Anda di sini:
 

SebelumSelepas

sambungan
Penangkapan Ikan Air Tawar Cara Tradisional

 
 

Bubu

BUBU

Sejenis alat penangkapan yang bersaiz sederhana dan mudah dibawa. Kegunaannya dilabuh di dasar-dasar sungai, selalunya di kawasan yang mempunyai reba di mana ikan atau udang galah suka berkumpul. Tempat diletak bubu akan ditanda untuk mengecam kedudukannya. Biasanya, bubu akan dibawa dengan perahu. Umpan seperti isi kelapa diletak untuk menarik perhatian ikan masuk.

Sebuah bubu dibentuk daripada satu tapak berbentuk bulat yang diperbuat daripada rotan dan buluh. Dibentuk besar di bahagian hadapan dan mengecil ke belakang. Di bahagian hadapan bubu dibuat satu pintu masuk yang dipanggil 'injap'. Injap ini berbentuk seperti kon. Ia membenarkan ikan masuk tetapi menghalang mereka daripada keluar. Satu lagi pintu yang boleh dibuka dan ditutup disediakan di bahagian belakang bagi mengeluarkan ikan yang terperangkap.

Bubu biasanya ditahar begitu sahaja semalaman atau dua hingga tiga hari di dalam air sebelum ia ditarik naik untuk melihat hasil tangkapannya.

Ran Candik

RAN CANDIK

Kombinasi sebuah pondok dan belat dipanggil Ran Candik. Didirikan di tepi-tepi sungai di antara muara dan hulu sungai yang berarus deras. Ran dibina daripada buluh yang beratapkan nipah. Belat pula diperbuat daripada batang bemban atau buluh ditanam di dalam sungai mengikut arus air sebagai pintu masuk ikan.

Digunakan semasa air naik di mana candik akan diturunkan ke dalam air, sementara tali perasa yang diikat dihujung candik dipegang. Apabila terasa ikan masuk ke dalam candik ia akan dilepaskan dan candik akan ditarik naik ke atas ran. Untuk mengendalikan candik, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua orang. Ikan yang ditangkap biasanya baung, sebarau, lampan, ikan pipi merah, temoleh, tapah dan patin.

Menimba

 

MENIMBA

Menimba ikan merupakan salah satu aktiviti penangkapan ikan secara tradisional. Selalunya dijalankan/dilakukan di taliair, telaga, gelung air dan lain-lain lagi. Ianya masih lagi popular hingga sekarang. Kegiatan ini sudah menjadi tradisi penduduk di kampung-kampung setiap kali musim kering terutama selepas musim menuai padi. Ianya biasa dilakukan secara berkumpulan tiga atau empat orang bagi mengeringkan telaga. Mereka hanya membuat empangan di telaga sebelum menimba air keluar. Menimba selalunya menggunakan timba khas diperbuat daripada tin minyak tanah yang diikat empat tali di sebelah kiri dan kanan timba dan menghayunnya serentak ke dalam taliair, kolam atau telaga bagi mengeluarkan air. Sekiranya banyak timba digunakan, ia dapat dikeringkan dalam tempoh yang singkat.

Apabila air kering, ikan akan terperangkap di dalam lumpur dan mudah ditangkap dan diisi dalam raga. Ikan-ikan ditangkap dengan menggunakan tangan dan penyauk. Dahulunya penduduk kampung akan bergotong-royong menimba telaga (kawasan dalam) di dalam sawah, menangkap dan menyiang ikan bersama sehingga boleh dibuat kenduri bersama beras baru.

Jut

JUT

Jut biasanya digunakan di parit taliair, sawah, gelung air dan di tempat yang menjadi laluan air. Ikan yang ditangkap ialah ikan puyu dan ikan sepat.

Jut dibuat dengan menggunakan sebatang buluh yang panjang dawai dan pukat. Dawai dibentuk menjadi bulat dan diikat di hujung buluh, dan pukatpula dijalin di sekeliling dawai tersebut.

Jut yang ditahan di arus air akan disentak sekiranya terasa ikan membelah jut tersebut. Semasa menyentak, pukat yang mengelilingi dawai akan mengincup dan tertutup. Ikan yang masuk ke dalam jut akan terperangkap.

MENIMBA

Belat

Belat ditahan di parit, anak sungai, alor dan parit. Buluh-buluh dibelah halus dan dijalin dipacak merentangi tempat tersebut bagi menyekat arus aliran air. Secara tidak langsung menyekat pergerakan ikan yang lalu bagi memerangkap mereka di dalam bubu yang dipasang di mulut belat.

Memancing

Memancing cara tradisional biasanya menggunakan buluh sebagai bok kail atau joran. Buluh telor dipilih kerana ia panjang dan ringan. Buluh tua diambil dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum ianya digunakan.

MEMANCING

Biasanya penduduk kampung akan memancing pada musim selepas menanam padi di sawah-sawah, alor, sungai-sungai kecil dan sebagainya.

Memancing cara tradisional ini agak unik sedikit. Semasa memancing, ikan dipanggil memakan umpan dengan cara mengetuk hujung joran di air atau membuat bunyi dengan mulut. Adakalanya sebelum memancing, pokok padi diselak dan diletak 'kujam' atau umpan dengan cara menggempal tanah yang digumpal dengan dedak.

Mata kail diuncat ke dalam air. Tali kail akan tegang apabila ikan memakan umpan. Bok kail perlu disentak dengan cepat ke atas. Hasilnya, kepuasan dan ikan yang diperolehi.

Umpan yang digunakan semasa memancing ialah anak belalang, anak kerengga, anak tebuan, anak-anak ikan haruan dan lain-lain. Sebelum dijadikan umpan, anak kerengga atau anak tebuan diperap dengan asam gelugor berserta garam untuk menjadikan ia liat dan tidak busuk serta menjadikan ia mudah untuk dicucuk ke mata kail. Umpan ini adalah kegemaran ikan puyu dan keli.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah