|
Cerita tentang tuah anak yang dikandung isterinya bertambah hebat
apabila suatu malam , Pandak Maya terdengar suara ular itek (ular
cinta Mani) berdekatan rumahnya. Pandak Maya berjaya menangkap dua
ekor lalu dimasak untuk hidangan keluarga. Mengikut kepercayaan
orang tua, siapa yang memakan daging itek ini akan beroleh rezeki
yang melimpah. Jelaslah dari cerita di sekitar kehamilan Mak Andak
Alang, keluarganya sudah berlimpah rezeki. Ini suatu petanda bayi
bakal lahir membawa tuah.
Apabila tiba masa, Mak Andek Alang melahirkan bayi perempuan yang
comel, dan dinamakan Mahsuri. Rezeki keluarga ini semakin bertambah
apabila Pandak Maya menjumpai batu kemian yang kemudiannya dijual
kepada taukeh Cina di Padang Mat Sirat.
Zaman Perawan Mahsuri
Mahsuri membesar seperti gadis-gadis yang lain tetapi kecantikannyalah
yang membezakan. Kecantikannya menjadi buah mulut orang di Langkawi.
Cerita kecantikan ini menarik minat pembesar Langkawi bergelar Dato
Seri Kama Jaya untuk melihat sendiri wajah Mahsuri. Apabila datang
melawat Kampung Mawat, ternyata Dato Seri Kama Jaya pun turut terpikat
dengan kecantikan Mahsuri dan ingin menyunting sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun hasratnya ditentang isteri bernama Mahura. Mahura dikatakan
seorang wanita yang pintar dan banyak membantu suaminya mentadbir
Langkawi. Hal ini menyebabkan Dato Seri Kama Jaya sukar untuk mengenepikan
begitu sahaja isterinya.
Apabila Dato Seri Kama Jaya menyuarakan hasrat hati kepada isterinya,
Mahura telah menolak dan Dato Seri Kama Jaya terpaksa akur. Ini
menunjukkan pengaruh Mahura sangat penting dalam masyarakat tradisional.
Bagi penyelesaian masalah , Mahura mencadangkan supaya Mahsuri dipinang
untuk anak lelaki mereka yang bernama Wan Mat Deris. Wan Mat Deris
dikatakan seorang anakmuda yang gagah dn pintar dalam ilmu persilatan.
Beliau dikatakan pernah terlibat dalam beberapa peperangan. Selain
itu Wan Mat Deris juga seorang pedagang muda yang berjaya dan menjalankan
urus niaga dengan Siam, Pulau Pinang serta dataran Kedah.
Tragedi Mahsuri
Perkahwinan yang diatur Mahura tidak menyelesaikan masalah kebimbangan
kemerosotan pengaruhnya ke atas suami dan penduduk Langkawi. Mahura
memastikan Mahsuri tidak menetap sebumbung tetapi terus tinggal
di rumah Pandak Maya. Keluarga Pandak Maya tidak menolak malah bersyukur
kerana menantunya akan menetap bersamanya, dan dia tidak terpisah
dengan Mahsuri. Perkongsian hidup Wan Mat Deris dengan Mahsuri cukup
bahagia, dan mereka dikurniakan cahaya mata bernama Wan Mat Arus.
Tragedi ke atas Mahsuri bermula dengan kedatangan seorang pemuda
miskin bernama Deramang yang dikatakan berasal dari Melaka. Sesetengah
sumber mengatakan asalnya dari Sumatera. Deramang telah merantau
ke Pulau Pinang, Perlis dan kemudian ke Langkawi. Sebagai seorang
celik huruf, Deramang gemar dan ahli membaca hikayat dan syaer.
Pandak Maya meminta Deramang membacakan hikayat dan syaer pada waktu
malam di rumahnya. Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Maya
sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia
Deramang.
Sekali lagi peningkatan kepopularan Mahsuri membimbangkan pengaruh
Mahura. Dia juga bimbang populariti suaminya merosot, dan khuatir
suaminya masih menyimpan hasrat ke atas Mahsuri. Semasa Wan Mat
Deris berdagang ke Siam, Mahura telah membuat tuduhan yang Mahsuri
dengan Deramang mempunyai hubungan sulit. Buktinya cincin yang dipakai
Deramang adalah hadiah pemberian Mahsuri.Sejauh mana hubungan intim
Mahsuri dengan Deramang tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Dato
Seri Kama Jaya tidak menyiasat dengan mendalam dan menolak semua
alasan Mahsuri. Beliau telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri
tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.
Apabila Mahsuri ditangkap, dibawa ke Padang Hangus dan diikatkan
di pokok asam jawa. Dia diperintah dibunuh dengan rejaman tombak
tetapi anehnya tombak-tombak tersebut tidak lut ke tubuh Mahsuri.
Anehnya, Mahsuri sendiri memberitahu rahsia kekebalannya iaitu tombaknya
sendiri. Apabila menggunakan tombak tersebut, darah terpancut berwarna
putih. Demikian tragedi Mahsuri yang diceritakan dalam tradisi yang
dibumbui dengan metos bagi mengambarkan protes terhadap ketidakadilan.Kesan
Tragedi Mahsuri
Kesan Tragedi Mahsuri
Sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak
akan aman dan makmur selama tujuh keturunan. Aneh kerana yang bersalah
ibu mertuanya Mahura dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja
dan bukan seluruh Langkawi. Aneh lagi kerana selepas itu sememangnya
Langkawi diserang askar Siam. Mahura dan Dato Seri Kama Jaya terbunuh.
Ramai orang Langkawi ditawan dan dijadikan hamba. Bagaimanapun orang
Langkawi terus berjuang menentang penjajahan di bawah pimpinan seorang
lagi anak Dato Seri Kama Jaya iaitu Wan Mohd Ali.
Lagenda Mahsuri terus dikenang dalam pengertian pengajarannya.
Kini Makam Mahsuri telah dibina begitu rupa sebagai kompleks sejarah
dan budaya. Langkawi kembali makmur sebagai bandaraya pelancongan.
|