|
Tidak banyak cerita tentang rakyat ditulis apatah lagi tentang
sejarah seorang wanita. Oleh itu jika muncul seorang tokoh daripada
golongan rakyat, maka ceritanya hanya diturunkan melalui tradisi
lisan. Ini menjadikan banyak versi dan ada tokok tambah. Demikian
juga halnya dengan cerita Mahsuri yang mempunyai tidak kurang daripada
14 versi. Bagaimanapun asas cerita, tema dan tokoh-tokoh yang terlibat
tidak banyak berbeda.
Mahsuri menjadi lagenda kerana nasib yang menimpa Langkawi selepas
peristiwa pembunuhan ke atasnya. Langkawi menjadi pulau yang tidak
aman dan tidak makmur selama tujuh keturunan. Inilah kesan penganiayaan
, cemburu dan kemarahan yang tidak terbatas. Inilah juga kesan menghukum
puteri simbol kesucian. Nampaknya sejarah lisan mempunyai mekanisme
tersendiri untuk merasionalkan sesuatu peristiwa atau kejadian sejarah.
Tidak dapat dipastikan bilakah peristiwa Mahsuri berlaku kerana
tidak ada rekod-rekod bertulis ditemui hingga setakat ini. Kisahnya
hanya bergantung kepada sumber lisan. Ada sumber yang menyebut peristiwa
ini berlaku pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1798).
Satu lagi sumber menyatakan ianya berlaku semasaa pemerintahan Sultan
Tajuddin Halim Shah II ( 1804-45 ). Jadi peristiwa ini berlaku sekitar
dua abad yang lalu.
Kisah Mahsuri
Di Kampung Mawat, Mukim Ulu Melaka tinggal sekeluarga tiga beranak.
Si bapa bernama Pandak Mayah, isterinya Mak Andak Along dan seorang
anak perempuan bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini menjalankan
kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki iaitu berhuma, bercucuk
tanam, penternakan sara diri dan mencari barang-barang hutan. Nasib
keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya
yang hilang. Semasa hujan lebat, dia singgah berlindung di bangsal
yang ditinggalkan orang. Di situ Pandak Maya berjumpa kerak nasi
yang dikatakan Maya Padi (semangat Padi). Dalam masyarakat Melayu
petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu
dihormati.Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik
kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi
yang ditanak. Memakan nasi bercampur Maya Padi ini menjadi titik
peralihan yang mengubah nasib keluarga Pandak Maya. Rezekinya mula
bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi.
Rezeki Pandak Maya mula melimpah selepas menjumpai burung layang-layang
di gua, di Belanga Pecah. Dia telah menjual sarang-sarang burung
tersebut kepada taukeh Cina di Pengkalan (Padang Mat Sirat) untuk
pasaran Pulau Pinang. Sarang burung layang-layang menjadikan keluarga
Pandak Maya kaya. Bagaimanapun apabila diminta rakan-rakannya menunjukkan
tempat sarang burung tersebut, tidak dijumpai lagi. Sekali lagi
cerita ini mengambarkan kepercayaan masyarakat yang rezeki tersebut
hanya dianugerahkan untuk seseorang dan bukan untuk perkongsian
bersama. Apatah lagi kegiatan persendirian Pandak Maya semakin meningkat
penghasilannya. Ternakan dan tanaman semakin menjadi dan pengeluaran
bertambah banyak.
|