Cari maklumat mykedah: 
 
    Anda di sini: 
Selepas

Hikayat Merong Mahawangsa : Antara Mitos Dan Realiti

oleh: Dato' Profesor Dr. Siti Hawa bt. Haji Salleh


Negara-negara ternama di daerah Kepulauan Melayu telah mengabadikan sejarah awal masing-masing dengan menghasilkan beberapa karya historiografi. Karya-karya klasik ini menjadi sumber penting dalam kajian sejarah sesebuah negara yang berkaitan. Seorang pengarang dari istana Kedah telah menempa namanya yang tidak bertulis apabila beliau menghasilkan Hikayat Merong Mahawangsa dan meletakkan karya itu Staraf dengan lain-lain karya historiografi Melayu. Semejak abad kesembilan belas lagi hikayat ini ikut disenaraikan bersama Hikayat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Acheh, Hikayat Banjar, Hikayat Johor dan lain-lain. Begitu banyaknya karya-karya historiografi ini hingga karya-karya itu digolongkan ke dalam suatu 'genre' kesusasteraan yang dapat dikaji secara terasing dan ekslusif. Karya-karya ini memperlihatkan sifat-sifat dan ciri-ciri penulisan yang terasing dengan landasan dan ukuran yang tersendiri pula.

Masing-masing karya historiografi ini menunjukkan persamaan ciri dan dasar penulisan. Persamaan juga terdapat dalam tujuan dasar penulisan itu dibuat secara kasarnya ialah mengabadikan sejarah awal negara berkenaan untuk menjadi pengetahuan orang-orang terkemudian. Selain daripada itu tujuannya juga ialah untuk mengekal dan mengukuhkan kedaulatan raja dan keturunannya. Jadi dalam penulisan ini pusat perhatian ialah kepada golongan yang terpenting di dalam masyarakat itu iaitu golongan raja. Asal usul keturunan raja, dari mana datang nenek moyangnya, apakah kelebihan-kelebihan tertentu yang ada padanya, pembukaan negeri itu dan lain-lain menjadi perkara-perkara penting yang dihuraikan dalam penulisan itu. Nyata bagi pengarang zaman dahulu sejarah negeri adalah senama dengan sejarah rajanya.

Ketika mengemukakan sejarah ini pengarang menggunakan segala alat yang ada padanya untuk mencipta suatu gambaran yang impresif dan berkesan tentang rajanya. Dalam proses menulis itu pengarang mengadunkan segala fakta yang diketahuinya seperti fakta-fakta sejarah dengan unsur-unsur mitos dan legenda yang kebanyakanya sudahpun diterima oleh masyarakat zamannya sebagai sebahagian daripada realiti.

Disini timbullah penilaian yang digunakan oleh pengarang historiografi Melayu. Penilaian yang dipakainya memenuhi keperluan zamannya dan sesuai dengan cara pemikiran masyarakat zaman karya itu ditulis. Dalam penggembelingan fakta-fakta sejarah unsur-unsur mitos dan legenda, realiti yang dicapai adalah bersifat realiti yang subjektif dan bukan bersifat objektif. Yang penting bagi pengarang ialah mencipta suatu karya yang dapat menjadi kebanggaan raja dan bangsanya. Ciptaan itu haruslah dapat meletakkan rajanya lebih tinggi daripada raja-raja lain ataupun sekurang-kurangnya setanding dan Staraf.









mykedah.com
dihasilkan oleh:

PERBADANAN
PERPUSTAKAAN
AWAM KEDAH
Kedah State Public
Library Corporation
Dibiayai oleh :
Demonstrator Applications Grant Scheme (DAGS) of the National IT Council (NITC) Malaysia


Disokong oleh:
Kerajaan Negeri
Kedah Darul Aman
KEPERLUAN
Shockwave Flash™ untuk memaparkan animasi dan peta Klik

DAN Real Player untuk memaparkan klip video dan audio. Klik untuk download dan install sekarang!
Paparan terbaik dengan Internet Explorer 5.0 dengan resolusi 800x600.
   
  Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Go!