Anda di sini:
 

SebelumSelepas
sambungan
Cerita Terung Pipit Tinjauan Dari Sudut Sastera, Budaya Dan Sejarah

oleh: Dato' Hj. Wan Shamsudin bin Mohd. Yusof

 
 
Pelayaran (2):
Dari negeri Johor Mengkaleh Tanah Ja'ta mereka singgah di Negeri Tanjung Pura mengalahkan Raja 'Sultan Maha Mulia', tunang Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya sejak kecil. Raja itu akhirnya dibunuh oleh tunangnya sendiri melalui sebuah cembul gading yang berisi nyawa raja itu. Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya akhirnya bersetuju menjadi tunang kepada Pekulun Duli Baginda.
Pelayaran (3):
Dari Negeri Lindungan Bulan Kedah Tua belayar pula menuju ke Negeri Anta Beranta Gunung Manek melalui empat jenis laut lalu berjaya mengalahkan Raja Dewa Syamsul'alam, Raja Jin yang melarikan Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya. Raja Jin itu dapat dibunuh melalui rahsia yang diperolehi dari puterinya, Tuan Puteri Dewi Hairani dengan menggunakan cincin Khatam Sulaiman untuk mendapatkan mongkor kaca berisi nyawa ayahnya. Dewi Hairani akhirnya menjadi isteri muda Jerun.
Pelayaran (4):
Dari Negeri Anta Beranta, mereka belayar pula ke Negeri Pisang Benggala untuk mendapatkan mas kahwin dan belanja Tuan Puteri Sinar Bulan Gemilang Cahaya. Mereka berjaya menawan 'gajah putih tubuhnya bercula gading berlarik suasa', dan kemudian menuju ke Pulau Anosa Sari dan berjaya pula mendapatkan bunga 'rakna mala' di mulut naga Berma Sakti setelah mengalahkan ikan-ikan yang menjadi rakyat Berma Sakti.
Pelayaran (5):
Belayar kembali ke Negeri Selindung Bulan Kedah Tua.

3.3.3 Kesudahan cerita/penyelesaian

Cerita berakhir dengan kegembiraan. Istiadat perkahwinan Pekulun Duli Baginda dengan Tuan Puteri Sinar Gemilang Cahaya dilangsungkan dengan meriah, Tuan Puteri itu kemudiannya ditabalkan menjadi Permaisuri, dan Tuan Puteri Siti Dewi menjadi Paduka Liku. Terung Pipit dilantik sebagai Perdana Menteri, Jerun menjadi Temenggung, Gelam menjadi Patih dan Wan Cik Antan Tembaga (Panglima Selampit) menjadi Syahbandar Raja Kuala.

4.0 Tinjauan dari sudut bahasa

Setiap CTP mengandungi berbagai kaedah pengolahan bahasa yang dapat dianalisa menurut aspek-aspek berikut.

4.1 Bahasa lisan

Ketiga-tiga versi CTP banyak menggunakan corak bahasa lisan lebih-lebih lagi di dalam CSJ. Disebabkan penceritanya kebanyakan berasal dari utara, maka banyak kata-kata dan ungkapan daerah utara khususnya Kedah telah dimasukkan. Antaranya seperti: acan, awat, culin, duk, handuh, hang, hangpa, kalih, ketela (ubi), kut, mai, mika, pi, pecaci, pegu, peradung, penyebai, perusah, punggai, rungkai, semawa, tang, tib, tauk, tokai, bok tilam, basah ruyup, duduk aram, hamba pecacai, padang jarak padang tekukur, sapan sapa, selit sepit, terkapa-kapa, tak boleh duk ralit.

Satu hal yang agak menarik ialah penggunaan kata 'mika' seperti petikan dari HTP berikut:

  1. Sekeping tera pun tiada dilanting ke mika (H 29).
  1. Jika aku tahu demikian ni rupa haramlah tiada aku mau cari makan gaji dekat mika(H 39)
  1. Kenallah cik bekas tangan pak tiri mak mika (H 42)

Menurut Sdr Haji Ismail Haji Salleh, sememangnya perkataan mika ini sudah kebiasaan dipakai di Semenanjung sejak dahulu, dan ianya tidaklah terhad di Perak sahaja. Sehingga kini masih ramai orang beranggapan bahawa perkataan itu berasal dari Perak. Pun kerana itulah Awang Had Salleh pada hujung kata pengantar cerita Selindung bulan Kedah Tua yang diusahakannya itu telah menyatakan:

"Dari Terung Pipit pula kita mengetahui penglipurlaranya lebih kuat dalam memberikan gambaran yang berwarna-warni. Ia tidak berpantun atau bersyair dalam ceritanya. Dan kita ketahui juga yang dia boleh jadi berasal dari Perak ; bila dilihat pemakaian kata ('mika') di dalam ceritanya." (H xxii)

Di Kedah, pemakaian kata mika (ejaan jawinya : mim - ya - kaf) telah digunakan sebagai perkataan rasmi dalam surat-surat kiriman DiRaja dan juga surat-surat perwarwar serta perjanjian seperti pajak-memajak sejak abad ke - 18 (dan mungkin sebelum abad itu lagi). Diperturunkan beberapa petikan dar manuskrip dan sumber-sumber lama lain untuk membuktikan keterangan di atas :

  1. "Surat daripada kita Yang Dipertuan Besar di Negeri Kedah Darulaman mari sampai kepada anak kita Lait (Light) Kapitan Dewa Raja…….Ahwal mika meninggalkan kita di dalam kebajikan pergi ke bandar Salang. Maka dengan perintah mika tinggal Mister Monckton akan ganti mika …………"

  2. "Surat meterai kami nyatakan pada Muhammad Hassan bin Abdul Rahman, maka adalah pintak mika hendak pajak hasil tiang pada segala perahu yang keluar daripada Kuala Kedah itu lamanya dua tahun jadi 24 bulan, mika hendak bayar hasilnya pada setahun seribu empat ratus rial. RM 1400…."

    (Tajuk : 'Rencana surat kecik pajak hasil tiang Kuala Kedah pada Muhammad Hassan bin Abdul Rahman, lamanya dua tahun', bertarikh 20 Rabiulakhir 1315/18 september 1897. Sumber: Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Alor Star).

  3. "Surat meterai Tunku Abdul Aziz Raja Muda nyatakan pada Siru Gani, maka adalah pintak mika hendak pajak ambil perbuat gantang, cupak, kai, dan kepol, jual kepada orang-orang di dalam perintah Negeri Kedah ini lamanya tiga tahun jadi 36 bulan. Mika hendak bayar hasilnya pada setahun dua ratus empat puluh rial. RM 240……"

    (Tajuk : 'Rencana surat Raja Muda benar beri pajak gantang cupak pada Siru Gani', bertarikh 1 Muharam 1317 / 12 Mei 1899. Sumber: Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Alor Star).

4.2 Kata-kata bersajak

Kata-kata bersajak atau berirama mempunyai peranan dan fungsi tertentu dalam Cerita-cerita Penglipurlara yang pada umumnya bertujuan untuk menjelaskan lagi keadaan atau sifat sesuatu yang hendak dikisahkan. Ini termasuklah gambaran keagungan sesebuah kerajaan, negeri dan istana, kemeriahan pesta kenduri, kelajuan sesebuah kapal, kesaktian dan peperangan dan sebagainya. (6) Dalam CTP kata-kata bersajak juga banyak digunakan terutamanya bila melukiskan betapa hebat dan sakitnya kapal Penjajap Emas Lapis Suasa, dan juga meriam Sang Bayu Sang Gingga yang sering diulang beberapa kali dalam cerita tersebut. Begitu juga sifat-sifat kegagahan dan kecantikan wira sering dilukiskan dengan menggunakan lambing dan perbandingan yang menarik. Misalnya:

  1. "Cantik sungguh, adik Jerun, yang kata Wan Cik Antan Besi Antan Tembaga. Tubuhnya kecik lembut, bidang dada ada empat hasta, putih kuning bagai arang para, pinggangnya ramping bagai tai dara, misainya bagai ijok kembar tiga, rambutnya bagai biji lada, Tiada siapa lagi yang hendak banding berdengan dengan ida, yang kata Wan Cik Antan Besi Antan Tembaga."(HTP: 35)

  2. "Maka hulubalang yang gagah tadi, pada zaman itu, bidang dadanya lima hasta, bulu romanya songsang, misainya tembaga, dan bila ia bercakap terkejut habis lotong dan kera, gajah dan badak pun berlari hingga patah paha."(SBKT: H 17)

  3. "Tatkala Arung Darah Dua Serupa meletup dengan segera, orang yang mana dekat dengan pantai itu lekang rambut di atas kepala. Daun bakau yang dekat kot pantai itu tinggal batang saja, habis relai daun juga. Lotong dan mawas di dalam hutan rimba habis menyelai kot jalan jatuh ke bumi jua. Dan orang bunting dua-tiga bulan habis gugur jua. Dan kerbau dok tambat di padang putus tali habis berlaga. Orang di dalam pekan pesara lari tak tentu hala. Setengah nak lari pi tengok kerbau berlaga. Belah ke sana sini tak tentu hala. Setengah patah paha."(CSJ: H 91)

4.3 Unsur humor atau makar

Ketiga-tiga versi CTP mengandungi banyak unsur-unsur ini. Ianya bukan sahaja terdapat dalam sifat atau gerak geri watak tetapi juga dalam susunan kata-kata termasuk kata-kata bersajak yang diucapkan oleh penutur cerita. Dato' Profesor Asmah Haji Omar pernah membicarakan aspek ini seperti yang terdapat di dalam Hikayat Merong Maha Wangsa, Hikayat Terung Pipit dan teks Syair Sultan Maulana. Beliau telah membahagikan kepada beberapa bahagian aksi atau sifat-sifat seseorang yang boleh menimbulkan unsur humor atau makar seperti olok-olok, jenaka, lawak, kelakar, peril, layar buruk, candek, kelolo, dan mengacan (7).

Apa yang hendak ditekankan di sini ialah sesuai dengan motifnya sebagai alat hiburan, maka cerita-cerita Penglipurlara juga banyak memperlihatkan unsur-unsur ini samalah halnya dengan Cerita-cerita Jenaka atau Binatang khususnya cerita-cerita Pelanduk dan Sang Kancil. Di sebalik unsur-unsur lucu itu sebenarnya terselit pelbagai kritik dan sindiran kepada pihak-pihak tertentu. Dalam CTP, babak-babak yang mengisahkan kelucuan itu menggunakan bahasa atau kata-kata yang kurang manis didengar atau setengah orang menganggapnya sebagai tidak sopan. Tetapi hal ini menjadi satu tradisi atau kegemaran masyarakat dahulu yang mempunyai kesinambungannya hingga ke hari ini. Beberapa cabutan ini jelas menunjukkan adanya unsur-unsur yang dibicarakan :

  1. 'Maka kumbang itu dilangsungnya ke penjajap tiang tembaga tiang tiga, ada seketika merupuhlah bunyi gundik delapan bertimpa-timpa rebak renik bunyi suara, tergerbang kersui rambut di kepala, rebah bangkit bertimpa-timpa, habis bertelanjang kain sebai di dada.' (HTP: H 32)

  2. '…kenallah cik bekas tangan pak tiri laki mak mika.'(HTP: H 42)

  3. '… akan meriam Siam Bayu Sang Gingga, tujuh gok sembilan tala, tujuh hari pelurunya menggila, tujuh biji gunung berlaga. Jika orang perempuan mengandung sembilan bulan habis gugur belaka…..' (HTP: H 168)

  4. '…jangan kamu bijak berkata-kata. Hah, kutampar sebiji putus kepala…. Nanti kuramas kupicit hingga remuk redam kamu punya kepala…' (SBKT: H 39)

  5. 'Hei kak dayang, inikah yang bernama cucur Jawa. Patut saya tengok kempis kot tepi kembung kot tengah. Seperti hak dayang sajalah.' (CSJ: H 110)

  6. 'Hei budak hulu…. Patut dia tak tahu. Tepung torak pun dia kata anak tangga'. Katalah Jerun pula dengan segera, 'Hei kak dayang, inikah yang bernama tepung torak namanya dia. Patut saya tengok seperti buah kemalu saya sajalah.' (CSJ: H 111)

5.0 Tinjauan dari sudut budaya.

Dari sudut budaya, banyak hal yang dapat dikaji dari CTP. Ini termasuklah unsur-unsur pengaruh asing/luaran yang bercampur aduk di dalamnya di samping unsur-unsur tempatan. Begitu juga kepercayaan-kepercayaan ghaib dan luar biasa yang menjadi amalan masyarakat zaman silam.

5.1 Unsur-unsur pengaruh asing/luaran

Unsur pengaruh Hindu dan Islam banyak diterapkan dalam CTP. Pada awal-awal lagi latar cerita kayangan yang terkenal dalam kepercayaan Hindu dimasukkan. Di sanalah Terung Pipit belajar senjata dan ilmu kesaktian yang dikaitkan pula dengan motif baju laying dan air suci untuk menghidupkan mereka yang mati. Unsur-unsur Islam terdapat pada nama-nama watak dan tempat seperti 'Cincin Khatam Nabi Sulaiman', Kubur Siti Hawa di Jedah dan lain-lain yang kadangkala bergandingan pula dengan unsur-unsur Hindu.

Yang agak aneh pada CTP ialah begitu banyaknya pengaruh Jawa diselitkan dan ini berbeza dengan Cerita-cerita Penglipurlara Melayu lainnya seperti yang pernah diakui oleh Winstedt (8). Gelaran pembesar Jawa dan kata-kata Jawa serta kata-kata lain yang dikaitkan dengan 'Jawa' banyak digunakan. Ini termasuklah Maharaja Jawa, serunai lagu Jawa, keris tok lengah tiga puluh perbuatan Jawa, Pengkalan Jawa, Kawah Jawa, Cucur Jawa di samping perkataan sampun, arianingsun, Pekulun, Paduka Liku, dan Raja Sulung Jawa.

Adanya pengaruh Jawa ini mempunyai kaitan dengan perkembangan Cerita-cerita Panji di Nusantara ini sejak zaman keagungan Kerajaan Majapahit. Di samping CTP, sebuah syair berjudul 'Syair Duka Nestafa' karya Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II (Marhum Melaka), Sultan Kedah ke -21 (1804 - 1845) juga mempunyai pengaruh Jawa khususnya Cerita-cerita Panji. Dari kajian yang pernah dilakukan terbukti bahawa sebahagian daripada naskhah-naskhah Panji milik Dewan Bahasa dan Pustaka adalah berasal dari keluarga DiRaja Kedah dan Kelantan (9).

5.2 Kepercayaan dan adat istiadat

Amalan masyarakat Melayu silam yang bercanggah dengan Islam banyak dikisahkan dalam CTP. Misalnya upacara semasa hendak melancarkan kapal (penjajap) terpaksa menggunakan perempuan hamil sebagai galang atau landasan. Segala meriam perlu disuntik dengan darah manusia sebelum diletupkan. Disebabkan ceritanya berkisar di istana, maka adat istiadat istana atau DiRaja lebih dipentingkan oleh pencerita. Dalam CTP terdapat gambaran yang menarik mengenai upacara bersiram di panca-panca sebagai acara kemuncak dari istiadat perkahwinan.

 
   
TUTUP TETINGKAP
Hakcipta Terpelihara © 2002 Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah