| |
Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri
Malaysia yang keempat merupakan tokoh politik, negarawan dan pemimpin
antarabangsa yang sangat terkenal dengan idea-idea yang bernas, kontroversial
dan tegas dalam memberi pendapat dan pemikirannya. Beliau dilahirkan
pada 20 Disember 1925 di Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Beliau
mendapat pendidikan awal di Sekolah Lelaki Seberang Perak dan pendidikan
menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, kedua-duanya di Alor Star. Beliau
tamat persekolahan dan lulus 'Senior Cambridge' dengan cemerlang pada
tahun 1945 .Pada tahun 1947, beliau telah melanjutkan pelajarannya
di King Edward VII College of Medicine di Singapura. Beliau telah
dianugerahkan ijazah perubatan MBBS pada tahun 1952.
Kerjaya :
- Doktor pelatih, Hospital Besar Pulau Pinang
- Pegawai Perubatan, Hospital Besar Alor Star (1954)
- Pernah berkhidmat di Hospital Langkawi, Hospital
Jitra dan Hospital Perlis
- Membuka klinik persendirian (MAHA Klinik), Alor
Star, (1957)
- Menteri Pelajaran Malaysia (5 September 1974)
- Timbalan Perdana Menteri (5 Mac 1976) tetapi masih
memegang portfolio pendidikan
- Berkhidmat di Kementerian Perdagangan dan Industri
(1977)
- Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 4
oleh DYMM Yang DiPertuan Agong, (18 Julai 1981)
- Menteri Pertahanan (18 Julai 1981 - 6 Mei 1986)
disamping memegang jawatan Perdana Menteri
- Menteri Dalam Negeri (7 Mei 1986) disamping memegang
jawatan Perdana Menteri
- Menteri Kehakiman (1987) disamping memegang jawatan
Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri
- Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri (Oktober 1990 -
Januari 1999) disamping memegang jawatan Perdana Menteri
- Menteri Kewangan Pertama (8 Januari 1999) disamping
memegang jawatan Perdana Menteri
- Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas (5
Jun 2001) disamping memegang jawatan Perdana Menteri.
Penglibatan Politik :
-
Ahli Kesatuan Pemuda Melayu Kedah
- Ahli UMNO Bahagian Alor Star
- Ahli Majlis Bandaran Alor Star (1950an)
- Ahli Parlimen Kota Setar Selatan (1964)
- Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1973)
- Dilantik sebagai Senator oleh Majlis Mesyuarat
Negeri Kedah ke Dewan Negara
- Ahli Parlimen Kubang Pasu (1974 hingga kini)
- Naib Presiden UMNO (1975)
- Timbalan Presiden UMNO(1980)
- Presiden UMNO (Jun 1981 hingga kini)
Dalam hubungan antarabangsa, beliau berjaya menarik perhatian dunia
di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam ucapan-ucapannya di badan
dunia itu, kritikan-kritikannya kepada kuasa barat dan kuasa besar
dunia memeranjatkan banyak pihak. Ini menjadikan beliau sebagai
pemimpin dunia ketiga yang mula diberi perhatian media antarabangsa.
Penglibatan di peringkat antarabangsa :
- President of United Nations Sponsored
International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking
(ICDAIT), Vienna, Austria (1987)
- Chairman of the High Level Appraisal Group
(HLAG) CHOGM (1989)
- Pengerusi 27th CHOGM Conference di Kuala Lumpur.
- Chairman of the Group 11 Commonwealth Heads
of Government
- Perasmi Zimbabwe International Trade Fair,
orang bukan Afrika pertama diberi peluang sejak ia dijalankan
34 tahun yang lalu (1994)
- Vice President of the World Solar Commision,
(1996)
Dari
segi pembangunan ekonomi negara, Tun Dr. Mahathir nyata sekali telah
membuat anjakan paradigma yang jelas dalam struktur sistem ekonomi
Malaysia. Daripada sebuah negara yang berteraskan sistem pertanian
sara diri, perladangan getah dan bijih timah, Malaysia telah menjalankan
ekonomi berteraskan industri dan perdagangan. Beliau turut memperkenalkan
industri berat dan berteknologi tinggi di Malaysia yang telah berkembang
menjadi sebuah industri yang maju dan berdaya saing. Tun Dr. Mahathir
telah membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara dengan
memperkenalkan 'Dasar Pandang ke Timur' untuk mengambil contoh kejayaan
negara-negara Asia Timur, 'Dasar Penswastaan', 'Dasar Bersih, Cekap
dan Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan' dan 'Penerapan nilai-nilai
Islam' ke dalam perkhidmatan awam untuk mewujudkan lagi jentera
kerajaan yang cekap dan menghasilkan mutu kerja yang berdaya saing
dan berkualiti. Polisi-polisi ini telah menjadikan perkhidmatan
awam di Malaysia antara yang terbaik di dunia pada hari ini.
Bagi mencapai status negara maju, Tun Dr. Mahathir
telah mewujudkan Wawasan 2020 sebagai tahun untuk Malaysia mencapai
status negara maju dan menyeru rakyat agar berusaha dan mempersiapkan
diri bagi mencapai Wawasan tersebut. Pada akhir 1990an, Tun Dr.
Mahathir telah menyediakan Malaysia dengan cabaran masa depan dengan
menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) yang menekankan
teknologi maklumat sebagai aset penting negara di alaf akan datang.
Di zaman persekolahannya, Dr. Mahathir amat meminati
bidang penulisan. Beliau pernah menjadi editor majalah Darulaman
terbitan Kolej Sultan Abdul Hamid. Ketika di universiti, beliau
merupakan editor majalah terbitan Kolej Perubatan Singapura.
Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau
telah dianugerahkan pingat dan darjah
kebesaran oleh kerajaan di dalam dan luar negara. [Sila Klik]
Sememangnya sumbangan yang diberikan oleh beliau kepada
agama, bangsa dan negara amat besar di dalam menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan canggih. Daya tahan
beliau sebagai tonggak utama negara selama dua dekad merupakan satu
pencapaian yang amat membanggakan.
|
|