|
Bagi pihak SABERKAS Abdul Hamid Abdullah, seorang jurutera Melayu,
menulis sebuah artikel panjang mengenai penentangan Melayu terhadap
Malayan Union dalam "The Times" sebagai menyedarkan orang
ramai British mengenai apa yang berlaku di Tanah Melayu.
Dalam bulan Januari, 1946, SABERKAS menerbitkan majalah bernama
" Suara SABERKAS" menyeru orang-orang Melayu supaya menentang
Malayan Union. Tunku Abdul Rahman Putra juga mengeluarkan majalah
"Watan" dalam bulan Mei dengan tujuan yang sama.
Kerana terlalu radikal SABERKAS tidak disokong oleh semua lapisan
masyarakat Melayu di Kedah. Beberapa tokoh Melayu termasuk pemimpin-pemimpin
SABERKAS sendiri telah berusaha menubuhkan sebuah pertubuhan politik
yang boleh diterima oleh semua lapisan rakyat. Akhirnya tertubuhnya
"Kesatuan Melayu Kedah"di bawah pimpinan Tuan Haji Hussain
Che' Dol dan Ayub bin Abdullah. Tunku Abdul Rahman penaung SABERKAS
turut dilantik menjadi penaung. Kesatuan Melayu Kedah. Setiausaha
Kesatuan Melayu Kedah ialah Khir Segara.
Kesatuan Melayu Kedah mengadakan satu rapat raksasa di Alor Star
untuk menunjukkan tentangan padu orang Melayu menentang Malayan
Union. Mahathir (sekarang Dato' Seri Dr. Perdana Menteri Malaysia
keempat), Muhamad Zahir (sekarang Tan Sri Dipertua Dewan Rakyat),
Syed Ahmad Shahabuddin (sekarang Tun Tuan YangTerutama Gabenor Melaka),
Khalid Awang Osman, (Dato''dan bekas Duta Besar Malaysia di India
dan telah meninggal) menjadi Jawatankuasa penaja Kesatuan Melayu
Kedah telah masuk ke kampung-kampung bersama ahli-ahli SABERKAS,
alim ulama, guru-guru dan ahli-ahli Lembaga Pekan Rabu menyeru orang-orang
Melayu keluar ke Padang Court pada 19.1.1946 menunjuk penentangan
terhadap Malayan Union.
Di sebelah malam "masa mata-mata tidur" pemuda-pemuda
terdiri dari orang-orang seperti Mahathir, Muhamad Zahir, Syed Ahmad
Shahabudin, Khalid Awang Osman berkeliaran menampal poster-poster
mengapikan-apikan semangat orang Melayu. "Hapuskan Malayan
Union!" dan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia!!" terpampang
di pokok-pokok dan di tembok-tembok sekitar Alor Star. Perhimpunan
ini turut mendapat kerjasama dari PKMM (Parti Kebangsaan Melayu
Malaya) di bawah pimpinan Saidin Hanafi. Pada 19 Januari 1946, hampir
50,000 orang sepanjang dua batu berarak mengelilingi bandar Alor
Star dan berkumpul di Padang Court untuk mendengar ucapan Haji Hussain
Che' Dol dan Senu Abdul Rahman. Encik E.V.G. Day, Ketua Pegawai
Hal Ehwal Sivil Kedah, merangkap tidak lebih dan tidak kurang sebagai
Penasihat British membuat ucapan berjanji membawakan persoalan ini
ke atas.
Pada 22 Januari, 1946, Kerajaan British mengeluarkan "Kertas
Putih" menjelaskan dengan terperinci apa yang dimaksudkan dengan
Malayan Union. Tidak ada sebarang reaksi dari British yang boleh
menyakin bahawa Malayan Union akan ditarik balik.
Perhimpunan kali kedua diadakan pula di Padang Court pada Februari
1946 mengambil kesempatan lawatan General Ralph Hone, Ketua Hal
Ehwal Sivil Malaya di Kedah. Hampir 5,000 orang telah berkumpul
tetapi General Hone membatalkan lawatannya di saat akhir. Sekali
lagi Haji Hussain Che' Dol dan Senu Abdul Rahman membakar semangat
orang-orang Melayu di Padang Court.
Selepas "Kertas Putih" mengenai Malayan Union diumumkan,
Dato' Onn menyeru orang-orang Melayu mengadakan kongres badan-badan
politik Melayu seluruh Semenanjung. Dua ratus orang mewakili 41
buah badan politik berkumpul pada 1 Mac, 1946; di Kelab Sultan Sulaiman,
Kuala Lumpur. Kedah diwakili oleh 9 orang dari Kesatuan Melayu Kedah
dan SABERKAS serta beberapa orang pemerhati.
Di antara keputusan Kongres ialah menyatupadukan orang-orang Melayu
dan menyatupadukan tentangan tehadap Malayan Union.
Padu 1 April 1946, Tanah Melayu diistiharkan sebagai Malayan Union.
Ternyata British tidak menghiraukan laungan-laungan orang Melayu
supaya Malayan Union dimansuhkan. Sir Edward Gent, seorang dari
pegawai yang bertanggungjawab merangkakan Perlembagaan Malayan Union
tahun 1944 di London dulu menjadi Gabenor Malayan Union yang pertama.
Dengan usaha Dato' Onn, istiadat perlantikan gabenor telah dipulaukan
oleh Raja-Raja Melayu. Beribu-ribu orang Melayu telah berkumpul
di hotel tempat persemayaman raja-raja dan meneriakkan "Daulat
Tuanku!" berselang seli dengan "Hidup Melayu!". Raja-raja
berangkat turun dari hotel menemui rakyat jelata dalam pekikan yang
bergema dan menangis bersama-sama rakyat. Orang-orang Melayu melilitkan
pita putih di songkok kerana berkabung selama seminggu.
Selesai sembahyang Jumaat di Masjid Zahir, Alor Star, pada 7 April,
Haji Hussain Che Dol mengadap Sultan Badlishah dan membuat ucapan.
Antara lain Haji Hussain berkata:
"Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah
menolak akan jemputan Sir Edward Gent masa di Kuala Lumpur baru-baru
ini sebagai membangkang gabenor dan kedatangan Malayan Union itu
Maka di atas perbuatan Duli Yang Maha Mulia itu rakyat seratus peratus
dan setia taat di belakang Tuanku mempertahankan negeri dan bangsa
seberapa daya upaya."
Kongres Melayu SeMalaya Ketiga diadakan pada 11 dan 12 Mei, 1946
dan UMNO dilahirkan. SABERKAS dan Kesatuan Melayu Kedah bersama
dengan 27 badan-badan politik lain seluruh semenanjung menurunkan
tandatangan di atas piagam UMNO merasmikan penubuhannya di Istana
Johor Baharu. Perjuangan menentang Malaya Union selepas ini dirancang
dan dilaksanakan melalui UMNO atas nama UMNO.
UMNO memilih Dato' Onn Jaafar, Dato' Panglima Bukit Gantang dan
Tunku Abdul Rahman berangkat ke London bersama wakil Raja-Raja mendesak
Parlimen British membatalkan Malayan Union. Rombongan ini tidak
sempat bertindak kerana Edward Gent mengakui sendiri bahawa Malayan
Union tidak sesuai langsung dipraktikkan di negara ini. Edward Gent
mengakui bahawa bangkangan-bangkangan raja-raja dan rakyat Melayu
adalah ikhlas. Malayan Union boleh menimbulkan huru-hara yang sukar
dikawal kelak. Orang Melayu tidak keberatan mencantumkan Semenanjung
dengan Indonesia.
|