|
GERAKAN awal nasionalisme Melayu di Semenanjung sering dikaitkan
dengan tindakan rakyat peribumi menentang campurtangan Inggeris
dalam sistem politik. Apabila Malayan Union menghilangkan kuasa
politik raja-raja di setiap negeri dengan sendirinya ketuanan Melayu
di atas Semenanjung ini meruncing dan hilang begitu sahaja. Perlembagaan
Malayan Union memberi hak kerakyatan yang samarata kepada semua
kaum di Semenajung termasuk kepada kaum-kaum yang tidak pernah menunjukkan
taat setia mereka kepada negeri ini. Ini telah mengancam hak istimewa
bangsa Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu menjadi tanah jajahan
British.
Kemarahan orang Melayu meningkat apabila mengetahui taktik Sir
Harold MacMichael, utusan khas dari Perdana Menteri British, memaksa
Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan menerima gagasan Malayan
Union. Almarhum Sultan Badlishah diberi katadua menurunkan tandatangan
Baginda atau turun dari takhta.
MacMichael sampai di Alor Star pada 29 November, 1945 dan mengadap
Sultan Badlishah di sebelah tengahari. Dalam uniform brigediernya
MacMichael menjelaskan bahawa Sultan Badlishah belum lagi diakui
Sultan oleh Kerajaan British cuma diakui Bakal Sultan sahaja. Selama
Penasihat British berada di Kedah, Sultan tidak berkuasa mutlak
dan Kedah yang bebas dan merdeka seperti yang dijangkakan adalah
meleset.
MacMichael menekan bahawa Sultan Johor sudahpun menurunkan tandatangan
baginda dan jika ada aspek-aspek yang merugikan kedudukan raja-raja
tentulah Sultan Johor tidak akan menurunkan tandatangan ke atas
perjanjian baru itu. MacMichael terkejut apabila Sultan Badlishah
menjawab, "Tidak semestinya Kedah mengikut apa yang dibuat
oleh Johor"!
Selama tiga hari dari 30 November hingga 2 Disember 1945 MacMichael
berbincang dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri yang diketuai
oleh Tuan Haji Mohammad Sheriff. Akhirnya masing-masing terpaksa
beralah kepada MacMichael. Tunku Abdul Rahman meminta supaya Sultan
menurunkan tandatangan dengan bantahan di hadapan orang ramai. Tunku
Yaakub mencadangkan supaya baginda Sultan menurunkan tandatangan
di atas perjanjian itu kerana tidak ada jalan lain. Haji Mohammad
Sheriff yang telah menggunakan pelbagai helah dan kepintaran yang
ada dalam pengalamannya untuk menolak dan melambat-lambatkan pelaksanaan
perjanjian ini telah menurunkan tandatangannya bersama Ahli-ahli
Majlis Mesyuarat Negeri yang lain menyetujuinya supaya Sultan Badlishah
menurunkan tandatangan baginda.
Sultan Badlishah menandatangani Teriti Malayan Union jam 4.30
petang pada 2.12.1945 di Istana Anak Bukit. Baginda mengambil kesempatan
bertitah, "Inilah saat yang paling malang dan getir dalam hayat
beta. Beta turunkan tandatangan kerana tidak ada jalan lain".
Di tempat lain baginda menyebut bahawa baginda menurunkan tandatangan
dengan azam akan berjuang selepas itu. Kalau baginda turun dari
takhta, sultan yang menggantikan baginda belum tentu akan bertindak
menentang Malayan Union.
Selepas menurunkan tandatangan tersebut Sultan Badlishah mengutuskan
protes kepada Setiausaha Tanah Jajahan di London. Baginda telah
menulis kepada Perdana Menteri British, kepada Ketua Pembangkang
di Parlimen British, kepada Sir Shenton Thomas, Sir Richard Winstedt,
Sir Frank Swettenham, Encik L.D. Gammans dan juga kepada akhbar
"The Times". Surat-surat Sultan Badlishah tidak pernah
diumumkan di Malaysia. Separuh dari drafnya ditemui dalam tahun
1983.
Ayub bin Abdullah dari Kulim, penulis buku "Watan Kita Dengan
Orang-Orang Asing", 1936 dulu, telah mengutuskan telegram kepada
Setiausaha Kecil Tanah Jajahan membantah gagasan Malayan Union yang
disogokkan kepada orang Melayu. Tindakan beliau merupakanbantahan
paling awal dikemukakan kepada Whitehall.
Akhbar "Majlis" keluaran 4, 5, dan 6 Januari 1946 memuatkan
artikel bersiri ditulis oleh Ayob bin Abdullah yang mendebatkan
hak-hak sultan ke atas rakyatnya dan sejauh mana Perjanjian Malayan
Union telah mencabuli hak-hak itu.
"SABERKAS" sebagai sebuah badan kebajikan dan koperasi
di bawah pimpinan Encik Mohamad Khir bin Awang Jaafar dan Encik
Senu Abdul Rahman bertindak pula menghantar telegram kepada Setiausaha
Tanah Jajahan, Persatuan Pelajar Melayu di London dan kepada beberapa
orang ahli Parlimen British dan juga kepada beberapa orang pegawai
tadbir British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu.
|