Anda di sini:
 

sambungan
Adat Persawahan Di Negeri Kedah

 
 

Sistem Penanaman Padi Cara Tradisional Di Kedah

Sistem penanaman padi cara tradisional di negeri Kedah dapat di kelaskan kepada dua musim iaitu :

  1. Musim Bersawah
  2. Musim Menuai

1. Musim Bersawah

Masyarakat petani tradisional mula turun ke sawah apabila tibanya musim hujan. Ketika ini mereka akan sibuk menyiapkan segala kelengkapan yang berkaitan dengan persawahan dan juga memastikan petak-petak sawah mereka ditakungi air hujan secukupnya.

Dalam mengerjakan sawah, peralatan persawahan tradisional seperti tenggala, penyisir (sisir), cangkul, tajak, tenggiling dan lain-lain digunakan.

TAJAK

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk membersihkan rumput pada batas-batas petak sawah dan juga di tapak semaian.

SISIR KAPAR

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk menarik kapar di dalam petak sawah ke tepi dan juga untuk menarik badai batang pisang semasa penyediaan tapak semaian.

 

SISIR KAYU

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan selepas kerja-kerja menggala (bajak) sawah bertujuan untuk menghalus, merata dan memecah ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya dari rumput rampai.

TENGGALA

Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk menggala (bajak) sawah dengan ditarik oleh seekor kerbau.

  1. Penyediaan Tapak (Petak) Semaian

Setelah siap segala peralatan yang diperlukan, para petani akan turun beramai-ramai ke sawah masing-masing untuk memulakan kerja-kerja seperti menggala (membajak) dan membersih petak-petak sawah untuk dijadikan tapak semaian. Tapak semaian merupakan tempat menyemai benih-benih padi untuk dijadikan semai (anak padi sebelum dipindah / ditanam di dalam petak-petak sawah yang disediakan).

Penyediaan tapak sawah memerlukan penelitian yang rapi. Tanahnya mestilah betul-betul lembut dan bersih daripada sebarang jenis tumbuhan air di dalamnya. Bagi merata dan melicinkan permukaan tanahnya, sejenis alat yang dinamakan "Pembadai" digunakan. Pembadai ini kebiasaannya ialah sebatang pokok pisang yang di potong mengikut keperluan dan di buang kulitnya dan kemudian di tarik dengan penyisir kecil (sisir kapar). Dengan keadaan tanah yang lembut akan memudahkan kerja-kerja mencabut semai.

TENGGALA

Ia digunakan untuk membajak tanah sawah dan selalunya diperbuat daripada kayu yang keras seperti kayu halban. Tenggala akan ditarik oleh kerbau.

TAJAK

Selalunya tajak akan digunakan apabila tanah sawah yang dalam tidak dapat dibajak oleh tenggala. Ia berfungsi sebagai tenggala iaitu membajak tanah. Di samping itu, tajak juga digunakan untuk menebas rumput batas sawah.

  1. Penyediaan Benih Padi

Benih padi yang terpilih akan diisi ke dalam guni (karung), kemudian direndam ke dalam air selama 3 hari 3 malam. Selepas di rendam benih padi tersebut diangkat dan disejat dalam bakul yang jarang yang disebut sebagai "bakul lau", kemudian ditutup dengan guni dan dibiarkan selama 3 hari 3 malam untuk proses percambahan mata tunas dan akar. Setelah benih tersebut bercambah, ianya terus ditaburkan ke dalam petak-petak semaian yang disediakan dan dibiarkan tumbuh menjadi semai (anak padi) selama jangka masanya 30 hingga 44 hari untuk tempoh cukup matangnya. Kebiasaannya 44 hari.

PENYEDIAAN TAPAK SEMAIAN
(BEKAS SEMAI)

Kerja-kerja penyediaan petak semaian (bekas semai) sedang dijalankan. Petak semai merupakan tempat pembiakan benih padi untuk dijadikan semai (anak padi) sebelum dipindahkan ke petak sawah yang disediakan.

SABIT


Untuk memotong rumput-rumput yang tumbuh di atas batas sawah. Sabit ini diperbuat daripada besi.

 

PENIMBA AIR

Diperbuat daripada tong minyak dan berhulukan kayu panjang serta berkaki tiga. Ia akan digunakan untuk menimba air masuk ke dalam petak semaian.

PENIMBA AIR

Digunakan untuk membawa biji benih padi ke tapak semaian semasa hendak menabur. Ia diperbuat daripada mengkuang yang dianyam rapi. Bagi peladang-peladang, bekas-bekas lain seperti tin tidak boleh digunakan untuk mengisi benih oleh kerana dipercayai boleh menghilangkan semangat padi.

 

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah