| |
Kepercayaan terhadap 'angka ganjil' juga mendapat tempat dalam
CTP. Antaranya seperti 'pokok bercabang tiga', 'Jin tujuh bersaudara',
'tujuh pucuk meriam sakti', dan banyak lagi. Watak utama dalam cerita
ini juga mengandungi bilangan ganjil iaitu seramai lima orang (Terung
Pipit, Jerun, Gelam, Pekulun Duli Baginda, dan Selampit), samalah
dengan watak Hang Tuah lima bersaudara.
Dalam CTP juga banyak melukiskan kehidupan rakyat biasa di pesara
(pekan), kuih tradisional Melayu Kedah seperti tepung torak, buah
Melaka, cucur Jawa dan karas. Dengan melihat petikan berikut dapat
kita bayangkan betapa tugas seseorang Syahbandar atau 'Raja Kuala'
seperti juga yang tersusun dalam Undang-undang Pelabuhan Kedah:
"Maka Terung Pipit pun berlaung
kata, 'Abang, abang, berlainan sangat, abang, adat negeri ini'
dengan negeri sahaya. Adapun adat undang-undang negeri sahaya,
jika perahu, jong, kapal masuk berlabuh di pintu kuala orang tatap
serta dengan periksa apa-apa yang dagangan yang dibawa masuk jual
berjaja itu, maka apabila sudah ditatap habis semunya itu, maka
jika ada senjatanya yang panjang dirampas ditaruh di pintu kuala
dan sekalian senjata yang pandak itu dibenarkan bawa masuk bersama-sama
dengan dia ke dalam pekan pesara dan hari mana yang sudah habis
jual berjaja itu, kepada hari mana yang hendak keluar itu, baharulah
ditimbang hasil mahsul sukai ke raja. Ada pun senjata yang taruh
di pintu kuala itu baharulah diserah bagi balik dekat dia dan
jika hilang satu diganti dua
" (HTP: H 40)
6.0 Penutup
Seperti yang dinyatakan di awal rencana ini, ramai kalangan masyarakat
Kedah yang mengikuti CTP ini merasakan bahawa ianya benar-benar
berlaku sebagai salah satu peristiwa dalam sejarah Negeri Kedah.
Jika ditinjau dari segi fungsi dan ciri-ciri sastera rakyat Melayu
dari jenis penglipurlara, ternyata ia bertujuan untuk hiburan di
samping mengagung-agungkan golongan istana. Namun begitu tidak juga
dinafikan adanya sedikit sebanyak fakta-fakta sejarah yang cuba
hendak disampaikan oleh para pencerita di sebalik ceritanya itu.
Hikayat Anggun Cik Tunggal misalnya, dapat dijadikan contoh untuk
membuktikan kenyataan di atas. Ianya sebagai sumber untuk memperkuatkan
semangat dan perpaduan masyarakat Melayu untuk menentang kezaliman
musuh mereka. Misalnya watak Raja Bidurai Putih simbol kepada Viceroy
(Bidurai) Portugis yang kemudiannya dapat dikalahkan oleh Anggun
Cik Tunggal selaku wira utama dalam cerita tersebut.
Jika diteliti jalan cerita CTP unsur-unsur sejarah juga dapat dikumpulkan
walaupun ianya tidak begitu jelas sama ada ianya berlaku di zaman
serangan Siam di Kedah (1821) atau sewaktu serangan Bugis terakhir
(1771) atau mungkin sebelum itu lagi. Kalau dianggap CTP itu berlaku
di zaman serangan Bugis ke Kedah terakhir (1771) ada logiknya juga.
Pencerita menggunakan Terung Pipit dan rakan-rakannya sebagai wira
Kedah yang menuntut bela dengan menyerang Johor (Negeri Johor Mengka
Tanah Jakta) kerana Johor - Riau ketika itu menjadi pengkalan aktiviti
pengaruh Bugis dalam mengembangkan kekuasaannya di Nusantara itu.
Kenyataan ini dapat diperkuatkan lagi dengan adanya meriam-meriam
sakti yang terdapat dalam CTP yang digunakan oleh Terung Pipit sewaktu
menyerang musuh-musuhnya termasuk Johor. Meriam tersebut setiap
satunya mempunyai nama iaitu Katak Puru, Harung Darah Dua Serupa,
Lela Tembaga, Katam Tebu, Damar Terang, dan Badak Berendam, menjadikan
tujuh pucuk semuanya. (HTP : H 12)
Terdapat sepucuk meriam lagi kepunyaan Selampit yang diberi Siam
Bayu Sang Gingga (HTP : 45) Nama-nama Katak Puru dan Badak Berendam
dari CTP itu, segolongan masyarakat kita mengaitkannya pula dengan
dua pucuk meriam yang masih ada di Kota Kuala Kedah hingga ke hari
ini. Sementara dalam Thufat al-Nafis (1865), ketika mengisahkan
kemaraan askar-askar Bugis menuju ke Alor Star, mereka memuji betapa
baiknya meriam 'Seharung Darah' atau Harung Darah (10) yang juga
terdapat kisahnya dalam CTP.
|
|