| |
Tan Sri Dato' Professor Dr. Ismail b. Hussein dilahirkan
di Kampung Simpang Empat, Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada 30 Januari
1932. Beliau merupakan seorang cendekiawan dan tokoh besar sastera
dan budaya Melayu yang tidak jemu-jemu berusaha dan berjuang ke arah
mengagungkan sastera dan budaya Melayu malah beliau turut dikenali
di peringkat dunia kesusasteraan antarabangsa.
Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein menerima
pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam dan selepas
perang Dunia Kedua, beliau telah menyambung pelajarannya di Sekolah
St. Micheal sebelum berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor
Setar. Pada tahun 1955 beliau melangkah kaki ke Universiti Malaya
dalam jurusan pengajian Melayu dan dianugerahi Ijazah Sarjana Muda
Sastera dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959. Beliau merupakan
anak Melayu pertama mendapat Sarjana Muda Pengajian Melayu Kelas
Pertama dari Universiti Malaya. Pada tahun 1961, beliau memperolehi
Sarjana Sastera dan mendapat Ijazah Doctorandus dari Universiti
Leiden, Belanda.
Kerjaya :
- Pensyarah Universiti Malaya (1960)
- Profesor Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya
(1971)
- Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya
- Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya
(1978 - 1984)
- Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu (1987)
- Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional
(GAPENA) (sejak 1970)
- Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa
dan Pustaka
- Pengarah Eksekutif Yayasan Sekretariat Melayu Antarabangsa
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional
:
- Panel Anugerah Sastera Negara
- Ahli Lembaga Majlis Penasihat Kebangsaan berkenaan
kebudayaan
- Jawatankuasa Penyelarasan Perlaksanaan Bahasa Kebangsaan
- Jawatankuasa Penasihat Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan
Negara Malaysia dan Yayasan Karyawan
Hasil tulisan beliau antaranya ialah Kepimpinan
dan Kebudayaan (1984), Cita-cita dan Perjuagan (1987), Segugus Pandangan
dan Harapan (1988), Inti Perutusan (1988), Antara Dunia Melayu dengan
Dunia Indonesia (1988), Antara politik dan Sastera (1989), Indeks
Akhbar (1989), 'Statements on Malay Language and Literature' (1989),
Tamadun Melayu (1989), Jejak Langkah Ismail Hussein (1993), Pengajian
Melayu di Dunia Melayu (1994), Dunia Melayu dan Dunia Indochina
(1995) dan Bahasa Melayu di Dunia Melayu (199). Beliau terus
menjadi tempat rujukan di dalam biang ilmiah dan berjuang menjadi
pendeta, pembela dan penggerak bagi golongan penulis tanah air.
|
 |
Tan Sri Dato' Profesor Dr. Ismail Hussein telah dianugerahkan
Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.) oleh KDYMM Sultan Kedah pada
tahun 1980 yang membawa gelaran Dato'. Pada tahun 1984, beliau menerima
Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa dari Universitas Indonesia
dan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Langka pada
tahun 1985. Pada tahun 1993, beliau telah dianugerah darjah Panglima
Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri oleh DYMM Seri
Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Pada tahun 1997, beliau telah
dianugerahkan Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya. Beliau
juga telah dianugerahkan pingat Hukum Ngon Adat Mengadat daripada
Lembaga Adat dan Kebudayaan Acheh pada tahun 1995 dan Tokoh Budaya
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 2002.
Pada 19 Oktober 2002, beliau telah dianugerahkan pingat Seri Wira
Cendikia Mulia Kedah Darul Aman oleh KDYMM Sultan Kedah.
Walaupun telah lama bersara daripada tugas akademik,
beliau masih bergiat cergas di dalam GAPENA. Kejayaan yang ditempa
oleh GAPENA di dalam mendaulatkan bahasa, sastera, budaya dan bangsa
Melayu memaparkan kejayaan perjuangan dan impian beliau secara peribadi
dan kelompoknya hingga ke peringkat antarabangsa. Semangat cintakan
seni, sastera dan budaya Melayu yang wujud di dalam diri beliau
sejak kecil lagi menyatakan kedudukan beliau dalam pemikiran dan
perasaan manusia melayu begitu istimewa sebagai Bapa Sastera Melayu
|
|