| |
YTM Tunku Abd Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul
Hamid Halim Shah dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana
Pelamin, Alor Star, Kedah. Tunku Abdul Rahman mendapat pendidikan awal
pada tahun 1909 di Sekolah Rendah Melayu, Jalan Baharu, Alor Star dan kemudiannya
Sekolah Inggeris Kerajaan atau namanya sekarang Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star. Dua tahun kemudian iaitu ketika beliau berusia lapan tahun, beliau dihantar
bersekolah di Sekolah Thebsurian, Bangkok. Pada tahun 1915, beliau meneruskan
pengajian di Penang Free School, Pulau Pinang. Pada tahun 1918, Tunku
telah dikurniakan biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pelajaran di St. Catherine
College, Universiti Cambridge di mana beliau memperolehi Ijazah B.A. Tunku merupakan
pelajar Kedah yang pertama belajar di United Kingdom dengan memperolehi biasiswa
dari Kerajaan Negeri Kedah. Kerjaya :
- Kadet di Pejabat Undang-Undang Alor Star
- Penolong Pegawai Daerah Sungai Petani dan Kulim
- Pegawai Daerah Sungai Petani
- Pegawai Daerah Langkawi
- Timbalan Pengarah Keselamatan Awam Kedah (1940)
- Penguasa Pelajaran Kedah (1943)
- Timbalan Pendakwa Umum Jabatan Undang-Undang Persekutuan
- Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (1955)
- Menteri Ehwal Dalam Negeri
- Perdana Menteri Malaysia yang pertama
Penglibatan Politik :
- Ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu (UMNO) Bahagian
Kedah
- Presiden UMNO (26 Ogos 1951)
Penglibatan
Pertubuhan Sosial dan Profesional :
- Canselor Universiti Malaya (1962)
- Presiden PERKIM yang pertama (November 1982)
- Setiausaha Agong yang pertama Sekteriat Islam (OIC)
- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Tunku telah meletakkan jawatan daripada Perkhidmatan
Kerajaan untuk menjadi Presiden UMNO bagi menggantikan Dato' Onn
Jaafar pada 26 Ogos 1951. Sebagai Presiden UMNO, beliau banyak menyelesaikan
masalah politik di Tanah Melayu dengan mendapatkan kerjasama daripada
semua kaum. Hasilnya, beliau berjaya menubuhkan satu perikatan antara
UMNO, Persatuan Cina Malaya (MCA) serta Kongres India Malaya (MIC)
dan gabungan ini dinamakan sebagai Perikatan.
Dalam pilihanraya
pertama iaitu pada bulan Julai 1955, Perikatan telah memenangi 51 daripada 52
kerusi yang dipertandingkan. Tunku kemudian dilantik menjadi Ketua Menteri dan
Menteri Ehwal Dalam Negeri. Setelah menang dalam pilihanraya tersebut, arah Tunku
seterusnya ialah untuk mencapai kemerdekaan. Persetujuan dicapai sewaktu mengadakan
rundingan dengan kerabat DiRaja dan akhirnya mereka bertolak ke London untuk berbincang
mengenai rundingan
kemerdekaan dengan kerajaan British bagi mendapatkan kemerdekaan untuk
Tanah Melayu. Rundingan tersebut mencakupi pelbagai masalah termasuklah masalah
Raja-Raja Melayu, kedudukan pegawai-pegawai awam British yang sedang berkhidmat
di Tanah Melayu dan lain-lain langkah peralihan yang perlu diputuskan sebelum
merdeka serta tarikh kemerdekaan yang menurut Tunku perlu disegerakan. Akhirnya
Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada
28 Disember 1955, YTM Tunku buat pertama kalinya bertemu dengan Chin Peng, Setiausaha
Agung Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu dalam Rundingan
Baling. Pada waktu itu, Tunku menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah
Melayu. Rundingan Baling pada tahun 1955 ini dianggap sebagai suatu sejarah yang
sangat penting bagi negara kerana di situlah bermulanya titik tolak bagi menumpaskan
kegiatan komunis.
 |
 |
Apabila Tanah Melayu merdeka, Tunku telah dipilih sebagai
Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Semasa menjadi Perdana Menteri, Tunku berusaha
menegakkan sebuah kerajaan demokrasi dan menjaga hubungan baik dengan negara luar.
Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi anggota Komanwel dan telah menandatangani
satu Perjanjian Pertahanan dengan United Kingdom. Pada April 1959, Tunku telah
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan bersiap sedia untuk bertanding
dalam pilihanraya pertama iaitu pada bulan Ogos 1959. Pada bulan yang sama, apabila
menang dalam pilihanraya, sekali lagi Tunku dilantik menjadi Perdana Menteri.
Dalam tempoh beberapa bulan selepas merdeka, Tunku banyak membuat kunjungan muhibah
ke luar negeri termasuk Vietnam, Ceylon (Sri Lanka), Jepun dan Brunei. Pada bulan
Januari 1959, semasa menjadi tetamu negara Filipina, Tunku telah mengusulkan pembentukan
persekutuan negara-negara Asia Tenggara bagi mendapatkan kerjasama ekonomi dan
kebudayaan serantau sehingga membawa kepada pembentukan Persekutuan Negara Asia
Tenggara (Association of South East Asia- ASA) pada tahun 1961.
Pada bulan Mei 1961, dalam majlis dengan wartawan asing di Singapura, Tunku dengan
telah mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan menandatangani satu persefahaman dengan
British, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia.
Hasrat Tunku menubuhkan Malaysia ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Namun
begitu, dengan kesungguhan dan kegigihan serta ketabahan beliau, penubuhan Malaysia
yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak berjaya
diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagaimanapun, Tunku terpaksa mengeluarkan
Singapura dari Malaysia pada bulan Ogos 1965, menjadikan Malaysia satu persekutuan
yang terdiri daripada 13 buah negeri.
 |
|
Kegiatan Tunku di dalam bidang penulisan sudah lama
bermula iaitu sejak peristiwa kebangkitan orang Melayu di Kedah
menentang penubuhan Malayan Union. Beliau merupakan pengarang Majalah
Watan yang diterbitkan di Alor Star pada tahun 1946. Menerusi majalah
tersebut, Tunku telah mula menulis beberapa rencana yang berjaya
meniup semangat nasionalisme di kalangan orang-orang melayu. Antara
karya Tunku yang pernah diterbitkan ialah 'Peristiwa 13 Mei', 'Looking
Back', 'View Points', 'As A Matter of Interest',
'Lest We Forget', 'Challenging Times', 'Something
to Remember', 'Political Awakening', 'Baling Talk'
dan 'Malaysia-The Road To Independence'.
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau
telah dianugerahkan 'Outstanding Malaysian of the Year' pada
tahun 1987, 'Honorary Citizen of London', 'International
Sports Award' dari United States of Sports Academy pada
tahun 1981, anugerah 'The Replica of Dhu'l Faqar' dari Al-Malik
Faisal 9 pada tahun 1983, 'Doktor Kehormat Undang-undang' dari University
of Oxford serta anugerah 'Ramon Magsaysay' pada tahun 1960.
Beliau turut mendapat pengiktirafan sebagai 'Bapa Kemerdekaan'
dan 'Bapa Malaysia'
Tunku telah mangkat di Hospital Besar Kuala
Lumpur pada 6 Disember 1990. Jenazahnya dimakamkan di Makam DiRaja
Langgar, Alor Star, Kedah pada 7 Disember 1990.
|
|