Anda di sini:
 
SebelumSelepas
sambungan
Cerita Terung Pipit Tinjauan Dari Sudut Sastera, Budaya Dan Sejarah

oleh: Dato' Hj. Wan Shamsudin bin Mohd. Yusof

 
 

2.0 Versi Naskhah Cerita-Cerita Terung Pipit

Sehingga kini terdapat tiga versi CTP yang telah dibukukan iaitu Hikayat Terung Pipit, Selindung Bulan Kedah Tua (3), dan Cerita Sulung Jawa (4). Walaupun berbeza judulnya, nama-nama dan tempat namun ketiga-tiganya adalah berasal satu sumber yang sama. Adanya perbezaan tersebut adalah disebabkan pindaan, tokok tambah dan pengurangan yang dilakukan oleh seseorang pencerita yang menjadi salah satu ciri terpenting pada setiap hasilan sastera tradisional. Bagaimanapun wira utama yang terdapat dalam CTP tidak banyak berbeza. Wira tersebut diketuai oleh Terung Pipit dan dibantu oleh saudara sepupunya yang lain seramai empat orang. Perbezaan hanya terdapat pada sebutan sahaja seperti senarai berikut :

Jodol cerita
Watak Anak raja
Syahbandar
Hikayat Terung Pipit Pekulun Duli Baginda Wan Cik Antan
Besi AntanTembaga
Selindung Bulan Kedah Tua Pangkulun Duli Baginda Datuk Panglima Selampit
Cerita Sulung Jawa Pekulun Duli Baginda Wan Cik Intan
Besi Intan Tembaga

Masih ada lagi versi lain mengenai CTP yang pernah dirakamkan oleh para penyelidik kita selepas perang yang belum dibukukan sepenuhnya. Antaranya termasuklah cerita 'Selampit' rakaman Tuan Haji Mustafa Mohd. Isa dari USM pada tahun 1977 berdasarkan tuturan Pak Lang Haji Fadzil, Langkawi (5).

2.1 Hikayat Terung Pipit (HTP)

Hikayat ini mula diterbitkan dalam tahun 1927 hasil tuturan Panglima Ali Mudin bin Panglima Lebai Hasan dari kampung Batas Liku, Perlis kepada Tuan Pasqual di bandar Kangar, pada 20 Jamadilakhir 1341 (7 Februari) 1923). Ianya diterbitkan semula pada tahun 1964.

HTP tersusun dalam bentuk prosa yang disulam dengan puisi dan pantun. Bagaimanapun pada kebanyakan bahagian jika diamati dari ayat ke ayat ternyata mengandungi bahasa bersajak/berirama yang berakhirkan rima 'a'. Susunan cara sedemikian adalah penting bagi seseorang pencerita, lazimnya disampaikan melalui nada atau lagu tertentu seperti juga orang berpantun atau bersyair.

  1. "Dengarlah hai peluru, aku hendak pesan dekat mika,/ engkau langsunglah ke penjajap tembaga tiang tiga,/ engkau takuk tiga/ dan engkau rampaskan dayung itu biar tinggal putting sahaja/ dan kemudian itu sepakkan biar tinggal caci sahaja/ dan peti apiun Selampit itu engkau usung buangkan ke tengah arus muka kuala/ dan segala orang-orang jangan engkau perbinasa/ aku hendak taruh asam alat senjata dan tumbuk lada,/ setelah itu engkau lansunglah ke pekan pesara/ dan segala nipah yang semak engkau tebas biar rata……." (H 54).

  2. "Maka kata Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya,/ "Adalah belanja sahaya itu sekuntum bunga rakna mala,/ duduk di dalam perut ular naga,/ dan lagi suatu seekor gajah putih tubuhnya bercula,/ dan gadingnya itu berlarik suasa tembaga,/ duduknya itu di dalam negeri Pisang Benggala." (H 111).

2.2 Selindung Bulan Kedah Tua (SBKT)

Versi ini diusahakan oleh Awang Had Salleh (kini Dato' Profesor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1965 mengandungi 71 halaman. SBKT berdasarkan tuturan Encik Ismail bin Hasan dari Kampung Nesam. Kurong Batang, Kangar, Perlis yang diselenggarakan oleh Encik Ali Haji Ahmad dan Encik Mohd. Noor Azam. SBKT lebih ringkas isinya jika dibandingkan dengan HTP lebih hidup dan lebih indah. Kita ambil contoh bahasa bersajak yang digunakan ketika hendak menggambarkan keadaan hari hampir siang:

  1. "Mereka pun tidurlah. Setelah itu besok hari, ayam pun berkokok, murai pun membaca, fajar menyinsing, merah menyala." (SBKT: H 18)

  2. "Hatta ada seketika lamanya masing-masing duduk beradu itu hari pun sianglah, ayam pun berkokok, murai pun membaca, kicak kicau bunyi suaranya. Fajar pun menyinsing, matahari pun menyala." (HTP: H 128)

  3. SKBT juga sama dengan HTP yang banyak mengandungi prosa bersajak yang berakhirkan rima 'a'. Misalnya:Tatkala itu berserulah Terung Pipit kepada Yang yang Dewata/ yang duduk bertapa di baluh bulan di atas udara./ Lepas itu berkatalah pula ia,/ "Hai Jon" Baluh Penyajap emas Lapis Suasa./ Kami timbul kami ini dengan papan Merbau Tanglung akar Bersila./ Batang engkau bulat seperti dian bercabang tiga./ Jikalau kamu balik papan sekeping sekalipun, matilah engkau di Kuala./ Sekarang engkau di muka bumi rata,/ untuk kenaikan kami berempat saudara." (H. 29).
2.3 Cerita Sulung Jawa (CSJ)

Versi ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1978 yang diselenggarakan oleh Jamilah binti Ahmad. CSJ didasarkan dari rakaman Encik Hassan Ahmad dan Encik Jazamuddin Baharuddin dalam tahun 1965 hasil tuturan Encik Bahtin bin Abdul Razak, Kampung Temoyong, Mukim Kedawang, Langkawi.

Susunan bahasanya diolah mengikut penceritaan asal penuturnya iaitu mengandungi baris-baris bahasa bersajak yang lebih mirip kepada bentuk puisi yang juga emakai rima akhir 'a'. Setiap permulaan sesuatu peristiwa yang hendak disampaikan, penuturnya melafazkan kalimat tertentu yang disertai dengan menyebut watak utamanya. Misalnya:

Hei………..
Sikun si kononnya Terung Pipit
Kata pulak Jerun dengan Gelam nyata
"Hei mak bonda buah hati anakanda
Kalau cantik bagai dipeta pun kami nak ambik juga
Buat galang tua
Puas hati kami di dalam dada."
Terdengar pula rakyat tentera
Segala isi kota
Teriak dan tangis bermacam neka
Pada bubuh dayang yang cantik rupa
Baiklah bunuh depa menjadi galang tua
Puas hati aku di dalam dada
Kata sorang katalah dua
Sungguh juga seperti hang dikata
(H 21)

Cara menulis kembali begini menurut seperti yang dilafazkan oleh pencerita adalah lebih memperlihatkan keasliannya.

3.0 Tinjauan dari sudut sastera

Cerita-cerita yang tergolong dalam sastera Penglipurlara biasanya dikaji dari beberapa aspek seperti latar dan watak, tema dan struktur cerita di samping dua lagi yang akan dibicarakan berasingan kelak iaitu aspek bahasa dan unsur-unsur pengaruh luaran yang terdapat pada cerita-cerita tersebut. CTP memang terdapat setiap aspek yang disebutkan yang memenuhi fungsinya sebagai cerita-cerita Penglipurlara.

3.1 Tema dan latar

Tema Cerita-cerita Penglipurlara biasanya mengisahkan pengembaraan wira untuk sesuatu tujuan yang terpaksa menghadapi pelbagai rintangan termasuklah peperangan sebelum dia mengecap kebahagiaan. Latar ceritanya tidak sahaja berlaku di alam nyata yang berkisar di istana tetapi juga di alam luar biasa. Misalnya CTP, sesuai dengan temanya maka wira utamanya terpaksa menempuh pelbagai halangan sewaktu belayar antaranya melalui laut hitam, laut lilin (laut beku), laut asap dan laut api di samping terpaksa terbang ke kayangan.

3.2 Watak

Watak dalam CTP mengandungi watak baik dan watak jahat di samping watak luar biasa. Terung Pipit dan rakan-rakannya juga merupakan watak luar biasa yang boleh menentang segala halangan atau musuh dengan menggunakan pelbagai senjata dan ilmu kesaktian. Walaupun tidak terdapat peranan watak-watak pembantu atau penyelamat seperti Nenek Kebayan, Bujang Selamat dan Si Kembang China (seperti dalam Hikayat Malim Deman dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda), namun dalam CTP dimasukkan watak-watak pembantu lain atau mereka yang belot dan menyebelahi Terung Pipit.

3.3 Struktur cerita

Sturktur atau plot cerita dalam CTP juga mengandungi tiga bahagian iaitu pengenalan, pengembaraan dan penyelesaian atau kesudahan cerita.

3.3.1 Pengenalan

Bahagian ini memperkenalkan sejarah asal usul wira iaitu Terung Pipit. Dalam HTP, Terung Pipit dikatakan Putera Raja Sulung Jawa, apabila dewasa dibawa bersama saudaranya yang lain ke kayangan untuk belajar bermain senjata. Dibandingkan dengan Cerita-cerita Penglipurlara yang lain, ternyata kisah mengenai diri Terung Pipit terlalu ringkas. Tidak terdapat unsur-unsur luar biasa pada diri Terung Pipit sejak sebelum dan sesudah ia dilahirkan yang menandakan ia bakal menjadi seorang wira. Tidak terdapat sifat-sifat fizikal secara menyeluruh termasuk lukisan mengenai kecantikan paras seseorang puteri raja atau wira. Kalaupun ada cuma sedikit, misalnya dalam CSJ dikatakan :

"Terung Pipit dan saudara-saudaranya itu kecil seperti budak kepala mereka sebesar pinang kotai,"

3.3.2 Pengembaraan

HTP mengisahkan wira dan rakan-rakannya begitu banyak melakukan pengembaraan dengan menggunakan kapal Penjajap Emas Lapis Suasa. Arah pelayaran dan sebab-sebab mengapa mereka perlu belayar dapat diringkaskan seperti berikut :

Pelayaran (1): Dari Negeri Lindungan Bulan Kedah Tua menuju ke Negeri Johor Mengkaleh Tanah Ja'ta kerana menuntut bela kematian Raja Negeri Lindungan Bulan Kedah Tua, Raja Sulung Jawa yang dibunuh oleh Raja Bongsu, yang kemudiannya mereka berjaya pula membunuh Tuk Rancang Besi, nenek kepada Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya akhirnya bersetuju menjadi tunang kepada Pekulun Duli baginda
 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah