Anda di sini:
 
SebelumSelepas

sambungan
Pondok Di Kedah

oleh: Tuan Haji Ismail Salleh

 
 

Untuk menjadi "lebai" seseorang hendaklah belajar ilmu agama bersungguh-sungguh dari guru yang alim. Memangnya tidak ada catatan di manakah mulanya tempat belajar agama di Kedah ini sungguhpun terdengar ramai nama-nama ulama disebut orang.

Pada tahun 1821 Negeri Kedah telah diserang oleh Thai dan Thai menjajah negeri ini sehingga 1842. Apabila Kedah dibebaskan semula dari belenggu Thai pada 1842, sebahagian dari Wilayahnya telah direpis untuk membentuk beberapa buah negeri kecil dan di antaranya ialah negeri Kubang Pasu.

Raja Thai menabalkan Tunku Anum menjadi Raja di Kubang Pasu sejak 1839 dan Tunku Anum berusaha memperolehi seorang mufti membantunya memerintah Kubang Pasu tersebut. Tunku Anum dapati sebuah pusat pengajian agama secara pondok masih bernafas di sebuah kampung di Kubang Pasu juga iaitu di Kampung Malau dan meminta tuan gurunya yang bernama Haji Wan Ishak bin Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi menjadi mufti Kubang Pasu Darul Qiam.

Sebahagian pondok yang diasaskan oleh Hj. Sulong bin Hj. CHik di Jeniang yang masih kukuh.

Setakat yang diketahui dengan pasti pondok atau pusat pengajian Tuan Guru Haji Wan Ishak di Kampung Malau ialah pusat pengajian Islam sistem pondok yang paling tua di negeri Kedah. Pondok itu dibukanya dalam tahun 1806. Pondoknya terpaksa dihentikan apabila beliau dilantik menjadi mufti di Kubang Pasu. Bagaimanapun sebagai mufti beliau membuka pula pondok di ibu negeri Kubang Pasu iaitu di Pulau Pisang pada tahun 1845. Pondok di Pulau Pisang masih segar bugar sekarang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terulung.

Haji Wan Ishak lahir pada tahun 1771 di Malau, berhampiran pekan Jitra. Bapanya Wan Muhammad Hashim bin Haji Abdul Baqi merantau ke Kedah dari kampungnya di Cherang, Patani.

Wan Muhammad Hashim membawa diri ke Kedah bersama orang-orang lain dari Patani kerana Thai sentiasa menindas orang-orang Islam yang tinggal di sana. Wan Muhammad Hashim berkahwin dengan seorang wanita di Kampung Malau, Cik Maryam, dan tinggal menetap di Kedah. Haji Wan Ishak belajar agama di kampungnya kemudian berangkat ke Makkah melanjutkan pelajarannya di sana selama 20 tahun. Beliau balik ke Kedah pada tahun 1806, berumur 35 tahun dan membuka pondok di Kampung Malau tersebut.

Kampung Malau agak terpencil ke timur dan terselamat dari serangan Thai yang menyerang ibu negeri Kedah di Kota Kuala Kedah pada bulan November 1821. Bagaimanapun Malau dan tempat-tempat lain di sebelah timur ini jauh dari laut dan hampir dengan sempadan negeri Patani. Selepas 1815 penduduk-penduduk negeri Patani bertambah ramai membuat penghijrahan ke Kedah kerana Thai dari Bangkok membuat serangan secara besar-besaran ke atas kerajaan Islam Patani pada tahun itu.

Haji Wan Ishak menulis banyak kitab-kitab agama tetapi sayang karyanya tidak lagi ditemui sekarang ini. Pondoknya telah dua kali menerima kebakaran besar. Pada zaman ini, bukan sahaja kitab-kitab agama disalin oleh tiap-tiap orang yang belajar di pondok tetapi al-Quran al-Karim pun terpaksa disalin huruf demi huruf dengan tangan.

Tunku Anum mangkat pada 1853 dan Haji Wan Ishak masih menjadi mufti dan tuan guru DiRaja di bawah pemerintahan Tunku Ishak cucunda Tunku Anum sebagai Raja Kubang Pasu yang kedua. Tunku Ishak mangkat pada 1863 tanpa waris. Kubang Pasu dicantumkan semula dengan negeri Kedah.

Haji Wan Ishak meninggal pada tahun 1871 dan disemadikan di perkuburan Pulau Pisang. Bibit-bibit persekolahan pondok dari Patani disemai di negeri ini.

Di antara anak muridnya yang terkenal sebagai ulama besar ialah cucundanya sendiri Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hashim iaitu anak kepada anakandanya Hajjah Fatimah. Haji Muhammad Saleh ini menyambung usaha Haji Ishak menghidupkan pondok Pulau Pisang sebagai sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal. Seorang lagi bekas murid Haji Wan Ishak ialah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Bakar yang membuka Pondok Tasak, di Langgar, Kedah dan dianggap sebagai seorang keramat. Anak Haji Wan Ishak bernama Haji Musa juga dianggap keramat oleh penduduk-penduduk tempatan Pulau Pisang.

Di antara pondok-pondok yang wujud dalam pertengahan KM 19 di Kedah ialah pondok-pondok yang didirikan oleh Tuan-tuan Guru seperti :-

  1. Tuan Haji Wan Ishak bin Haji Wan Hashim, Pulau Pisang
  2. Tuan Haji Muhammad Tamim, Anak Bukit
  3. Tuan Haji Muhammad Diah bin Muhammad, Tualang
  4. Tuan Haji Abdul Rashid, Pulau Bidan, meninggal 1821
  5. Tuan Haji Abu Bakar bin Syeikh Abdul Kadir Kadi, Alor Star.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) didapati banyak lagi pondok-pondok yang dibuka oleh ulama-ulama di Kedah. Di antara Guru-guru Pondok yang terbesar ialah :-

  1. Tuan Muhammad Taib al-Mas'ud al-Banjari, Titi Gajah, Mufti 1870
  2. Tuan Haji Muhammad Noor bin Haji Abu Abu Bakar, Pondok Tasak, Langgar
  3. Tuan Haji Saleh Penaga, Limbung Kapal, Alor Star
  4. Tuan Syeikh Moneh, Padang Pusing, Pendang
  5. Tuan Haji Muhammad Aji, Pumpong Alor Star
  6. Tuan Syeikh Wak Sa, Kota Kuala Muda
  7. Tuan Haji Muhammada Rejab, Kanchut, Alor Star
  8. Tuan Haji Muhammad Salleh bin Ishak, Kelonghoi, Kuala Kedah,1888
  9. Tuan Haji Ahmad Tampung bin Haji Osman, Merbuk, Kedah, 1893
  10. Tuan Haji Saleh, Pedu
  11. Tuan Haji Saleh bin Muhammad Hashim, Pulau Pisang
  12. Tuan Haji Muhammad Alim, Sungai Nonang, Yan
  13. Tuan Haji Muhammad bin Umar,Tok Haji Muhammad Tua, Alor Star,Langgar
  14. Tuan Haji Shaari bin Haji Taha, Pondok Tasak , Langgar
  15. Tuan Haji Ismail bin Haji Mustaffa Cik Dol, Gajah Mati, Pendang
  16. Tok Faqih, Sungai Limau
  17. Tuan Haji Ahmad Lalang bin Haji Ali, Yan
  18. Tuan Haji Saleh bin Abdul Samad, Pondok Tasak, Langgar
  19. Tuan Haji Abdul Rahman, Pondok Tasak, Langgar

Kadi yang bertugas di Kedah pada masa ini ialah Tuan Haji Muhammad Zain bin Haji Mas'ud, Kadi 1870 ketika kandanya Haji Muhammad Taib menjadi Mufti, Kadi negeri yang tunggal ini dibantu oleh Tuan Haji Muhammad Jaafar bin Haji Muhammad Saad Imam Besar Masjid Raja di Alor Star, Tuan Syed Ali dan Tuan Haji Muhammad Yusuf. Seorang ulama lagi yang berdamping dengan Sultan ialah Tuan Syed Abdullah al-Maghribi al-Jafri. Tuan Haji Muhammad Daim menjadi kadi pada 1900. Kadi ditugaskan mengajar agama terutamanya di masjid-masjid tetapi tiada membuka pondok. Pada masa ini Tuan Haji Idris Keramat giat berdakwah di Tualang, tetapi beliau juga tidak membuka pondok.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah