Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Hubungan Kedah Dengan Kuasa-Kuasa Luar Sehingga Tahun 1945

oleh: Prof. Dr. Mohd. Isa Othman

 
 

Hubungan Kedah dengan Pulau Pinang tetap berterusan terutama dalam bidang ekonomi. Bagi menjaga kepentingan British di Kedah, dilantik Konsul British yang beribu pejabat di Alor Star. Nampaknya, pihak British melihat Kedah dan jiran-jirannya begitu penting dari segi strategi dan menganggapnya sebagai negeri pemampan. Apabila kerajaan Siam hendak melantik Penasihat Kewangan di Kedah, pihak British mendesak Bangkok melantik seorang yang berbangsa Inggeris. Dalam pada itu, kerajaan Siam menyedari minat British terhadap negeri-negeri Melayu Utara. Pada tahun 1907, pihak Siam mencadangkan kepada W.D. Bekett (Pegawai Pejabat Menteri British) di Bangkok tentang hasrat Siam untuk berunding bagi menghapuskan perjanjian tidak seimbang tahun 1855 (Bowring) dan Perjanjian Rahsia, 1897. Jika British bersetuju, Siam tidak keberatan menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada British (Thamsook Numnoonda, 1967 : 12). Hasil rundingan kedua pihak Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada 10 Mac 1909. Di dalam artikel pertama perjanjian ini menyebut persetujuan Siam menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak miliknya ke atas negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Hubungan Kedah-Inggeris 1909-1942

Hubungan Kedah dengan British selepas ini bersifat langsung di antara penjajah dengan negeri jajahan. Bagaimanapun corak pemerintahan British di Kedah bersifat pemerintahan tidak langsung di mana penglibatan British di tahap minima seperti yang akan dibincangkan berikut.

Meskipun Kedah menerima penjajahan British selepas Perjanjian Bangkok 1909, tetapi perjanjian rasmi British-Kedah hanya ditandatangani pada 1 November 1923. Perjanjian ini meletakkan Kedah secara rasmi dalam lingkungan penjajahan British tetapi masih dengan kuasa autonomi. Perjanjian ini memberi jaminan takhta kepada keturunan Sultan Abdul Hamid setelah dipersetujui Majlis Negeri. Peranan Majlis Negeri terus dikekalkan sebagai badan tertinggi perundangan dari eksekutif negeri. Manakala, kuasa Penasihat British diperluaskan lagi tetapi tetap tidak boleh menyentuh hal-ehwal agama dan adat istiadat Melayu Kedah. Satu fasal penting perjanjian ini menjamin Kedah tidak boleh dicantumkan dengan mana-mana negeri tanpa keizinan bertulis daripada DYMM Sultan Kedah di dalam Majlis Negeri. Fasal ini menjadi senjata yang penting kepada golongan elit Kedah apabila berkonflik dengan British terutamanya dalam soal mengekalkan identiti. Perkara ini muncul misalnya semasa Kedah menentang dasar disentralisasi pada dekad 1920-an dan 1930-an. Kemudian digunakan sekali lagi semasa gerakan anti Malayan Union.

Sebenarnya, sebelum perjanjian Persahabatan 1923 ditandatangani, pihak British telah memberi Surat Akuan kepada Pemangku Raja Tunku Ibrahim. Perkara-perkara yang terkandung di dalam surat tersebut ialah :

  1. Bahawa Pemangku Raja akan diberitahu terdahulu dari orang lain, calon Penasihat British Kedah sebelum perlantikan rasmi dibuat.
  2. Bahawa pegawai-pegawai Eropah yang akan dilantik atau dipinjamkan hanya setelah mendapat persetujuan Majlis Negeri dan pegawai-pegawai tersebut akan dianggap sebagai pegawai-pegawai Kedah.
  3. Bahawa Pemangku Raja berhak memberhentikan mana-mana pegawai Eropah yang dirasai tidak memuaskan.
  4. Bahawa pentadbiran Negeri Kedah akan seboleh-bolehnya dikendalikan oleh pegawai-pegawai Melayu, keutamaan diberi kepada orang-orang Melayu yang menetap di Kedah. Majlis Negeri akan memilih tiap-tiap tahun orang-orang Melayu untuk dihantar melanjutkan pelajaran tinggi ke Eropah atau ke negeri Arab dengan tujuan mereka akan memegang jawatan-jawatan kerajaan.
  5. Bahawa orang-orang Melayu dan Eropah dalam perkhidmatan Negeri Kedah akan dilayan dengan saksama.
  6. Bahawa Setiausaha kepada kerajaan sekarang dan Ketua Hakim Melayu akan terus menjadi ahli Majlis Negeri (Sharom Ahmat, 1991 : 65).

Pegawai British yang bertanggungjawab sebagai wakil British di Kedah ialah Penasihat British. Penasihat British yang pertama W.G. Maxwell pada peringkat awalnya menghadapi kesulitan dalam melaksanakan dasar imperialisme British akibat tekanan golongan elit Melayu di Kedah. Pada peringkat permulaan, pembesar Melayu dipimpin oleh Tunku Mahmud ibni Sultan Ahmad Tajuddin dan kemudiannya Tunku Ibrahim ibni Sultan Abdul Hamid. Bagaimanapun, W.G. Maxwell dapat belajar pendekatan diplomasi dalam menangani golongan elit Melayu Kedah dan terus kekal sebagai Penasihat British sehingga tahun 1914. Selain Penasihat British, pegawai-pegawai British yang bertugas di Kedah termasuklah Penolong Penasihat British, Penasihat Tanah, Penasihat Undang-undang, Pelindung Orang Cina dan Pelindung Buruh. Di samping itu terdapat dua belas orang pegawai Eropah tetapi mereka bukanlah pegawai rasmi British. Menjelang tahun 1936, jumlah pegawai Eropah di Kedah meningkat selaras dengan kepentingan Kedah menampung tenaga profesional. Bagi menggalakkan pegawai Eropah memahami adat resam tempatan yang akan membantu tugasnya, elaun diberikan kepada mereka yang dapat menguasai bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Hubungan Kedah dengan British tidak menghadapi banyak kesulitan kerana kedua-dua pihak menghormati kepentingan masing-masing. Pentadbiran Kedah sudah lama mengenali birokrasi Barat sebelum tahun 1909 lagi melalui proses permodenan bermodelkan Pulau Pinang dan Siam. Kedah juga turut melatih pentadbir-pentadbir baru melalui sistem pendidikan barat. Pelajar-pelajar Kedah bukan sahaja dilatih di institusi-institusi pendidikan Inggeris di Malaya bahkan ada yang dikirimkan ke England (Ahmad Nordin, 1981 : 4). Nampaknya, pembirokrasian pentadbiran Kedah mengikut pola barat dan pendidikan Inggeris melicin serta memudahkan hubungan Kedah-British.

Hubungan Kedah Dengan Jepun dan Siam, 1941-1945

Hubungan Kedah-Jepun tidaklah begitu jelas sebelum tercetusnya Perang Dunia Ke-2. Serangan Melayu ke atas Tanah Melayu bermula di pantai timur pada tengah malam 7 Disember 1941, dengan pendaratan ketumbukan ke-18 tentera Jepun di Kota Bharu. Manakala, serangan ke atas Kedah bermula pada awal pagi 10 Disember 1941. Pasukan tentera di bawah Lt. Kolonel Saeki ditugaskan menyeberang sempadan di Bukit Kayu Hitam. Pasukan ini berjaya mara hingga ke Asun dan mengalahkan pasukan Gurkha Punjab. Pada 13 Disember 1941, kubu pertahanan British di Jitra berjaya ditawan dan askar-askar British berundur ke selatan Sungai Kedah. Pada hari berikutnya, pasukan Jepun mara ke Alor Star dan tentera British terpaksa berundur ke Gurun. Di Gurun pun, pasukan tentera British diasak hebat dan pada 16 Disember 1941 sekali lagi mereka berundur ke selatan Sungai Muda (Mohamad Isa, 1992 : 1-19). Episod ini menunjukkan dalam masa enam hari, Kedah berjaya ditawan oleh tentera Jepun. Manakala seluruh Tanah Melayu dan Singapura berjaya ditawan dalam jangka masa tujuh puluh hari.

Sebelum Alor Star ditawan tentera Jepun, pihak British mengatur rancangan membawa Sultan Abdul Hamid ke Pulau Pinang. Bagaimanapun, rancangan ini gagal kerana Tunku Abdul Rahman Putra telah menculik ayahandanya di pertengahan jalan dan dibawa ke Kulim. Alasan Tunku Abdul Rahman bertindak demikian kerana Pulau Pinang dianggapnya tidak selamat dan lagipun sebagai Sultan, ayahandanya perlu bersama rakyat walaupun pada saat genting. Setelah seluruh Negeri Kedah ditawan, tentera Jepun membawa pulang Sultan Abdul Hamid ke Alor Star. Sebelum itu pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid menandatangani perjanjian menerima pertuanan Jepun. Dari segi pentadbiran di Kedah, pihak Jepun sejak awal lagi terpaksa bekerjasama dengan golongan elit Melayu. Langkah bekerjasama ini dimulakan oleh Tunku Mohamad Jiwa ibni Sultan Abdul Hamid (Pesuruhjaya Monopoli dan Kastam) dan Encik Ismail Harun (Setiausaha Rendah 2).

Di peringkat negeri, Jepun menubuhkan kerajaan daerah atau negeri (Seicho) yang diketuai seorang Gabenor atau Chokan Kakka atau Shiji. Gabenor Kedah yang pertama ialah Oyama Kikan dan kemudian digantikan oleh Mejar Jeneral Seiji Sukegawa. Tugas Gabenor sebagai Ketua Eksekutif Kedah Shusei - Chao Soshiki. Bentuk Majlis Negeri zaman British diteruskan buat sementara sebelum digantikan oleh Majlis Penasihat Negeri (Shingi-shitsu). Tokoh-tokoh yang menganggotai majlis ini - Gabenor; Nakagawa; Wakuta; Sultan Badlishah; Raja Syed Alwi; Mohd. Sheriff Awang Osman; Tunku Yaacob dan Cik Kassim.

Adalah jelas sama ada berasaskan sumber bertulis atau lisan, hubungan Kedah dengan Jepun amat berbeza jika dibandingkan hubungan Kedah dengan British. Dasar British lebih lembut berbanding Jepun yang lebih menekankan pola pemikiran Jepun. Hal ini bukan sahaja wujud di peringkat pentadbiran negeri malah peringkat daerah dan mukim. Tugas Pegawai Daerah (Guncho) sering menghadapi kesulitan kerana tentera Jepun selalu campur tangan. Demikian juga dengan penghulu yang terpaksa memikul berbagai tanggungjawab dan perintah Jepun. Pada masa yang sama juga, penghulu terpaksa melindungi kepentingan anak buah daripada dizalimi, terutama tindakan Kempetai. Dalam mengawal keamanan, Kempetai lebih berkuasa daripada kerajaan tempatan atau polis.

Pengalaman Kedah di bawah pemerintahan Jepun begitu perit. Keadaan ekonomi tempatan zaman Jepun semakin buruk akibat peperangan yang berlanjutan. Rancangan yang diatur oleh Jepun untuk pemulihan ekonomi telah gagal. Bekalan barang-barang telah berkurangan dan harganya meningkat. Perdagangan dalam negeri dan antarabangsa turut terancam. Ternyata propaganda Jepun "Kemakmuran Bersama Asia" gagal terutama kerana eksploitasi ekonomi. Di Kedah misalnya, pembelian padi dan beras dimonopoli oleh Syarikat Daimaru dan Mitsubishi Shoji Kaisha. Agen-agen tempatan sendiri turut menekan rakyat seperti digambarkan oleh Baharum Ahmad, seorang pegawai KCS yang menulis sebuah buku syair bertajuk "Syair Kenang-Kenangan", antara lain beliau menulis :

Ketua Kampung pipit ibarat
Kuasa mendaat tiada memberat
Dipaksa rakyat tiada bertarat
Hukuman diletak seberat-berat.
(Baharum Ahmad, 1952 : 22)

Pada zaman Jepun juga, satu peristiwa penting berlaku iaitu kemangkatan Sultan Abdul Hamid pada 13 Mei 1943. Berikutnya Tunku Badlishah ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 14 Mei 1943. Selepas satu setengah bulan perlantikan Sultan Badlishah, Kedah diserahkan kepada pentadbiran Siam. Penyerahan rasmi berlangsung pada 18 Oktober 1943 di Alor Star. Pentadbiran negeri-negeri Melayu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) terletak di bawah pengawasan ibu pejabat Perdana Menteri Thai dan dikendalikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Tentera (Khaluang Thahan Besar) dan bagi setiap negeri dilantik pula Pesuruhjaya Tentera. Pesuruhjaya Tentera di Kedah yang dilantik ialah Mejar Promat Chong Choroen dan pembantunya Chart Banyart Pan.

Hubungan elit Kedah dengan Siam tidak begitu bermasalah kerana hubungan di antara mereka wujud sejak lama, dan masih berterusan walaupun setelah Kedah diserahkan kepada British pada tahun 1909. Sultan Kedah sendiri misalnya pernah menuntut di Bangkok dan kemudiannya mendapat biasiswa kerajaan Thai untuk melanjutkan pelajaran ke England. Selepas menamatkan pengajian, baginda kembali bertugas dengan Kerajaan Thai sebelum dipanggil balik bekerja di Kedah pada tahun 1926. Tunku Abdul Rahman Putra juga pernah menuntut di Bangkok semasa tinggal bersama kekandanya Tunku Yusuf yang berkhidmat dengan angkatan tentera Thai.

Dari segi pentadbiran, kerajaan Thai memberi kepercayaan sepenuhnya kepada elit Kedah mengendalikannya. Sultan kembali berkuasa dan dilantik sebagai Ketua Negeri. Pentadbiran negeri diserahkan kembali kepada Majlis Negeri yang dikenali sebagai Montri Spa Saiburi.
Ahli-ahlinya terdiri daripada :

  1. Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Presiden)
  2. Tunku Yaacob ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Naib Presiden)
  3. Haji Mohammed Sheriff Osman (Setiausaha)
  4. Encik Kassim Ismail (Ahli)
  5. Encil Ismail Merican Vappoo Merican Nordin (Ahli)
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah