|
Menggagau Atau Mengecal
Menggagau atau mengecal mungkin merupakan cara menangkap
ikan yang paling primitif. Menangkap ikan dengan cara ini tidak
memerlukan sebarang peralatan kecuali kedua-dua belah tangan. Pengecal
ikan di kawasan sawah padi atau sungai sememangnya mempunyai kemahiran
tersendiri. Mereka memahami perangai ikan dan tempat kegemaran ikan
tersebut berlindung. Selain itu, keadaan tempat menjalankan kegiatan
juga memainkan peranan ketika hendak melakukannya.
Mengecal ikan di sawah padi perlu mengikut masa yang tertentu,
bukan sepanjang masa. Pada kebiasaannya, kegiatan ini dilakukan
semasa membuang air di sawah. Pada ketika ini ada sesetengah bahagian
sawah yang masih digenangi lopak atau ditakungi air walaupun tempat-tempat
lain sudah kering. Tempat-tempat begini menjadi tempat perlindungan
terakhir bagi ikan sepat, puyu, keli atau haruan yang terperangkap
dan tidak sempat memboloskan diri ke dalam saliran air yang besar.
Ikan-ikan tersebut akan berlindung di pangkal pokok padi dan kadang-kadang
membuat lubang di dalam lumpur, terutamanya ikan keli dan haruan.
Kanak-kanak dan orang dewasa akan mencari lopak-lopak begini dan
menggagau ikan dengan menggunakan tangan sahaja. Sememangnya
sangat mudah !
Di dalam lumpur atau air yang cetek, ikan keli sangat licin dan
sukar untuk dipegang. Sekiranya tersalah pegang dan terkena sengatnya,
anda akan mengalami kesakitan yang akan mengambil masa untuk sembuh.
Terdapat teknik tertentu untuk memegang ikan keli. Perkara yang
pertama dan penting ialah keberanian. Ia tidak boleh dipegang sambil
lewa sahaja. Memegang ikan keli dengan cara yang betul ialah dengan
menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, manakala tiga jari yang
lain menggenggam kepala ikan keli dengan kejap dan kuat. Ibu jari
dan jari telunjuk memegang kepala ikan keli dengan duri/sengatnya
dikangkangkan di belakang kedudukan jari anda.
Mengecal di dalam lopak yang cetek sememangnya tidak begitu
susah berbanding mengecal di dalam parit yang airnya dalam. Selain
kesukaran menangkap ikan, perbuatan ini juga agak berbahaya. Anda
mungkin terpegang binatang berbisa seperti ular atau sebagainya.
Untuk mengecal di dalam parit yang dalam, anda terpaksa
mencari rumput rumpai di tebing parit tersebut kerana anda perlu
menggagau ikan di dalam rumpai itu. Ketika anda meraba-raba
di dalam rumpai itu, anda perlu sensitif dengan apa yang anda pegang.
Anda juga harus dapat membezakan bentuk ikan tertentu supaya dapat
bertindak dengan serta-merta jika mendapati benda yang dipegang
itu bukannya ikan.
Ikan puyu dan ikan sepat tidak susah untuk dibezakan daripada binatang
lain, tetapi ikan keli dan haruan selalu mengelirukan. Sebabnya
kerana ular bantal (sejenis ular yang memakan ikan) dan ikan haruan
sememangnya mempunyai kedudukan sisik yang sama dan saiznya pun
hampir serupa. Apa yang selalu dilakukan ketika menggagau ialah
meraba di dalam rumpai tersebut dengan sentuhan yang lembut, iaitu
dengan menggunakan hujung jari. Apabila tersentuh dengan benda yang
disyaki ikan, hendaklah diraba sisiknya, juga dengan perlahan sambil
mengagak saiznya.Raba secara memanjang dan cari arah kepalanya.
Kalau pendek dan tidak menirus dengan cepat, ia pasti ikan haruan.
Carilah kawasan insangnya dan pegang dengan kuat dan kemas. Tetapi,
jika ia semakin panjang dan menirus dengan cepat..sudah pasti ular
bantal !
Masakan Ikan Darat
 |
|
|
IKAN DARAT YANG DIKERINGKAN
|
Ikan darat seperti haruan, keli, puyu dan sepat adalah begitu enak
dan sedap dimakan sekiranya dimasak gulai likat rempah giling
campur dengan ubi kayu. Begitu juga sekiranya digoreng garing-garing.
Ikan darat juga boleh dibuat kering, digoreng, dimakan bersama
pulut dicampur kelapa parut dan juga sesuai dimakan semasa sarapan
pagi atau setelah pulang mengerjakan sawah.
Pekasam merupakan sejenis resepi ikan darat. Setelah selesai
disiang dan dibasuh, ianya akan diperap bersama garam yang dicampur
dengan beras goreng yang ditumbuk halus. Ia enak sekali dimakan
bersama nasi panas dan ulam-ulaman selepas digoreng.
Orang tua-tua dahulu gemar membuat serondeng daripada isi
ikan haruan. Ia direbus terlebih dahulu dan isinya diambil. Kemudian
digoreng sehingga kering bersama rempah-ratus. Ia sedap dihidangkan
bersama pulut kukus atau dibuat cicah ketupat mahupun lemang.
Ikan haruan dipanggang selepas dibalut dengan daun pisang. Ia terlebih
dahulu dibelah belakang dan disumbat dengan inti kelapa atau cili
berserta ramuan serai lengkuas. Masakan ini dipanggil 'bantut'.
Pais pula dibuat daripada anak-anak ikan haruan atau ikan
sepat Kedah yang dicampur dengan bawang dan cili dibungkus dengan
daun pisang. Kemudian dipanggang sehingga masak.
Lain-lain masakan ikan darat ialah asam pedas ubi kemili, masak
jeruk, masak lemak cili api, bakar tawar cicah air asam dan lain-lain
lagi.
Kajian mendapati bahawa ikan haruan berkhasiat dibuat ubat luka
dalaman dengan cara dimasak sup. Ianya baik diamalkan oleh wanita
selepas bersalin atau bagi mereka selepas menjalani pembedahan.
Juga dipercayai lendir ikan haruan dapat menghindarkan dari jangkitan
demam campak dengan cara melepas ikan haruan ke dalam kolah mandi
dan airnya dimandi oleh seisi keluarga.
Nama Saintifik Bagi Ikan Air
Tawar Di Perairan Malaysia
1. BETUK/PUYU (Climbing Perch)
Ikan Betuk atau Puyu termasuk dalam famili ANABANTIDAE.
Nama Latin bagi ikan Betuk ialah Anabas Testudineus. Badannya
pipih serta bujur tirus terhadap ekor. Sisik yang meliputi badannya
adalah kasar. Seluruh badannya dibaluti lendir. Badannya berwarna
kehijauan. Saiz badannya kira-kira 20 cm panjang.
Ikan Betuk/Puyu terdapat di perairan Malaysia di mana keadaan ikan
air tawar, iaitu di sungai, parit, paya, tali air dan sawah padi.
Makanannya terdiri daripada cacing, krustasia kecil, moluska, larva
serangga dan tumbuh-tumbuhan dalam air. Ikan Puyu masih boleh hidup
buat beberapa lama walaupun kawasan sekitarnya tiada air.
2. HARUAN (Snakehead)
Ikan haruan (Channa Striatus) termasuk dalam famili LI
DAE. Haruan bukan sahaja terdapat di perairan Malaysia tetapi
juga di negeri China, Thailand, Indonesia dan Filipina. Badannya
bulat dari kepala ke ekor. Kepalanya leper dorsoventral dan ekornya
pipih. Biasanya saiz ikan Haruan boleh mencapai sehingga 50 ke 60
cm.
Ikan Haruan biasanya hidup dalam air tawar seperti di sungai, paya
dan sawah padi. Ia boleh hidup dalam air lumpur yang kekurangan
oksigen dan juga tempat-tempat yang tidak berair hingga berbulan-bulan
kerana ia mempunyai alat khas penyedut udara. Makanan Haruan terdiri
daripada rumpair dan protozoa serta anak-anak ikan lain di sekitarnya.
3. IKAN KELI (Walking Catfish)
Ikan Keli (clarias) termasuk dalam susunan SILUROIDAE. Ikan
keli mempunyai duri-duri tajam pada ridip belakangnya dan sirip
kepaknya. Ikan Keli sama famili dengan Ikan Sembilang, Ikan Duri
dan Ikan Seludu. Ikan Keli hidup dalam air tawar.
Ikan Keli mempunyai badan yang panjang dan tirus. Warnanya hitam
di bahagian ventral. Saiznya antara 20 cm hingga 30 cm panjang,
iaitu kecil sedikit daripada ikan Sembilang. Makanannya terdiri
daripada benda-benda hidup dalam air. Ia juga makan sisa buangan
dari haiwan-haiwan lain. Ikan Keli hidup di lumpur-lumpur di tasik,
sungai dan tali air serta sawah padi. Terdapat dua jenis ikan Keli
di perairan Malaysia iaitu Keli Bunga (Clarias Macrocephalus)
dan Keli Kayu (Clarias Batrachus).
|