|
Dato' Hj. Ismail bin Hashim dilahirkan pada 16 April
1933 di Jerlun, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah
Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran
ke Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Seterusnya,
pada tahun 1947 beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Star.
Kerjaya :
- Guru agama, Sekolah Kebangsaan Yan (1956 - 1970)
- Guru pelawat (Nazir), Jabatan Agama Islam Kedah
Nama Allahyarham Dato' Ismail b. Hashim tidak asing
lagi dalam Majlis Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan
mahupun peringkat antarabangsa. Kemerduan dan kelunakan suaranya
ketika memperdengarkan ayat suci al-Quran bukan saja dikagumi masyarakat
tempatan malah masyarakat Islam di luar negara. Selepas pertama
kali diadakan musabaqah membaca Al-Quran pada tahun 1956, Allahyarham
merupakan satu-satunya Qari pertama yang menjadi johan sebanyak
sembilan kali di peringkat Kebangsaan dan lapan kali di peringkat
antarabangsa.
 |
|
Allahyarham merupakan peserta tunggal negara yang telah mencapai
peringkat tertinggi dalam pertandingan musabaqah al-Quran. Allahyarham
juga merupakan anak Melayu pertama dimana bacaan al-Qurannya telah
disiarkan secara langsung di televisyen dan radio Sudan semasa beliau
melawat negara tersebut pada tahun 1966 dan kemudiannya di Mesir
pada tahun 1976. Allahyarham yang bersara daripada jawatannya sebagai
Nazir Sekolah Agama Kedah pada tahun 1988, pernah diberi penghormatan
oleh Kerajaan Negara Thailand untuk memperdengarkan bacaan al-Qurannya
pada Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Bangkok pada tahun 1963.
Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya beliau telah dianugerahkan
Johan Setia Mahkota (J.S.M) dan Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh
Yang DiPertuan Agung serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K), Perkhidmatan
Setia Kedah (P.C.K), Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dan Pingat
Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis. Allahyarham
telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Ogos 1966 kerana mengidap sakit
jantung ketika Allahyarham berusia 64 tahun. 
|