|
1.0 Pendahuluan
Cerita-cerita Terung Pipit (CRT) dapat dianggap satu-satunya hikayat
tertua di utara Semenanjung, khususnya Kedah dan Perlis, dan merupakan
bahan terawal cerita lisan yang dikaji oleh para sarjana Barat pada
peringkat awalnya sekitar 1920-an. Cuma sebuah cerita sahaja yang
dikumpul dan dibukukan berjodol Hikayat Terung Pipit (1). Sebelum
diterbitkan dalam bentuk buku, ianya pernah disebarkan secara meluas
sebelum Perang Dunia Kedua melalui wayang kulit Melayu dan tukang-tukang
cerita. Di Kedah mereka dikenali sebagai Selampit/Tuk Selampit yang
juga menjadi watak utama dalam CTP.
Sejak 1960-an kajian terhadap cerita-cerita lisan di negeri ini
telah diteruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang berhasil menemui
dua lagi versi CTP. Bagaimanapun tidak pula dapat dinafikan bahawa
masih ada lagi CTP yang terlepas dari penyelidikan dan hilang begitu
sahaja. Misalnya dalam Akhbar NUN yang diterbitkan di Yan, Kedah
sebelum perang dahulu pernah menyiarkan beberapa siri cerita Panglima
Selampit bertajuk Hikayat Kijang Bertempik. Cerita itu ditutur oleh
Lebai Sudin yang diterima dari bapanya Panglima Ngah, dan Panglima
Ngah mendapat cerita itu dari bapanya Pak Lah, berasal dari Bukit
Pinang, bekerja sebagai penunggu pintu gerbang raja zaman Tunku
Da'I (2).
CTP yang tergolong sebagai cerita-cerita Penglipurlara mempunyai
persamaan dengan hikayat-hikayat lain yang sejenis yang pernah dikaji
oleh W. L. Maxwell dan R. O. Winstedt seperti Hikayat Malim Demam,
Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Raja Muda, Hikayat Awang Sulung
Merah Muda dan sebagainya hasil tuturan Mir Hasan dan Pawang Ana.
Bagaimanapun jika diteliti lebih lanjut ternyata CTP memiliki keistimewaan
tersendiri terutamanya dari sudut bahasa dan budaya masyarakat Kedah
Darulaman di zaman silam. Ramai masyarakat Melayu di utara yang pernah
membaca atau mendengar CTP mempercayai cerita itu ada kaitannya dengan
sejarah Kedah kerana latar tempat berlakunya cerita itu dan juga nama-nama
meriam yang digunakan seperti Katak Puru, Harung Darah, Badak Berendam
dan sebagainya dalam CTP masih dihafalkan namanya malah dikatakan
masih dapat dilihat hingga ke hari ini. |