|
GERAKAN awal nasionalisme Melayu di Semenanjung sering dikaitkan
dengan tindakan rakyat peribumi menentang campurtangan Inggeris
dalam sistem politik dan pentadbiran tempatan dalam abad ke-9 yang
pada pandangan Barat, pejuang-pejuang Melayu waktu itu dicapkan
sebagai penderhaka dan pemberontak. Antaranya termasuklah pahlawan
Dol Said di Naning (1831 - 1832); Datuk Maharaja Lela dan Sultan
Abdullah di Perak (1875 - 1876); Datuk Bahaman dan Mat Kilau di
Pahang (1891 - 1895); Haji Wan Hassan atau Tok Janggut di Kelantan
(1914-1915) dan penentangan Haji Wan Abdul Rahman Limbong di Terengganu
(1928). Sebenarnya Kedah Darul Aman juga merupakan perintis ke arah
mencetuskan gerakan nasionalisme terawal di utara Semenanjung. Penentangan
mereka tidak sahaja terhadap penjajah Inggeris sejak abad ke-18
tetapi juga terhadap Siam (1821 - 1909). Kesan-kesan pengambilan
Pulau Pinang oleh Inggeris (1786) dan ekoran janji-janji kosong
mereka terutamanya bantuan pertahanan yang diperlukan oleh Kedah
menyebabkan timbulnya kemurkaan kepada Sultan Abdullah Mukarram
Shah (1778 - 1797). Akibatnya tercetuslah peperangan diantara kedua
pihak (1791) dan peristiwa ini dapat disifatkan sebagai tahap pertama
berputiknya gerakan nasionalisme menentang pencerobohan pihak Barat
di bumi Kedah.
Tahap kedua penentangan terhadap penjajah berlaku apabila armada
Ligor/Siam menyerang dan menawan Kedah pada 12 November 1821. Bermula
disaat itu Kedah di bawah pengawasan tentera Ligor/Siam selama 21
tahun (1821 - 1841). Sejak itu juga pergerakan bersepadu menentang
menentang Siam oleh beberapa kumpulan wira rakyat dan keluarga DiRaja
Kedah telah tercetus sepanjang masa untuk mengusir tentera Siam
dari bumi Kedah. Walaupun sepanjang pantai perairannya dikawal rapi
oleh kapal-kapal perang Inggeris yang memihak kepada Siam, namun
ada ketikanya pejuang Kedah berjaya menembusi kepungan musuh. Misalnya
Tunku Kudin, adalah wira DiRaja Kedah terawal melakukan percubaan
untuk menawan kembali Kota Kuala Kedah tetapi gagal (1829) sehinggalah
akhirnya beliau terkorban disitu bersama pengikutnya.
Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau 'Marhum Melaka' (1797
- 1845) yang kehilangan takhta terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang
yang kemudiannya ke Melaka akibat Perjanjian Burney (1826). Dalam
sepucuk warkahnya kepada James William Salmond, Pembantu Residen
Pulau Pinang waktu itu, baginda menegaskan:-
"
Apa
boleh beta katakan kerana Kompeni Inggeris ada besar kuasanya. Akan
fasal negeri Kedah itu negeri beta keturunan mari daripada datuk
nenek beta. Maka orang Siam tipu ambil tiadalah boleh beta dapat
kuasa, beta hendak ambil balik juga negeri beta ini
kerana
pada hati orang segala bangsa pun tatkala seseorang berbuat malu
mengambil artanya pasti ia mahu mengambil artanya itu, jangankan
suatu kebun sekalipun
"
Tunku Muhammad Saad seorang lagi wira DiRaja Kedah telah berjaya
mengumpul hampir sepuluh ribu orang penyokongnya lalu melancarkan
serangan mengejut dan berjaya menawan kembali Kota Kuala Kedah dan
Alor Star (1838). Mereka juga menawan Terang dan Singgora di selatan
Thailand. Tetapi pada Februari 1839, angkatan Siam berjaya menyekat
kemaraan Tunku Muhammad Saad dan bertapak di Kedah semula. Ramai
yang gugur sewaktu bertempur di Singgora termasuklah ulama terkenal,
Syeikh Abdul Samad Palembang. Antara beribu pejuang lain yang terlibat
dalam perjuangan peringkat kedua ini termasuklah Tok Moris (Kubur
Panjang), Tok Madi (Bandar Baharu/Yan), Dato' Shahbandar Wan Daud
(Pulai, Baling), Dato' Pekerma Ali, Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman,
Tunku Anom, Syeikh Abdul Kadir, Tunku Long Puteh, Tunku Muhammad
Akib dan Syed Hussain Jamalullai.
Tahap ketiga kebangkitan rakyat Kedah menentang penjajah ialah
apabila kembalinya Inggeris semula yang cuba menguatkan dasar kolonialismenya
menerusi gagasan Malayan Union untuk menghakiskan hak ketuanan dan
kedaulatan Raja-raja Melayu. Dengan itu mulai 1945 gerakan nasionalisme
bergerak semula.
Satu-satunya pertubuhan sosial dan ekonomi iaitu SEBERKAS (Syarikat
Bekerjasama Am Saiburi) yang tertubuh sebelum itu yang diterajui
oleh Senu Abdul Rahman telah bertukar peranan sebagai badan politik
yang berslogankan "Sayang Akan Bangsa Ertinya Redha Korban
Apa Segala" (SABERKAS). Pengasas dan pemimpinnya yang lain
termasuklah Mohd. Khir Johari, Azahari Md Taib, Muhammad Jamil Binjai
dan Khalid Haji Abdullah. Selanjutnya muncul Kesatuan Melayu Kedah
(KMK) dan Persatuan Ulama Kedah, kedua-duanya di bawah pimpinan
Haji Hussain Che Dol manakala pemimpin KMK lainnya termasuklah Ayob
Abdullah, Ibrahim Endut dan Haji Mohd. Khir Segera. Kemudian tertubuh
pula Persatuan Pemuda Melayu Kedah pimpinan Mahathir Mohamad, Mohd
Zahir Haji Ismail dan Khalid Awang Othman, diikuti Anjuran Kesetiaan
Pemuda Kedah pimpinan Arshad Omar dan Syed Ahmad Shahabuddin. Semua
badan politik ini bersatu dalam gerakan menentang Malayan Union
melalui rapat-rapat umum, protes di akhbar-akhbar seperti Majlis,
Warta Negara, Suara Saberkas dan Wathan.
|