|
Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah
dengan negeri Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian
yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan
bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga emas dan bunga perak
oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah
yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat
putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar
bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat
putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha
Inderawangsa menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa
gergasi. Perkahwinan inilah yang melahirkan Raja Bersiung, raja
yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha Perita Deria
atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang
zalim terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda
diganti oleh puteranya yang bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang
digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah
menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan
raja Kedah pertama memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan
Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman
di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Mudzalfal
Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat
diakhiri dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah
hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja yang memerintah
semasa hikayat ini disalin kali terakhir.
Jelas kelihatan bahawa hikayat ini dikarang selepas ketibaan Islam
dan pengarang banyak memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa
tertentu yang menyerlahkan asal-usul rajanya, pertalian dengan Siam
yang menceritakan mengikut kebijaksanaan pengarang untuk menjaga
kedaulatan raja dan negerinya, kisah kedatangan Islam yang sengaja
dikemukakan berbeza dengan kedatangan Islam ke Pasai dalam Hikayat
Raja Pasai dan kedatangan Islam ke Melaka dalam Sulalat al Salatin
(Sejarah Melayu) dan lain-lain peristiwa. Ini membuktikan bahawa
hikayat ini dikarang secara sedar oleh pengarangnya dengan tujuan
mengagungkan kedaulatan raja dan negerinya.
|