Anda di sini:
 
Sebelum

sambungan
Kesinambungan Gerakan Nasionalisme dan Perjuangan Rakyat Kedah Menentang Penjajahan Sejak Abad Ke-18

 
 

Pada 19 Januari 1964, seramai 50 ribu orang Melayu membanjiri Padang Court (Medan Bandar) di Alor Star, anjuran dan kerjasama KMK dan SABERKAS. Berikutnya pada 30 Mei 1946 Padang Court sekali lagi dibanjiri manusia seramai 10 ribu orang bersempena dengan ketibaan wakil dari Parlimen British iaitu Kapt. L.D. Gammans dan Lt. Kolonel Dr. Ress Williams untuk meninjau sikap rakyat melayu Kedah terhadap gagasan Malayan Union. Dato' Onn Jaafar, Presiden UMNO yang tiba lewat sempat berucap yang antara lain beliau menegaskan :-

"Pendirian orang Kedah sudah masyhur iaitu pendirian untuk kebebasan. Saya sangatlah berasa sombong kerana orang Kedah adalah tulang belakang perjuangan umat Melayu Semenanjung…"
(Warta Negara, 31 Mei 1946)

YTM Tunku Abdul Rahman Rahman Putra yang mempengerusikan perhimpunan raksasa tersebut turut memberi ucapan yang ditujukan khas kepada kedua orang wakil Parlimen British itu. Antara lain kata Tunku:-

"Tuan-tuan berdua telah ketahui bagaimana perasaan tiap-tiap seorang daripada bangsa Melayu. Mudah-mudahan Tuhan memindahkan perasaan yang ada di dalam hati orang Melayu itu kepada hati tuan-tuan… Kita umat Melayu adalah sangat menaruh kepercayaan kepada kerajaan British, tetapi sayang, telah hancur luluh disebabkan Malayan Union, ibarat kaca terhempas ke batu. Begitulah juga hancur luluhnya kepercayaan orang-orang Melayu terhadap kerajaan British"

Sementara itu Azahari Md. Taib selaku pemimpin 'Suara Saberkas' dalam rencana pengarangnya turut menyuarakan bantahan yang menurutnya :-

"Sungguh malang nasib bangsa Melayu, 'sudah kecil diperkecil-kecilkan, sudah terhimpit diapit-diapitkan, sudah terdesak diasak-asakan pula'. Dalam pada itu memang besar harapan kita kepada kerajaan British tidak akan membiarkan nasib kita Staraf dengan nasib seekor semut, waima kita Tanah Melayu itu mempunyai bilangan kecil…tidak salah kalau mereka tampil mempertahankan haknya walau sampai membuang nyawa sekalipun jika haknya akan dirampas atau dibahagi-bahagikan kepada orang lain".
(Suara Saberkas, 13 Januari 1945)

Telegram juga telah dihantar kepada Kerajaan British di London mendesak agar perlembagaan Malayan Union segera ditarik balik. Mereka yang berbuat demikian termasuklah Ayob Abdullah yang banyak mengupas keburukkan Sultan Badlishah turut memprotes melalui warkah-warkah yang dikirim sendiri oleh baginda kepada pegawai-pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu termasuk Kedah sebelum Perang Dunia Kedua. Kandungan warkah itu mencerminkan betapa kesalnya baginda mengenai perubahan mendadak oleh Inggeris tanpa berunding lebih dahulu dengan Raja-Raja dan rakyat. Dalam warkahnya kepada Sir Shenton Thomas (Pesuruhjaya Tinggi British di Negeri-negeri Melayu, 1933 - 1941) antara lain baginda menulis :-

"I thought the British came back to Malaya a reeden their broken pledges and not to take from us what little we had. We are sensible to the advantages with the British protection and we are prepared to coorporate with the British Government in every posible way we can but not to the length of ceeding the State to the British Government as a colony".

Saberkas dan KMK memainkan peranan penting sejak awal penubuhan UMNO. Ketika Dato' Onn Jaafar mempelopori Kongress Melayu Semenanjung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946. KMK diwakili oleh Haji Hussain Che Dol (Ketua), Ayob Abdullah, Abdul Hamid Abdullah, Senu Abdul Rahman, Dr. Omar Din, Haji Mohd. Rejab Haji Darus dan Haji Saleh Shamsudin.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah