Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Hubungan Kedah Dengan Kuasa-Kuasa Luar Sehingga Tahun 1945

oleh: Prof. Dr. Mohd. Isa Othman

Latar belakang : Hubungan Awal Kedah

Hubungan awal Kedah dengan dunia luar bermula sejak sebelum Masihi lagi. Hubungan yang bersifat perdagangan, budaya dan agama membolehkan Kedah muncul sebagai salah sebuah pusat tamadun awal di Semenanjung Malaysia. Golongan pemerintah sentiasa membuka ruang kepada pengaruh luar yang dapat memperkembangkan masyarakat setempat. Kedah sebagai negara kota perdagangan mempunyai hubungan dagang dengan kuasa-kuasa perdagangan Asia terpenting.

Rekod-rekod dan catatan-catatan awal dari India, China dan Arab jelas menunjukkan Kedah Tua mempunyai hubungan dengan negara-negara tersebut. Di dalam syair Tamil Pattinappalai (Abad ke 2-3 M) menyebut Kalagam sebagai pelabuhan yang menjalankan perniagaan ekspot. Pada abad ke 7-8 Masihi, sumber Tamil menyebut Kidaram atau Kadaram (Wheatley, 1961: 279). Sumber Sanskrit zaman Gupta pula menyebut Kataka. Di dalam rekod Dinasti Tang meyebut tempat bernama Chia-cha atau Chieh-cha yang merujuk kepada Kedah (Jane, Allen 1988 : 211-212). Sumber Arab abad ke 9-12 Masihi menyebut Kalah menjadi tempat pelarian pedagang-pedagang asing khususnya Arab dan India yang menetap di Tenggara China melarikan diri ke Kalah selepas kegagalan satu pemberontakan. Menurut sumber juga Kalah didiami oleh Islam, Hindu dan Parsi (Tiabbetts, 1957 : 22). Ini jelas menunjukkan sejak awal lagi Kedah merupakan negara berbilang bangsa dan agama hasil hubungan dengan negara luar.

Hubungan Politik Dan Penjajahan Awal

Hubungan luar Kedah bukan sahaja melibatkan perdagangan tetapi juga peperangan dan penjajahan. Kerajaan Funan mula mengembangkan pengaruhnya ke bahagian Utara Semenanjung Malaysia menjelang tahun 200 Masihi tetapi tidak diketahui sejauh manakah pengaruhnya ke atas Kedah. Selepas kemerosotan Funan, Kerajaan Srivijaya muncul sebagai kuasa penting dan kerajaan ini berjaya meluaskan kedaulatannya secara long ke atas negara-negara kota lain termasuk Kedah. Pada kurun ke-11 berlaku pertikaian antara kerajaan Srivijaya dengan Dinasti Chola di India Selatan. Maharaja Chola telah bertindak melancarkan serangan besar-besaran untuk melumpuhkan Srivijaya dan sekutu-sekutunya pada tahun 1025 M (D.G.E. Hall, 1987; 77-80). Kedah (Kadaram) turut dimusnahkan. Bagaimanapun, Kedah berjaya bangkit semula hasil kegiatan perdagangan dan kegiatan penanaman padi. Hasilnya, Kedah muncul sebagai pelabuhan penting yang menjadi pusat pemunggahan barangan pada abad ke-11. Namun, Kedah sekali lagi diserang oleh Maharaja Chola pada tahun 1068 M tetapi serangan ini gagal untuk menegakkan kekuasaan Chola di rantau ini. Sebuah lagi kuasa luar yang mahu mengembangkan pengaruhnya ke Tanah Melayu ialah Kerajaan Sukhotai. Rajanya Rama Khamheng menyerang Kedah pada tahun 1277 M, tetapi penguasaan Siam ke atas Kedah tidak begitu jelas. Pada abad ke-14, Kerajaan Siam yang berpusat di Ayudhya pula menunjukkan minat meluaskan pengaruhnya ke Semenanjung Malaysia. Menjelang abad ke-15, muncul Kesultanan Melayu Melaka yang dianggap pewaris Srivijaya. Hubungan Kedah dengan Kesultanan Melayu Melaka lebih bersifat persahabatan dan pada tahun 1474, Sultan Kedah telah menghantar utusan ke Melaka.

Selepas kejatuhan Melaka, hubungan Kedah dengan kuasa Barat bermula khususnya dengan Portugis. Sebuah kuasa tempatan yang baru muncul di utara Sumatera Kesultanan Acheh, muncul sebagai kuasa Selat Melaka yang baru dan menjadi pusat perdagangan pedagang-pedagang Islam. Kesultanan Acheh yang muncul sebagai kuasa politik dan tentera telah mencabar penjajahan Portugis dan Kesultanan Johor. Kedah juga tidak terlepas daripada pengaruh Acheh sama ada dari sudut agama atau politik. Di dalam usaha Acheh mengepung Portugis Melaka, Kedah turut dijadikan pengkalan serangan. Pada tahun 1547, angkatan laut Acheh mendarat di Kuala Perlis sambil menunggu peluang untuk menyerang kapal perdagangan Portugis dari Benggal. Bagaimanapun, pasukan Acheh dikalahkan oleh tentera Portugis yang dihantar oleh Gabenor Melaka di bawah pimpinan Admiral Don Francisco Decand.

Kesultanan Acheh juga mempunyai dasar luar yang sama dengan kerajaan-kerajaan tradisional Asia Tenggara yang lain apabila kerajaan menjadi kuat, dasar perluasan wilayah dan pernaungan diamalkan. Dalam hal ini, Kesultanan Kedah juga tidak terlepas. Pada abad ke-17, Kedah merupakan pertahanan Acheh di Selat Melaka. Maka Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1600-1636) telah menyerang Kedah. Sultan Sulaiman (1602-1626) dan tawanan Kedah yang lain dibawa ke Acheh pada April 1626. Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, dasar perluasan Wilayah Acheh terutama ke Tanah Melayu terhenti dan Kedah turut terlepas daripada ancaman serangan.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!