|
Dengan tujuan-tujuan yang tersebut itulah pengarang menulis Hikayat
Merong Mahawangsa untuk menyatakan sejarah raja-raja Kedah dan keagungan
negerinya.
Boleh dikatakan hampir di dalam tiap-tiap episod yang dikemukakan,
pengarang telah menggembelingkan fakta-fakta sejarah dengan unsur-unsur
mitos. Di antaranya ialah dalam kisah :
| i. |
Nabi Allah Sulaiman dan burung garuda. |
| ii. |
Raja Bersiung. |
| iv. |
Pemberontakan menentang Raja Bersiung. |
| iii. |
Perhubungan dengan Siam. |
| v. |
Raja Buluh Betung dan Puteri Seluang. |
| vi. |
Kedatangan Islam |
Kisah Nabi Allah Sulaiman dan burung garuda dapat ditinjau sekurang
kurangnya dari empat sudut :
|
i.
|
Membayangkan pengetahuan pengarang
tentang cerita-cerita berkenaan mukjizat nabi-nabi dan mukjizat
Nabi Allah Sulaiman ialah boleh berkata-kata dengan unggas
dan haiwan.
|
|
ii.
|
Pengarang mencampur adukkan unsur
Islam dengan unsur Hindu. Garuda ialah unggas kenderaan Visynu.
Mungkin ini merupakan ingatan dibawah sedar pengarang kepada
agama yang pernah dianuti oleh nenek moyangnya. |
|
iii.
|
Kekalahan garuda dalam pertempuran
dengan Puteri Raja Cina berlaku kerana garuda mencuba menentang
kehendak Allah. Ini juga menggambarkan kemenangan bagi unsur
Islam dan kekalahan bagi unsur Hindu. |
|
iv.
|
Ini juga merupakan pengajaran kepada
pembaca bahawa makhluk tidak dapat melawan takdir. |
Unsur realiti di dalam peristiwa ini ialah Nabi Allah Sulaiman
sendiri serta dengan mukjizatnya. Unsur mitos pula muncul dalam
bentuk burung garuda dan perkahwinan Putera Raja Rom dengan Puteri
Raja Cina. Pengarang telah mencadangkan percantuman dua kuasa besar,
satu dari sebelah barat dan satu dari sebelah timur. Peristiwa inilah
penting kerana membawa kepada pembukaan negeri Kedah yang disebut
oleh pengarang sebagai 'Langkasuka'.
Nama 'Langkasuka' yang disebutkan oleh pengarang ini juga merupakan
suatu mitos kerana Langkasuka yang sebenar bukanlah Kedah. Kerana
nama kerajaan itu ada di dalam pengetahuan pengarang, maka nama
itu digunakan untuk menambahkan keharuman nama Kedah. Secara kebetulan
nama tersebut dapat pula diterangkan sebagai 'alangkah suka' kerana
raja dan rakyat begitu gembira ketika membuka negeri itu. Terbukti
pengarang sendiri tidak begitu percaya mitos rekaannya sendiri kerana
dalam keseluruhan hikayat nama 'Langkasuka' itu disebut hanya tiga
kali.
Peristiwa yang dilukiskan berkenaan Raja Bersiung pula boleh dilihat
sebagai:
|
i.
|
Lambang kezaliman raja ke atas
rakyatnya. Ini menentang waadah yang termaktub antara Sang Sepurba
dan Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu. |
|
ii.
|
Membayangkan pengetahuan pengarang
tentang suatu mazhab dalam agama Budhha Tantrik yang bernama
Bhairava. Di dalam mazhab ini mengorbankan manusia merupakan
sebahagian dari upacara. |
|
iii.
|
Saduran dari cerita Maha Sutasoma-Jataka
yang di dalamnya terdapat kisah seorang raja yang memakan manusia. |
Dari suatu sudut, pengarang menggambarkan Raja Bersiung sebagai
tidak berdaya mengendalikan nafsunya. Tumbuhnya siung bukanlah atas
kehendak dirinya sendiri. Pengarang ingin menyelitkan pembelaan
seolah-olah Raja Bersiung tidak patut dipersalahkan atas apa yang
berlaku.
Dari sudut lain pula ternampak penilaian pengarang dalam memilih
peristiwa ini untuk dilekatkan kepada Raja Bersiung, tidak memandangnya
sebagai suatu kezaliman. Malah beliau menganggap perbuatan memakan
manusia itu sesuatu yang ganjil dan gagah yang harus dikagumi. Dengan
ini pengarang menyatakan bahawa rajanya adalah berasal daripada
keturunan raja yang megah dan berani. Seluruh peristiwa ini merupakan
suatu mitos untuk merakamkan keagungan asal usul raja.
Di dalam penulisan historiografi Melayu umumnya dasar perhubungan
yang ditekankan antara raja dan rakyat ialah taat setia, tidak mendurhaka
dan tidak zalim. Di dalam beberapa penulisan diceritakan juga bagaimana
dasar perhubungan ini telah dilanggar oleh kedua-dua pihak, atas
sebab-sebab tertentu.
Di dalam Sejarah Melayu Sang Rajuna Tapa belot kerana dimalukan.
Hang Kasturi ikut bertindak membela rakannya yang dianiaya. Tun
Beraim Bapa dalam Hikayat Raja-Raja Pasai akhirnya tumpas setelah
tersepit dalam dilema antara mengorbankan adik-adiknya atau mendurhaka
kepada raja/ayahnya sendiri.
Raja Bersiung di dalam Hikayat Merong Mahawangsa mula-mula ditentang
oleh Kampar yang kebal dan dapat pula bertukar rupa menjadi babi
hutan, ulat dan harimau. Setelah menggemparkan Raja Bersiung, Kampar
sebagai harimau akhirnya lari ke hutan.
Kemudian Raja Bersiung ditentang oleh menteri-menteri keempatnya
yang mendapat sokongan dari permaisuri sendiri. Setelah mendapati
dirinya bersendirian, Raja Bersiung terpaksa melarikan diri dari
istana.
Istilah 'durhaka' langsung tidak digunakan di dalam hikayat ini.
Pemberontakan itu terpaksa dilakukan untuk menjaga ketenteraman
negeri dan tindakan itu hanya diambil setelah gagal dengan cara
lain. Kedaulatan raja masih dijaga dengan tidak membenarkan beliau
jatuh ke tangan rakyat yang memburunya. Malah ia dikatakan hilang
begitu sahaja di dalam rumpun buluh betung.
Unsur realiti dalam peristiwa ini ialah masalah-masalah yang timbul
dari tabiat raja yang membawa kepada kezaliman. Tindakan yang diambil
juga mendekati unsur realiti dari segi rasionalnya. Situasi yang
timbul begitu runcing hingga mendesak permaisuri sendiri ikut melibatkan
diri menentang raja adalah suatu situasi yang munasabah. Raja Bersiung
sendiri dan kehilangannya di dalam buluh betung jelas bersifat mitos.
Pengarang historiografi Melayu bukanlah pengarang biasa untuk hanya
mengemukkan sejarah negerinya. Tanggungjawab lebih besar kerana
ia juga harus mempertahankan kedaulatan dan maruah rajanya. Hal
ini amat jelas kelihatan dalam cara pengarang menerangkan tentang
perhubungan Kedah dengan Siam. Walaupun di beberapa tempat beliau
ingin menafikan adanya pengaruh Siam ke atas Kedah, di tempat-tempat
lain seolah-olah terdapat bayang-bayang pengakuan yang tidak dapat
dielakkan.
Nama Raja Merong Mahawangsa sendiri memperlihatkan percampuran
antara pengaruh bahasa Thai dan bahasa Sanskrit. Di dalam nama Mahapudisat
terdapat pengaruh dari Sanskrit iaitu maha + bhudisatva. Dari nama
Kelahum lebih jelas kelihatan pengaruh Siam kerana 'kelahum' bermaksud
kementerian pertahanan. Pengarang hikayat ini menggunakan kelahum
sebagai nama atau gelaran kepada panglima yang mengetuai angkatan
utusan ke Kedah.
Dalam masa menulis ternyata pengarang membiarkan karyanya berkembang
dengan pengaruh-pengaruh yang sudah sedia ada. Apa yang bersifat
asing yang dikemukakannya adalah yang sememangnya sudah sebati dengan
masyarakat ataupun yang sudah dianggap sebagai kenyataan.
Dengan latar belakang yang demikianlah pengarang mengemukakan teorinya
sendiri tentang perkaitan kekeluargaan yang wujud antara Raja Kedah
dan Raja Siam. Sekaligus beliau memberi penjelasan tentang penghantaran
bunga emas pada masa-masa tertentu dari Kedah ke Siam. Apa yang
dipaparkan merupakan hasil pemikiran dan pertimbangan yang dibuat
terlebih dahulu cara penyampaianya supaya tidak tergugat kedudukan
raja yang memerintah.
Untuk menafikan suatu keadaan yang sebenarnya, pengarang mengolah
dari awal hikayat dengan mengatakan bahawa Raja Merong Mahapudisat
mempunyai tiga orang putera dan seorang puteri. Putera yang sulung
dilepaskan untuk membuka negeri Petani. Putera yang bongsu mewarisi
takhta kerajaan Kedah apabila Raja Merong Mahapudisat mangkat. Diberikan
juga keterangan bagaimana ketiga-tiga negeri baru itu mendapat namanya.
Dalam perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam, jelas dari peringkat
awal penceritaan pengarang meletakkan landasan perhubungan itu iaitu
Raja Siam ialah kekanda sulung kepada Raja Kedah. Malah Raja Kedah
adalah adinda yang bongsu. Implikasi kebudayaan dalam pertalian
kekeluargaan ini amat mudah difahami. Apa yang berlaku seterusnya
dalam hubungan penghantaran bunga emas adalah dilakukan atas dasar
pertalian kekeluargaan dan rasa hormat antara yang bongsu terhadap
yang sulung. Dinyatakan apabila Raja Kedah menerima berita kekandanya
Raja Siam memperolehi seorang putera, beliau mengerahkan supaya
pihak Kedah menghantar bunga emas sebagai tanda ikut sama meraikan
keputeraan itu. Raja Kedah dinyatakan membuat keputusan menyampaikan
hadiah itu setiap kali Raja Siam mendapat putera. Ini menerangkan
mengapa hantaran bunga emas itu tidak dibuat tiap-tiap tahun tetapi
dua atau tiga tahun sekali.
Ketika mengemukakan keterangan ini pengarang tidak perlu memikirkan
sama ada apa yang dihuraikannya benar atau tidak. Sebagai pengarang
istana beliau tidak bimbang tentang soal penerimaan oleh masyarakat.
Persoalan tidak akan timbul tentang kewajaran sesuatu peristiwa
kerana apa yang dikemukakan adalah munasabah dan boleh diterima
oleh akal.
Perhubungan erat dengan Siam ditimbulkan lagi dengan cara bersahaja
apabila Kedah merujuk ke Siam dalam kebuntuan mencari pengganti
Raja Bersiung. Suatu rombongan telah dihantar ke Siam meminta bantuan
pendapat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Raja Siam memerintahkan
ahli nujumnya menilik cara terbaik mengatasi masalah itu.
Tidak ditimbulkan persoalan mengapa permaisuri Raja Bersiung dan
menteri keempat membuat keputusan bertanya ke Siam kerana alasan
telah termaklum. Dibayangkan juga bahawa campur tangan Siam dalam
urusan Kedah adalah atas telah termaklum. Dibayangkan juga bahawa
campur tangan Siam dalam urusan Kedah adalah atas permintaan dari
Kedah sendiri.
|