk memerangkap ikan. Pintu masuk dipanggil 'unjap hadapan' dan pintu belakang dipanggil 'unjap belakang'. Unjap terdiri daripada bilah-bilah yang diraup lembut dan tajam di hujungnya. Ia berfungsi sebagai saluran ikan dan menyekat daripada keluar. Manakala pintu untuk mengeluarkan ikan terletak di bawah di bahagian belakang.

Ia diperbuat daripada buluh beting atau buluh duri, akar dan rotan. Ikan-ikan yang biasanya dapat ditangkap ialah haruan, puyu, keli, lampam dan lain-lain lagi. Bubu ini tahan lasak di mana ia boleh memerangkap ikan-ikan yang besar.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah