|
Untuk menimbulkan kekaguman masyarakat dan mengekalkan ketinggian
martabat raja-raja Kedah, pengarang merendangkan lagi penceritaannya
dengan memasukkan peranan yang dimainkan oleh gajah sakti Gemala
Johari. mitos binatang sakti tidak ketinggalan dalam karya-karya
historiografi Melayu yang lain. Adanya Gemala Johari di sini adalah
sesuatu yang diharapkan. Masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh
manusia dengan mudah diatasi oleh gajah sakti. Gemala Johari masuk
ke hutan dan membawa ke istana putera Raja Bersiung dengan isterinya
anak orang berhuma di hujung negeri. Sengaja peranan Siam dalam
menentukan siapa pengganti raja itu diperkecilkan dengan memulangkan
segala-galanya kepada Gemala Johari.
Supaya kedaulatan raja dan keturunannya dapat dipertahankan pengarang
mengambil masa untuk menerangkan asal usul keluarga yang berhuma
itu. Isteri Raja Bersiung bukanlah sembarangan orangnya tetapi berasal
daripada biaperi.
Jelas pengarang memikirkan terlebih dahulu semasak-masaknya dan
merancang dengan teliti pengolahan fakta dan teknik penulisannya.
Bukan sahaja beliau harus membentangkan fakta sejarah tetapi juga
mengadunkannya dengan cara yang terbaik supaya kedudukan raja tidak
terjejas. Unsur-unsur mitoslah yang membantunya memenuhi tugas ini.
Segala alasan yang dikemukakan tidak lagi dipersoalkan kerana kebanyakan
unsur mitos itu sudahpun sebati dalam pemikiran masyarakatnya. Atas
dasar 'percaya' dengan mudah dan berkesan, sesuatu yang hanya ada
di dalam pemikiran pengarang lahir menjadi realiti.
Jika dinilai semula huraian pengarang tentang penghantaran bunga
emas ke Siam, kita akan dapati bahawa penafiannya adalah sesuatu
yang biasa. Negeri-negeri Melayu lain yang pernah terlibat dengan
Siam enggan mengaku bahawa penghantaran bunga emas itu adalah bukti
tertunduknya mereka ke bawah kuasa Siam. Bagi mereka kiriman itu
dibuat sebagai suatu usaha diplomasi mententeramkan kerajaan Siam
dan menghalangnya daripada menyerang negeri-negeri Melayu itu.
Jika keterangan yang dipilih oleh pengarang hikayat ini tidaklah
sesuatu yang melulu tetapi merupakan suatu muslihat diplomasi yang
bijak dan menakjubkan.
Walaupun pada mulanya Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa
putera-putera dan puteri raja Kedah yang membuka negeri-negeri Siam,
Perak dan Petani, hanya Siam sahaja yang diulang sebut oleh pengarang.
Tidak ada lagi rujukan dibuat berhubung dengan Perak dan tentang
Petani pula hanya disebut sekali.
Hal ini membayangkan keadaan yang sebenarnya di mana dalam realiti
sememangnya ada perhubungan yang erat antara Kedah dengan Siam.
Walau bagaimana sekalipun diusahakan oleh pengarang menyembunyikan
fakta itu, ia muncul sebagai sesuatu yang benar.
Kemudian pengarang menceritakan tentang Kelana Hitam yang menjadi
raja di Pulau Air Tawar ingin menaiki takhta kerajaan negeri Kedah
apabila didengarnya Kedah tidak beraja selepas hilangnya Raja Bersiung.
Pengarang menyatakan secara kebetulan angkatan Kelana Hitam telah
bertembung dengan angkatan Kelahum dari Siam. Kelahum telah ditugaskan
menabalkan pengganti Raja Bersiung setelah orangnya ditemui.
Nyata Kelana Hitam tidak sempat mencapai cita-citanya kerana dihalang
oleh Kelahum. Pertempuran berlaku dan Kelana Hitam ditawan. Peperangan
ini telah digambarkan dengan teliti dan terperinci oleh pengarang.
Beliau menggunakan klise-klise yang terdapat dalam karya-karya kesusasteraan
Melayu klasik apabila menggambarkan sesuatu keadaan. Kekuatan dan
kegagahan panglima-panglima diceritakan satu persatu. Tidak terdapat
karya historiografi lain yang melukiskan gambaran peperangan yang
sebegitu jelas dan menarik. Selain dari lukisan suasana pengarang
juga memperlihatkan pengetahuannya tentang teknik peperangan orang
zaman dahulu dan cara-cara mengatur perang.
Kisah peperangan ini memperlihatkan beberapa persamaan dengan kisah
peperangan dalam Hikayat Seri Rama yang disadur dari Ramayana. Tetapi
jika dibandingkan dengan lebih teliti, gambaran peperangan dalam
Hikayat Merong Mahawangsa lebih realistik dan berpijak dibumi yang
nyata. Kemenangan dicapai lebih kerana ketajaman akal dan kepintaran
ilmu perang dan kepahlawanan manusia biasa dan bukan sebab kesaktian
dan kedewaan.
Persamaan yang terdapat dalam bahagian ini dengan apa yang ditemui
dalam Hikayat Seri Rama adalah kerana kedua-dua hikayat ini hasil
kesusasteraan lama. Pengarang tidak dapat lari menggunakan susunan
kata dan struktur kalimat yang sama dengan yang terdapat dalam karya-karya
lain yang sezaman dengannya. Persamaan yang terdapat dianggap tidak
merendahkan mutu karya tersebut malah mendekatkan lagi dengan karya-karya
sezaman dan membolehkan ia dimasukkan ke dalam golongan yang sama.
Kerana pertimbangan yang berlainan ramai sarjana barat keberatan
memberi Hikayat Merong Mahawangsa penilaian yang saksama dan terus
menganggapnya sebuah karya yang kurang bermutu. Winstedt secara
mudah mengenepikan hikayat ini tanpa mempertimbangkan nilai-nilai
masyarakat yang menghasilkan karya ini.
Di samping itu dapat dibuat kesimpulan bahawa kemunculan Kelana
Hitam adalah disengajakan oleh pengarang untuk menerangkan lebih
jelas perhubungan yang erat antara Kedah dan Siam. Pengarang juga
menggunakan kesempatan itu untuk menguatkan hujah bahawa hanya raja
yang berasal dari keturunan Merong Mahawangsa sahaja yang layak
menaiki takhta kerajaan Kedah.
Naungan Siam ke atas Kedah diteruskan gambarannya dengan menyebutkan
bahawa Kelahum meneruskan perjalanannya ke Kedah. Setelah menemui
tempat yang baik di Sala, Kelahum membina kota di situ dan memerintahkan
orang-orangnya pergi mengadap menteri keempat dan menjemput raja
yang baru datang bermain ke Sala. Di Salalah raja Kedah yang baru
ditabalkan dengan nama Raja Phra Ong Mahaputisat. Kelahum telah
melaksanakan tugasnya sebagai wakil Raja Siam untuk mengiktirafkan
raja itu. Secara tersembunyi pengarang membuat implikasi bahawa
pengiktirafan itu tidak membawa apa-apa kesan kerana sewaktu Kelahum
sampai, raja itu sudah lama bersemayam di Kota Aur. Dan berangkatnya
ke Sala adalah lebih untuk bersuka-suka memburu binatang dan menangkap
ikan.
Apabila Kelahum berangkat pulang ke Siam, Raja Phra Ong Mahaputisat
mengirimkan hadiah bunga emas dan bunga perak kepada Raja Siam.
Selepas itu dikatakan Kedah dan Siam tidak berputusan menghantar
utusan tiap-tiap tahun tanda berkasih. Pengarang tetap mempertahankan
bahawa perhubungan itu adalah antara dua negara Staraf. Begitulah
caranya pengarang menjaga maruah rajanya tanpa menyingkirkan fakta
sejarah sebenarnya.
Berbeza dengan kebanyakan karya historiogfari Melayu yang lain,
Hikayat Merong Mahawangsa tidak menghadkan unsur mitos dikemukakan
hanya dibahagian awal cerita. Pengarang memasukkan unsur mitos di
mana-mana sahaja asalkan dapat digunakan untuk sesuatu tujuan, terutama
sekali untuk menambahkan takjub rakyat terhadap rajanya. Dalam hal
ini Hikayat Merong Mahawangsa agak selari dengan Hikayat Banjar.
Kerana itu di pertengahan ceritapun tiba-tiba pembaca bertemu dengan
kelahiran Raja Buluh Betung dari ruas buluh yang dibawa pulang oleh
Raja Phra Ong Mahaputisat dari berburu. Di dalam Hikayat Raja-Raja
Pasai dan Hikayat Acheh, unsur mitos seperti ini hanya terdapat
di bahagian awal cerita. Seharusnya semakin dekat pengarang dengan
zaman yang lebih terkemudian, unsur mitos ditinggalkan dan diganti
dengan fakta-fakta yang bersifat kenyataan.
Pengarang ini telah menggunakan kebebasannya untuk melanggar kebiasaan
ini. Jelas kepadanya unsur mitos dan realiti. Kemungkinan lain ialah
pengarang menemui kesempatan di sini untuk memasukkan mitos ini
kerana tidak sesuai di bahagian lain. Beliau mesti memasukkan mitos
ini kerana di dalam penulisan-penulisan lain mitos ini tidak ditinggalkan.
Kelahiran Raja Buluh Betung diseimbangkan dengan penemuan Puteri
Seluang di tengah-tengah buih putih yang mengalir di Sungai Kuala
Muda. Puteri Seluang bukanlah sesuatu yang asing dalam karya-karya
historiografi Melayu kerana terdapat rakan-rakan sejenisnya dalam
Sejarah Melayu, Hikayat Banjar, Cerita Sukadana dan Sulsilah Kutai,
masing-masing dengan nama Puteri Tanjung Buih dan Puteri Junjung
Buih dan sebagainya.
Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa wajar Raja Buluh Betung dikahwinkan
dengan Puteri Seluang kerana sama-sama berunsur mitos. Dan kewujudan
mereka bertentangan dengan realiti. Kedua-duanya tidak dibenarkan
berkembang wataknya. Keturunan mereka tidak mungkin dapat menduduki
taktha kerajaan kerana asal usulnya. Nyata disini terdapat semacam
pertentangan antara unsur mitos dan realiti. Karya ini merupakan
suatu penulisan sejarah, unsur realiti dipertahankan.
Begitu kecil peranan mitos ini sehingga apabila Raja Phra Ong Mahawangsa,
saudaranya memeluk agama Islam, Raja Buluh Betung sengaja tidak
disebut. Raja Buluh Betung ketika itu ditugaskan membina kota baru
di Padang Terap. Pengarang menyingkirkan watak mitos ini dari dunia
yang bersifat realiti dengan menceritakan bahawa Raja Buluh Betung
membawa diri setelah mendengar isterinya Puteri Seluang berbuat
jahat dengan salah seorang pembesar dalam semasa peningggalannya.
Sama seperti beberapa watak dalam Hikayat Banjar yang hilang jasadnya
sesudah mati, Raja Buluh Betung juga dikatakan bertukar kembali
manjadi buluh setelah menghembuskan nafas yang terakhir. Sebelum
mangkat Raja Buluh Betung memperlihatkan kepahlawanannya berperang
dengan angkatan Datuk Sungkai yang datang menyerang Kota Palas.
Puteri Seluang pula tidak lagi disebutkan selepas melahirkan Megat
Zainal.
Kerana kisah Raja Buluh Betung dikemukakan dalam peringkat yang
sudah lewat dalam hikayat ini, ia sengaja diasingkan dari istana
besar di Kuala Muda. Kemangkatannya tidak menimbulkan apa-apa persoalan.
Pengarang telah cuba menggambarkan realiti watak ini dengan menghidupkan
unsur kepahlawannya. Unsur realitinya juga dilahirkan menerusi reaksi
Sultan Muzafar Syah ketika menerima berita kemangkatannya. Pengarang
menulis :
"......maka tiada berkata-kata
lagi, tunduk, tengadah, menahankan air mata, kenangkan saudara
Raja Buluh Betung itu......"
Seterusnya pengarang menegakkan lagi mitos tentang Raja Buluh Betung
ini dengan mengemukakan sesuatu yang bersifat realiti. Menteri Lela
Putera telah memohon supaya Sultan Muzafar Syah menghantar salah seoarang
puteranya ke Kota Palas untuk menggantikan Raja Buluh Betung. Sultan
telah memenuhi permintaan itu dengan merajakan Raja Muazzan, Raja
Mahmud dirajakan di Kota Hulu Padang Terap dan Raja Sulaiman dihantar
ke Langkapuri. Dengan ini juga pengarang menguatkan pengakuan tentang
adanya kota-kota yang dibina oleh Raja Buluh Betung semasa hayatnya
pada hal Raja Buluh Betung itu adalah watak mitos. Mungkin juga dalam
kisah ini Langkapuri ialah Langkawi.
Di dalam karya-karya historiografi Melayu lain, batasan antara
mitos dan realiti lebih jelas jika dibandingkan dengan hikayat ini.
Cara penceritaan juga berubah menjadi lebih jelas dengan pernyataan
peristiwa-peristiwa yang betul-betul berlaku. Di samping pengarang
sendiri ada orang-orang lain yang tahu tentang peristiwa-peristiwa
itu. Tidak seperti peristiwa-peristiwa yang dikemukakan pada bahagian
awal penulisan yang cara penyampaiannya adalah hasil pemikiran dan
pengolahan pengarang sendiri. Cara unsur-unsur mitos itu disampaikan
bergantung kepada tujuan yang ingin dicapai oleh pengarang.
Keistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa yang teragung ialah cara
yang dipilih oleh pengarang untuk mengisahkan bagaimana Raja Phra
Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan dan keangkuhan pengarang
dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang sebut cara
yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah
Melayu. Di mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur
persamaan yang amat jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan
pengarangnya mengemukakan sejarah pengislaman yang tiada persamaannya
dalam karya-karya historiogfari yang lain. Gaya yang tersendiri
ini ialah hasil kepintaran pengarang menggembelingkan unsur-unsur
realiti. Pengarang telah membuktikan bahawa beliau mempunyai daya
imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa pengarang bahawa peristiwa raja memeluk
agama Islam adalah peristiwa kemuncak dalam penulisannya. Dengan
itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan sekuat-kuat impak dan
kesan yang terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak mungkin
dikemukakan dengan begitu sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan
dari yang sudah ada dalam karya-karya lain. Unsur mimpi seperti
dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu tidak akan memberi
keadaan yang diharapkan. Unsur peperangan seperti Hikayat Banjar
tidak akan mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh pengarang. Kisah
bagaimana Islam sampai ke Kedah mestilah mengatasi penceritaan-penceritaan
lain yang sudah ada. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengadunkan
unsur realiti dengan mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan
realiti tetapi masih boleh diterima akal.
Mungkin setelah membuat pertimbangan-pertimbangan inilah akhirnya
pengarang menulis tentang kedatangan Islam ke Kedah mestilah mengadunkan
unsur realiti dengan yang bukan realiti tetapi masih boleh diterima
akal.
Pertama sekali, pengarang mengatakan Islam yang sampai ke Kedah
itu telah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad. Pilihannya wajar
bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya yang terasing tetapi
juga kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu pusat
perkembangan dan pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu ada menyebut tentang seseorang Raja Kedah
pernah mengadap ke Melaka untuk menerima nobat, Hikayat Merong Mahawangsa
tidak menyentuh tentang perkara ini. Mungkin masa yang dikemukakan
dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal daripada yang disentuh
oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini. Hikayat Acheh
juga menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat
Merong Mahawangsa menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian,
pengarang menyatakan pada masa Kedah menerima Islam, Acheh telah
lama memeluk agama itu. Dikatakan apabila Acheh mendengar Kedah
sudah Islam, rajanya mengirim dua buah kitab karangan Sheikh Nuruddin
al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas bahawa pengarang kita
enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam karangannya
dan mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri.
|