 |
|
Sekolah pondok Madrasah
Sa'adatud-Darain yang diasaskan oleh Haji Ahmad Tampong.
|
Kadang-kadang ulama pondok menjadi pakar runding atau pakar rujuk
kepada sultan dan pembesar-pembesar yang memerintah. Begitulah yang
terjadi kepada Tuan Guru Haji Wan Ishak di Pulau Pisang yang menjadi
pakar runding dan pakar rujuk malahan menjadi Pemangku Raja kepada
Tunku Anum bin Tunku Abdul Rahman di Kubang Pasu. Tuan Guru Haji
Muhammad Taib (Tok Titi Gajah), Haji Saleh Penaga dan Tuan Haji
Tajuddin Mukarram Syah (1854-1879).
Perkataan 'pondok' asalnya dari perkataan Arab "funduk"
yang bererti rumah tumpangan atau rumah perhentian sementara. Ini
menggambarkan sistem persekolahan yang mana pelajar-pelajarnya mendirikan
rumah-rumah kecil sebagai tempat tinggal sementara sambil belajar.
Biasanya rumah-rumah kecil ini didirikan oleh ibu bapa atau waris
setiap pelajar berhimpit-himpit mengelilingi rumah tuan guru di
sesuatu pondok itu. Di Jawa pusat pengajian begini dipanggil "Pesantren'
dan di Sumatera sebagai "Rengkum".
"Funduk" yang bererti tempat tinggal sementara itu sekarang
difahamkan juga di Timur Tengah sebagai "hotel". Sistem
pondok seperti yang terdapat di Nusantara tidak wujud di Timur Tengah.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramainya alim ulama yang
menjadi tuan-tuan guru di persekolahan pondok di Negeri Kedah. Salah
satunya ialah kerana menjadi penghijrahan orang-orang Melayu Patani
di Thailand Selatan yang telah lama mengamalkan persekolahan agama
secara pondok di sana. Ulama-ulama yang ditindas atau disekat kebebasan
berdakwah di sana oleh pemerintah Thai merasai perlu berhijrah ke
Kedah, Kelantan, Terengganu dan ke Pulau Pinang, malahan ada sesetengahnya
yang berhijrah ke Makkah di Arab Saudi atau ke Timur Tengah. Ulama-ulama
Patani membawa pengaruh baru ke Kedah khususnya ke atas rupa dan
corak pendidikan agama di Negeri Kedah.
Penghijrahan orang-orang Patani ke Kedah berlaku sepanjang masa
sejak tumbangnya Kerajaan Ayutthaya pada 1778 lagi. Tetapi penghijrahan
yang besar hanya berlaku di antara 1815 dengan 1833 iaitu ketika
Kerajaan Thai di Bangkok menyerang kesultanan Patani habis-habisan.
Pengaruh dari Aceh tidak ada di Kedah selain dari beberapa buah
kitab agama yang dikarang oleh beberapa ulama Aceh dan dibuat bahan
kajian di pondok-pondok di sini. Ulama-ulama Aceh yang membuka persekolahan
pondok di Yan itu semuanya untuk orang-orang Aceh yang tinggal di
Yan itu sahaja dan bukan untuk orang-orang Kedah yang tidak memahami
Bahasa Aceh.
Di antara ulama Aceh yang terkenal datang membuka pusat pengajian
di Yan, Kedah pada 1900 ialah Tengku Mohamad Arshad yang dikenali
sebagai Tengku di balai kemudiannya disusuli oleh Tunku Haji Musa,
Tengku Lam Surau dan Tuan Syeikh Umar. Tengku Lam Uu pada tahun
1910. Kemudian tiba pula Tengku Haji Muhamad Dahan al-Hafiz pada
1920. Ulama Aceh ini berbakti hanya kepada orang-orang Aceh yang
tinggal di Yan sahaja dan tidak kepada seluruh penduduk Kedah.
 |
|
Bekas sekolah pondok yan dibuka oleh Haji
Omar dan dikenali dengan nama Madrasah Bukit Haji Omar.
|
Pengaruh Patani yang dikatakan bertanggungjawab membawa budaya
pondok ke Kedah ini dapat dirasai juga di Kelantan, Terengganu dan
di Pulau Pinang serta Perlis dan juga di Makka-tul-Mukarramah. Kemajuan
pendidikan agama yang di capai oleh Patani Darus-Salam dan perkembangan
pemikiran ulama-ulamanya telah mempengaruhi semua ulama-ulama di
Kedah dan membanyakkan ulama-ulama kitab,cerdik pandai agama dan
pemuka gerakan Islam yang berjasa.
Selain dari melakukan penghijrahan ke Kedah dan membuka pusat-pusat
pengajian di sini, ramai pula orang-orang Kedah yang merantau ke
Patani menyambung pelajaran agama mereka di pondok-pondok di Patani.
Kerana pengaruh Patani turut dirasai di Kelantan dan di Terengganu
serta di Makkah, maka apabila orang-orang dari Kedah menyambung
pelajaran agama mereka ke Kelantan atau ke Terengganu atau ke Makkah,
masing-masingnya tidak terlepas dari pengaruh ulama-ulama Patani.
Walau bagaimanapun pusat pengajian yang paling dihormati ialah
di Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah iaitu tempat ulama seluruh
dunia Islam berkumpul bersama ahli ilmu sufi, ahli falsafah, ahli
bahasa Arab dan sejarawan Islam menukar maklumat dan pendapat.
Ulama-ulama Patani memanjangkan pengaruh mereka ke Kedah dan juga
ke merata-rata tempat di Nusantara melalui kitab-kitab agama yang
mereka karang atau terjemahkan ke bahasa Melayu dari kitab-kitab
ulama Arab. Kitab-kitab mereka amat popular di pondok-pondok.
Di antara kitab-kitab ulama Patani itu ialah seperti karya Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fatani dan Tuan Guru Wan Ahmad bin Wan Muhammad
Zaid bin Mustaffa al Fatani serta lain-lain. Nama-nama kitab yang
menjadi buah mulut ialah seperti" Kifayat al-Muhtaj, Bulugh
al Maram, Al Durr al-Thamin, Kasyf al Ghummah, Minhaj al 'Abidin,
munyat al Musalli, Furu'al Masail Bughyat al Tullab dan lain-lain
karya Syeikh Daud al Fatani di samping Bisyarat al-Amilin, Hadiqatul
Azhar, Kitab Wirid dan Doa serta lain-lain lagi karya Tuan Guru
Wan Ahmad Muhammad Zain al Fatani dan juga karya-karya ulama Patani
lain.
Faktor kedua yang menyebabkan banyaknya persekolahan dibuka di
sini mungkin kerana Kedah ialah salah sebuah negeri yang mempunyai
kawasan sawah padi yang luas.
Sungguhpun Kedah menghasilkan padi sejak zaman Empayar Melaka lagi
tetapi penumpuan kepada kerja-kerja bersawah dan menentukan padi
menjadi hasil negeri yang utama ialah di dalam zaman Sultan Muhammad
Jiwa Zainal Adilin yang memilih bandar Alor Star menjadi ibu negeri
dalam tahun 1736. Sejak itu, Alor Star muncul di tengah-tengah
sawah yang jauh lebih luas dari zaman-zaman sebelumnya.
Pelajar-palajar yang menumpang di pondok-pondok mengelilingi pusat-pusat
pengajian agama diberi peluang membantu petani-petani di sawah ketika
tenaga mereka diperlukan sambil mengumpul pendapatan membantu persekolahan
mereka di pondok-pondok mereka. Kebanyakan pondok-pondok mengambil
cuti panjang di musim-musim menuai sebagai memberi peluang kepada
pelajar-pelajar untuk bekerja di sawah-sawah. Selain dari menerima
upah dan ganjaran, mereka pula diberikan zakat dan sedekah oleh
tuan-tuan punya sawah.
Mukim Langgar dekat Alor Star yang menjadi pusat persawahan yang
amat luas menjamin pertumbuhan sembilan buah persekolahan pondok
di sekitarnya. Persekolahan Pondok yang paling awal di Mukim Langgar
ialah Pondok Tasak di bawah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu
Bakar (Tuan Mad Nor Keramat), dan disambung pula oleh Tuan Guru
Haji Shaari bin Haji Taha. Keduanya ialah Pondok Tuan Haji Ahmad
Tua di Alor Setol dan disambung hayatnya oleh Tuan Guru Haji Nawawi
bin Haji Saleh. Ketiganya ialah Pondok Tuan Guru Haji Abu di Alor
Keladi.
Kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Ahmad bin Haji Yassin (Tok
Janggut) di Langgar Satu, Pondok Tuan Haji Husin bin Haji Saleh
berhampirannya, Pondok Tuan Syeikh Abdullah Masri di Tanjung Inggeris
dan Pondok Tuan Haji Abdullah bin Haji Yusof (Haji Abdullah Kechik)
berhampirannya, kemudian terdapat pula Pondok Tuan Haji Dahlan di
Jalan Makam dan Pondok Tuan Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin
di persimpangan Jalan Makam itu. Seperti biasa, setengah dari pondok-pondok
ini menjadi tempat perlindungan orang tua-tua yang belajar di pondok-pondok
ini sehingga mereka meninggal dunia di situ.
|