Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Pondok Di Kedah

oleh: Tuan Haji Ismail Salleh

Madrasah Ar-Rahmaniah yang diasaskan oleh Haji Ismail bin Che Abu di Kampung Bujang, Bedong, Kedah.

Maksud pondok di sini ialah pusat pengajian agama melalui satu sistem pendidikan di kalangan orang-orang Melayu yang pernah wujud setelah mereka menerima agama Islam. Di Kedah, Islam menjadi agama rasmi dalam tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi. Syeikh Abdullah al Yamani mengajarkan dua kalimah syahadat kepada Raja Kedah, Phra Ong Maha Wangsa atau Raja Derbar Raja dan menukarkan nama baginda menjadi Sultan Muzaffar Syah.

Agama Islam diperkembangkan oleh guru-guru agama Islam yang dikenali sebagai makhdum, maulana, syeikh atau lebai di segenap pelosok negeri. Orang Kedah masih menggambarkan zaman awal perkembangan agama ini sebagai zaman "dum makdum" maksudnya zaman yang ramai dengan makhdum - iaitu pendakwah dari Iran. Zaman dum 'makdum' maksudnya zaman yang amat lama berlalu.

Di zaman awal Islam, penganut-penganutnya diajar membaca al-Quran di rumah sendiri, di rumah guru, di surau atau di masjid, di Langgar atau di 'madrasah'. Selain dari membaca dan menghafaz ayat-ayat al - Quran, penganut Islam didedahkan juga dengan pengajaran-pengajaran atau hukum-hukum asas yang fardhu dan asas-asas ilmu tauhid, tafsir dan hadith.

Peluang untuk mendalami ilmu agama bagi yang berminat dan berkebolehan tidak disekat atau dihalang - maka terdapatlah orang-orang Melayu yang mendalami ilmu tarikat dan tasawuf. Orang-orang yang menjadi ahli tasawuf amat dihormati oleh masyarakat. Syeikh-syeikh atau maulana tarikat ini mengajar bagaimana beratib, berzikir dan bersuluk.

Seseorang penganut Islam tidak merasai lengkap Islamnya jika tidak menunaikan fardhu haji. Jadi, seseorang Islam berasa perlu mengetahui dan menyedari wujudnya umat Islam di muka bumi ini selain dari orang-orang Islam di tempatnya sahaja.

Orang-orang Melayu yang berangkat ke Makkah ramai pula yang tinggal "menahun" bertahun-tahun di sana kerana menuntut ilmu agama dan meningkatkan diri menjadi ulama supaya boleh menjadi guru apabila pulang ke tanah air kelak. Ada pula yang melanjutkan agama ke Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Biasanya orang-orang Melayu dahulu akan membentuk diri mereka menjadi 'lebai' sebelum menjadi haji atau ulama.

Asalnya perkataan 'lebai' ini ialah nama suatu kaum di India Selatan. Kaum "Labbai" ini beragama Islam dan bertalian darah dengan orang Arab. Orangnya kuat beribadat dan pandai berniaga. Sebilangan kecil dari mereka telah datang ke Kepulauan Melayu dan bercampur -baur dengan orang-orang tempatan. "Labbai" itu dilekatkan pada nama mereka umpamanya Ahmad Labbai bin Sultan Labbai. Sesiapa sahaja yang alim dengan ilmu agama tetapi belum menunaikan fardhu haji di Makkah, semuanya digelarkan 'lebai' oleh orang-orang Melayu. Orang-orang yang menerima pendidikan di pondok-pondok semuanya digelar "Lebai".









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!