| |
Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada
25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan Kedah. Pada tahun 1926, beliau menerima
pendidikan awal di Sekolah Melayu sehingga lulus darjah lima dalam tahun 1931
dan meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Michael, Alor Star, Kedah dari tahun
1932 hingga 1933. Kemudian pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian
di Anglo Chinese School, Alor Star, Kedah, hingga lulus darjah VII. Semasa pendudukan
Jepun pada tahun 1943, beliau sempat belajar di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan
Pegawai-Pegawai Tinggi) di Singapura selama tiga bulan.
Kerjaya :
- Penolong Penjaga Stor, lombong bijih di Pahang
(1939)
- Berkhidmat di Bahagian Penerbitan, syarikat suratkhabar
Sahabat, Pulau Pinang (1939)
- Pembantu pengarang suratkhabar Saudara, (1940)
- Kerani dan tukang dobi di kem tentera Sungai Petani,
Kedah sehingga kedatangan tentera Jepun.
- Wartawan suratkhabar Merdeka, Berita Indonesia
dan Majalah Merdeka, Singapura (1951)
- Pengarang Majalah Bintang, Majalah Filem dan akhbar
Semenanjung.
- Pembantu pengarang di Franklin Book Programme
dan Oxford University Press (1965 - 1968)
- Editor majalah Angkatan Baru (1965 - 1968)
- Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
(1968 - 1978)
- Ketua Unit Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan
Pustaka cawangan Sabah (1978 - 1979)
- Ahli Cipta Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti
Sains Malaysia, (1979 - 1981)
- Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera
Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam (1982)
- Pegawai Bahasa Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka,
Brunei
- Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka
Karya pertama beliau ialah sebuah cerita lucu
yang disiarkan dalam majalah Tanah Melayu iaitu pada sekitar tahun
1939. Kemudian beliau terus menghasilkan karya dalam bidang cerpen,
novel, biografi / autobiografi, terjemahan dan esei sastera. Sehingga
kini, beliau telah menghasilkan 25 buah novel, tiga buah kumpulan
cerpen, sembilan buah terjemahan , sebuah autobiografi dan enam
buah biografi. Selain menggunakan nama pena Zamroed, beliau juga
dikenali sebagai Roslani Shikin, A.A, Adiwijaya, A.H, Andijaya,
Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda dan Suryakanta.
Menerusi hasil tulisan yang dihasilkan, beliau
berusaha menampilkan nilai-nilai positif masyarakat dan berusaha
membina jati diri kepengarangannya. Beliau merupakan seorang sasterawan
veteran yang terus komited dan gigih dalam mengembangkan bakat kreativitinya.
Dalam usianya yang sudah menjangkau 74 tahun, semangat perjuangannya
dalam dunia penulisan masih terus bersemarak.
Sebagai menghargai sumbangan dan jasa baktinya,
beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun
1981 (pemenang pertama hadiah Sayembara Novel Nasional - mengenang
Pak Sako), Hadiah Pertama Novel Nasional anjuran Syarikat Utusan
Malaysia dan Public Bank pada tahun 1992/94 menerusi novel Iman,
Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh pada tahun
1995, Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 dan Dato' Setia
DiRaja Kedah (D.S.D.K) pada tahun 1996 yang membawa gelaran Dato'.
| |