|
Y.T.M Tunku Yaacob diputerakan pada 27 Disember 1899
di Kota Kanchut, Alor Star. Tunku mendapat pendidikan awal di Sekolah
Inggeris Kerajaan atau lebih dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul
Hamid, Alor Star. Kemudian meneruskan pengajian beliau ke Maktab
Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1918 hingga 1921.
Tunku Yaacob telah melanjutkan pengajiannya di Queens College Cambridge,
England pada tahun 1924 dalam jurusan pertanian sehingga memperolehi
Ijazah B.A. Beliau melanjutkan pengajiannya ke England setelah setelah
diberi cuti belajar oleh kerajaan Negeri Kedah. Memandangkan Tunku
hanya belajar sistem pertanian Eropah semasa pengajiannya, Tunku
telah dihantar untuk menyambung pengajiannya di Imperial College
of Agriculture, Trinidad Island untuk mempelajari bidang pertanian
Tropika ( Tropical Agriculture ) pada tahun 1929.
 |

Tunku Yaacob dikurniakan pingat dan darjah
kebesaran serta gelaran Tunku Panglima Besar diatas sumbangan
dan jasa baktinya kepada rakyat negeri Kedah.
|
Kerjaya :
- Pegawai Penempatan Percubaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
di Daerah
Kerian, Perak (22 September 1918)
- Penolong Ketua Pejabat Tanah Daerah Kubang Pasu, Jitra selama
6 bulan.
- Ketua Pejabat Tanah Daerah Langkawi di Kuah
- Ketua Pejabat Tanah di Baling (1921)
- Pegawai Tanam-tanaman Negeri Kedah di Jabatan Tanam-tanaman
Negeri
Kedah yang kini dikenali dengan nama Jabatan
Pertanian (14 Februari 1930)
- Mengetuai "Rural Industries Development" (R.I.D) di
negeri Kedah.
- Kepala Pekerjaan Tanaman Kedah (Principal Agricultural Officer
Kedah) (1936)
- Pegawai Pertanian Negeri Kedah (1946)
- Penasihat UMNO dalam Hal-Ehwal Pertanian
- Timbalan Pengarah Pertanian (1948)
- Ahli Majlis Perundangan Persekutuan yang pertama memegang potfolio
Jabatan Pertanian dan Perhutanan (27 November 1949)
- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (1931-1949)
- Diangkat memangku jawatan Menteri Besar Kedah oleh Sultan Badlishah
berikutan Menteri Besar Haji Mohd Sheriff telah jatuh sakit pada
7 Jun 1950. Perlantikan Tunku Yaacob untuk memangku jawatan Menteri
Besar Kedah telah mendapat persetujuan daripada Pesuruhjaya British,
Sir Henry Gurney pada hari sebelumnya iaitu 6 Jun 1950.
- Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu yang pertama pada Oktober 1950
di Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebanyak dua kali (1950-1951
dan 1954-1955).
- Ditabal menjadi Regent Negeri
Kedah berikutan keberangkatan Sultan Badlishah ke United
Kingdom dan Eropah (24 Mac 1951 hingga 12 November 1951)
- Ahli Majlis Perundangan dan Majlis Eksekutif kerajaan Persekutuan
sehingga merdeka. (9 April 1951 hingga merdeka).
- Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat Persekutuan
- Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu ke United Kingdom
- Duta ke Republik Ireland (1958)
- Pesuruhanjaya Tinggi Malaysia Pertama ke United Kingdom.
- Duta Malaysia ke Perancis, Switzerland dan Belgium (1965).
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional
:
- Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) (1935).
- Presiden Persekutuan Budak-budak Pengakap Negeri Kedah.
Tunku Yaacob merupakan orang yang bertanggungjawab
mengasaskan Pasar Mingguan (Pekan Nat) yang melahirkan peniaga-peniaga
kecil Melayu dalam bidang perniagaan pada tahun 1932. Ianya bermula
dari pasar
minggu di Tanjong Chali yang terletak di persinggahan antara
Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal di Bandar Alor Star.
Pekan Nat kemudiannya ditukar nama kepada Pekan
Rabu bersempena hari kelahiran Tunku Yaacob pada hari Rabu.
Tapak di Tanjung Chali telah dipindahkan ke Jalan Tunku Ibrahim
kerana tapak di Tanjung Chali agak sempit dan akan dibina bangunan
untuk Jabatan Kastam oleh kerajaan Negeri. Pekan Rabu kini menjadi
mercu tanda perniagaan dan perusahaan Melayu Kedah. Tujuan utama
penubuhan Pekan Rabu ialah untuk menggalakkan kaum bumiputera khususnya
orang-orang Melayu menceburi bidang perniagaan.
Tunku Yaacob juga merupakan salah seorang perintis menganjur Majlis
Tilawah Membaca Al-Quran sejak 1937 bermula dari peringkat Mukim
hingga ke peringkat Negeri. Kedah merupakan satu-satunya negeri
yang mengadakan Majlis Tilawah Membaca Al-Quran sebelum perang dunia
kedua meletus. Dari apa yang diterokai oleh beliau, Perdana Menteri
Tunku Abdul Rahman telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan
Majlis Tilawah Membaca Al-Quran peringkat kebangsaan bermula pada
tahun 1960 dan diikuti diperingkat antarabangsa .
Keinginan Tunku Yaacob untuk melihat masyarakat Melayu
maju telah menyebabkan beliau dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan
Ekonomi orang-orang Melayu di Kedah' oleh penduduk-penduduk
Negeri Kedah. Sebagai mengenang sumbangan dan jasa baktinya, Tunku
Yaacob telah dikurniakan pingat dan darjah kebesaran C.M.G., Darjah
Kerabat (D.K) (Johor), P.M.S., dan S.P.M.S. Pada 23 Februari 1959,
Tunku Yaacob telah dikurniakan gelaran Tunku Panglima Besar oleh
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Badlishah
bersempena hari pertabalan baginda Sultan di Istana Anak Bukit.
Tunku Yaacob telah kembali ke Rahmatullah pada 28 Disember 1990.
|